Certot

Dua Impian, Satu Harapan

Hasil nukilan Najwa Sofea Lutfi 2 years agoSukan 30

             

 “Assalamualaikum, boleh saya berjumpa dengan ahli pasukan rumah merah?” Suara Cikgu Firzah, guru penasihat rumah merah menghentikan bunyi bising yang datang dari kelas 5 Bijak. 

Semua murid rumah merah pergi ke luar kelas. Mereka pasti ia berkaitan dengan hari sukan yang bakal diadakan.

             

“Baiklah. Ini semua ahli rumah merah, bukan? Kamu pasti tahu yang sekolah kita akan adakan hari sukan tidak lama lagi. Jadi, cikgu ingin edarkan surat pemilihan pemain. Siapa yang berjaya akan mewakili rumah merah dan jika lebih bertuah, mewakili sekolah.” 

Tepat seperti apa yang disangka. Guru yang bersusuk tubuh kecil itu ingin memberitahu perkara berkenaan hari sukan.

Jika disebut sahaja berkenaan sukan, siapa lagi yang menjadi kecoh, seronok tidak terhingga melainkan Airana. Airana, pelajar yang boleh dikategorikan kelas pertama, memang seorang yang meminati sukan. Tidak pergi pemilihan pun, pasti layak menjadi wakil rumah merah.

Di dalam kelas, Airana asyik berangan. Barangkali memikirkan dia menjadi wakil rumah merah yang dibanggakan.

“Airana? Airana? Airana!” Cikgu Norlela yang sedari tadi memanggil Airana mula geram apabila Airana hanya tersengih seperti kerang busuk.

“Kenapa cikgu?” Airana baru tersedar dari lamunan angan-angannya.

“Kenapa kamu tanya? Saya suruh kamu jawab soalan nombor 5!” Cikgu Norlela sengaja menyuruh Airana kerana dia melihat Airana asyik berangan sahaja.

Airana pantas menjawab soalan tersebut. Walaupun gemar bersukan, Airana tetap bijak dalam bidang akademik.

Kring! Kring!

Cikgu Norlela yang sedang rancak mengajar terpaksa keluar dari kelas. Cikgu Norlela memang begitu, sentiasa menepati masa. Tidak lewat walau seminit pun dia keluar dari kelas.

“Fizah, lepas ni mata pelajaran apa?” Airana bertanya rakan karibnya, merangkap rakan yang duduk bersamanya.

“Aii, Cik Airana. Takkanlah leka pasal bersukan sampai lupa subjek kegemaran awak?” Hafizah yang lebih dikenali sebagai Fizah memaksudkan matapelajaran matematik.

“Oh, yalah. Lupa pula saya.” Airana menggosok kepalanya.

“Bangun! Assalamualaikum cikgu.” Cikgu matematik masuk ke dalam kelas secara tiba-tiba. Ketua kelas segera memainkan peranan memberi salam lalu diikuti pelajar lain.

“Sebelum memulakan pelajaran, cikgu nak cakap dengan Airana dan Hafizah sekejap.” Airana dan Hafizah menuju ke meja guru.

“Sebenarnya cikgu dah bincang dengan cikgu lain dan pilih kamu berdua untuk sertai pertandingan ’Bijak Math’. Airana ,saya tahu kamu dah lama tunggu pertandingan ini, bukan?Nanti saya bagi surat.”

Beberapa hari kemudian, tibalah hari pemilihan pemain. Alhamdulillah. Dengan usaha kuat Airana, dia berjaya mewakili rumah merah.

Keesokan harinya, surat pun diberikan kepada Airana dan Hafizah. Perasaan Airana bercampur-baur. Bagaimanakah kebetulan sebegini boleh berlaku?

“Apa? Macam mana tarikh kedua-duanya boleh sama?” Airana separuh menjerit di dalam kelas. Manakan tidak, tarikh pertandingan matematik boleh sama dengan tarikh hari sukan!

“Kenapa kau ni?” tanya Hafizah.

“Tarikh dia sama, kau rasa saya patut pergi mana satu?” Airana meminta pendapat Hafizah.

“Pilih je mana kau suka,” Hafizah menjawab ringkas.

“Kau cakap senanglah. Dua dua saya suka.”

“Saya tidak tahulah.”

  Di rumah, Airana pening memikirkan dua pilihannya. Tiba-tiba neneknya masuk ke dalam biliknya.

“Nenek, Airana ada masalah.”

“Masalah apa?” tanya nenek Airana. Airana pun menceritakan segalanya.

“Ai, setiap masalah pasti ada penyelesaiannya. Ai fikir semula, Ai suka bersukan. Ai dah sertai sukan sejak kecil lagi. Dalam masa yang sama, Ai suka matematik dan pertandingan tu ditunggu sejak cikgu bagitahu. Ai, tidak pergi sekali bukan bermakna dah tidak boleh pergi lagi. Nek tahu susah bagi Ai tetapi Ai kena terima kenyataan, badan Ai bukan macam Spongebob boleh kerat dua. Ai perlu tahu, jalan terbaik yang otak fikir jauh lebih baik berbanding hati. Peluang bersukan, tahun depan ada lagi bukan? Tapi pertandingan ini? Tetapi Ai tetap nak pergi sukan bukan? Ai fikirkanlah.”

Seminggu kemudian, Hari Sukan pun berlangsung. Airana dan Hafizah tidak datang. Sehinggalah pukul 4.00 petang, kelibat mereka langsung tidak kelihatan. Kategori lari perempuan darjah lima yang hampir berlangsung diwakili Airana.

“Cikgu rasa cikgu terpaksa tukar pelari memandangkan Airana masih tidak hadir,” kata guru penasihat.

“Tidak, cikgu. Saya dah sampai.” Airana mengukir senyuman. Dalam hati mengucap jutaan kesyukuran, masih sempat sampai.

“Kalau begitu, sila pergi ke sana, pertandingan akan dimulakan.” Cikgu Firzah turut mengukir senyuman.

“Baik, cikgu.”

“Sedia! Mula!” Cikgu yang bertugas mengungkapkan ayat yang membuatkan Airana Berlari dengan begitu pantas.

Airana berjaya mendahului pasukan lain. Pasukan biru yang diwakili oleh Hafizah hanya beberapa cm di belakang Airana. Tibalah ke garisan penamat. Alhamdulillah, Airana menjadi johan.

“Tahniah, Airana kerana membanggakan rumah merah. Kamu akan mewakili sekolah tidak lama lagi. Cikgu juga ada dengar kamu mendapat naib johan dalam pertandingan ‘Bijak Math’. Cikgu Zarul ada beritahu kamu akan wakili sekolah sekali lagi bersama Hafizah,” panjang lebar kata-kata Cikgu Firzah.

“Terima kasih, cikgu.”

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: