Certot

Diari Hari Sukan Delisya

Hasil nukilan Delisya Emieyra 3 years agoSukan 37

    

  Pada setiap tahun, sekolahku akan mengadakan Hari Sukan selepas peperiksaan akhir tahun  pada awal bulan November. Pada hujung bulan Oktober pula, setiap atlet yang telah dipilih dari rumah sukan masing-masing akan berlatih untuk meningkatkan lagi prestasi masing-masing. 

Ops! Sorry, lupa nak kenalkan diri. Assalamualaikum, namaku Delisya. Rakan-rakanku memanggilku “Icha”. Ibu dan ayahku menamakan nama panggilan tersebut. Umurku 12 tahun dan aku bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sri Melanti ,Selangor. Aku telah berpindah ke Selangor semenjak dua tahun lalu kerana terpaksa mengikuti ayahku yang telah dinaikkan pangkat dan terpaksa menguruskan syarikat di sini. Okey ! Tak payah nak panjangkan cerita. Aku nak fokuskan pada tajuk cerita ku iaitu sukan pada tahun ini, tahun 2015.

 Seperti biasa aku, adikku, dan jiranku yang bernama Hisyam akan pergi ke sekolah bersama-sama pada setiap pagi menaiki kereta Vios yang berwarna putih menyerlah kepunyaan ayah Hisyam. Berbeza pada hari-hari yang lain, kami diarahkan supaya memakai pakaian sukan. Maklumlah, hari inikan Hari Sukan Sekolah. 

Aku dipilih sebagai wakil dari rumah sukan Biru yang menyertai acara lumba lari 4x200 meter. Bukan aku sahaja yang mewakili rumah pasukanku dalan acara ini, tetapi ada tiga orang rakanku pun menyertainya iaitu Rania, Ika, dan Zahra. Mereka bertiga juga tidak mudah dikalahkan. Kami disediakan sebuah khemah sebagai tempat berteduh untuk rumah sukan masing-masing. 

Hari Sukan Tahunan  dimulakan dengan acara pembukaan iaitu acara perbarisan dari setiap rumah sukan dan diikuti dengan acara balapan yang lain. Setibanya nama kami berempat dan para peserta yang lain dipanggil untuk mengambil tempat, aku berasa sangat gementar kerana ini kali pertama aku menyertai acara lumba lari 4x200 meter. Selalunya aku hanya menyertai acara lumba lari 4x100 meter sahaja. Sebelum beredar pergi, Cikgu Masni memberikan nasihat semangat kepada kami. Rakan-rakanku yang lain juga memberikan sorakan kepada aku dan mereka bertiga. 

   “Okey ,dengar baik-baik. Setelah tiba sahaja di garisan permulaan, kamu kena fokus sahaja dan jangan bergurau senda, Icha. Kamu yang lain pula tolong pegang baton baik-baik. Jangan sampai jatuh,” nasihat Cikgu Masni.

   “Jangan bagi rumah Merah yang menang, Icha!” jerit rakan-rakanku. Mereka semua memang bermusuhan dengan rumah sukan Merah.     Aku pun terus keluar dari khemah rumah sukanku dan pergi mengambil tempat di garisan permulaan. Jantungku bedegup kencang.

  “Okey, semua dah bersedia? Ke garisan, sedia mula!” jerit Cikgu Jalih yang ditugaskan menjadi pengadil bagi acara ini.

   Aku dan wakil-wakil yang lain pun terus berlari dengan sekuat hati. Tiba di pertengahan jalan, kakiku terseliuh lalu terjatuh. Sungguh malu aku pada ketika itu. Ramai yang mentertawakan aku. Namun aku  tidak mempedulikan mereka dan terus bangun lalu berlari semula. Wakil-wakil yang lain sudah mendahuluiku. Aku terus berlari sekuat hati lalu meberikan baton kepada Zahra. Sungguh penat aku pada waktu itu, rasa macam nak pitam. Tiba di pelari yang terakhir iaitu Ika.

  “Cepat, Ika! Kalahkan pihak lawan!” jerit Cikgu Masni dengan nada yang kuat. Aku tertawa kecil melihat reaksi cikgu.

  Alhamdulillah, akhirnya rumah sukan kami mendapat tempat kedua. Walaupun bukan tempat pertama tetapi aku tetap bangga. Ika mengubah kedudukan rumah sukan kami. Maklumlah tadikan aku dah terjatuh. Jadi, ketinggalanlah rumah sukan kami. Aku meminta maaf kepada Cikgu Masni kerana membuat kesalahan.

 “Tak apa, asalkan awak dah buat yang terbaik. Kalau kita dapat tempat ketiga pun cikgu tak kisah. Tapi jangan dapat saguhati sudah!” jawab cikgu. 

Aku hanya tersenyum. Berakhirlah sudah diari Hari Sukanku pada kali ini. Semoga berjumpa lagi. Assalamualaikum!  

           

 

Juga daripada penulis ini:

  • Bangkit

Cerita lain: