Certot

Diakah Wira Itu

Hasil nukilan Alia Irdina 2 years agoSuperhero 3

             

Aira membuka matanya. Keadaan sekeliling begitu aneh pada dirinya. Ini bukan biliknya. Bukan juga bilik di rumah Mak Tok. Aira menoleh ke kiri katilnya. Seorang lelaki bersandar di kerusi malas sebelah katilnya itu. Lelaki itu tidur nampaknya. Aira menggosok-gosok matanya yang masih lagi terasa berat.

“Abah…,” bisik Aira. Suaranya perlahan namun membuatkan lelaki di kerusi malas situ terjaga daripada lenanya.

*****

   “Mak Tok, pujuklah abah benarkan Aira dengan adik-adik tinggal dengan Mak Tok,” rayu Aira pada Mak Tok. 

Mak Tok mengusap-usap kepala cucu kesayangannya. Dia mencium lembut rambut cucunya itu. Terubat rindu pada satu-satu anak perempuannya yang baru meninggalkan mereka semua.

   “Mak Tok cuba, tapi kalau abah tak setuju, macam mana?” balas Mak Tok.

   Seminggu sudah berlalu. Pemergian Puan Suhana, ibu Aira memberi kesan besar kepada seluruh ahli keluarganya. Aira masih lagi bersedih, walaupun dia sedar bahawa ibunya akan pergi jua meninggalkan mereka selepas didapati menghidap kanser. Memori bersama-sama ibunya masih segar. 

*****

Hampir setiap pagi, Aira dan adik-adiknya akan menziarahi pusara ibunya, dan ketika di situ, Aira akan bercerita tentang keletah kedua-dua adiknya.

   “Ibu, Aira akan jaga adik-adik macam yang ibu pesan.” Aira mengesat air matanya. Setelah menyirami air mawar di pusara ibunya, Aira pulang ke rumah Mak Tok yang terletak kira-kira satu kilometer dari tanah perkuburan itu.

   Mak Tok dan Tok Wan berpandangan sesama sendiri. Cadangan mereka agar Aira dan adik-adiknya tinggal di kampung ditolak mentah-mentah oleh Encik Haidar.

   “Mak, ayah… saya mampu jaga anak-anak saya.” Itulah kata-kata Encik Haidar yang membuatkan Aira berasa sangat kecewa.

   ‘Mampukah?’ bisik hati Aira. Hatinya kecewa mendengar jawapan daripada mulut abahnya.

*****

   “Ibu, kenapa abah selalu saja sibuk? Tidak seperti ayah Lisa dan Diana. Mereka ada masa untuk anak mereka,” tanya Aira pada ibunya satu ketika dulu.

   “Aira kena faham nak. Kerja abah sebagai pegawai polis tu tak tentu masa. Kita kena terima keadaan tu. Tak apalah, ibu akan pergi sekolah Aira, ya sayang,” pujuk Puan Suhana.

   Aira rasa sangat kecewa apabila abahnya tidak dapat hadir ke majlis penyampaian hadiah yang diadakan di sekolahnya. Bukan itu sahaja, apa sahaja aktiviti sekolah hanya dihadiri oleh ibunya. Ini membuat perasaan Aira amat dingin terhadap abahnya sendiri. 

Ada ketikanya dia berasa cemburu pada rakannya Lisa. Setiap kali program yang diadakan di sekolah, ibu bapa Lisa tidak pernah ketinggalan. Begitu juga Dania, setiap kali tamat cuti sekolah, Dania pasti akan menceritakan pengalaman bercutinya bersama-sama ayah dan ibunya. Tetapi dia, tidak pernah sekali pun dia dapat bercuti malahan aktiviti sekolah pun abahnya tidak pernah dapat hadir.

 

   “Aira, bawa adik makan, abah hendak berehat sekejap,” arah Encik Haidar kepada anak sulungnya. 

Aira akur walaupun dalam hatinya terdetik rasa geram pada abahnya. Hampir setiap hari, dia melihat Encik Haidar tidur di sofa selepas pulang dari kerja. Aira membawa kedua-dua adiknya yang berumur lima dan enam tahun itu makan. Ketika ibunya masih ada, waktu inilah mereka akan duduk semeja sambil bersembang tentang apa sahaja. Aira sangat merindui saat itu.

   Aira membuka tudung saji. Lauk ayam kicap dan sambal sotong kegemarannya terhidang di atas meja. ‘Bila pula abah memasak? Ini mesti beli lagi.’ 

Ketika mengambil pinggan di dapur, dia melihat keadaan dapur seperti baru sahaja digunakan. Kuali masih di atas dapur. ‘Abahkah yang masak?’ detik hati Aira. Macam tahu-tahu saja makanan kegemaran Aira selama ini.

*****

   Aira memimpin tangan kedua-dua adiknya. Inilah rutinnya kini. Menjemput kedua-dua adiknya dari rumah pengasuh yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Setibanya di rumah, pintu berkunci. Tahulah Aira abahnya tiada di rumah. Mungkin dipanggil bekerja kerana sebelum ke sekolah pagi tadi, Encik Haidar memaklumkan pada Aira yang dia bercuti hari itu. Aira merehatkan diri, melepaskan lelah setelah seharian di sekolah.

   “Kak, Aiman laparlah kak,” rengek adik bongsunya. 

Aira mengeluh namun berasa kasihan melihat wajah adiknya. Aira melangkah ke dapur. Namun dia berasa hampa apabila melihat tiada makanan di bawah tudung saji seperti biasa. Hatinya hampa, tetapi ditabahkan juga. Pesanan ibu tetap teguh di hatinya.

   “Aira, walau apa yang terjadi Aira mesti hormat abah kerana dialah satu-satunya abah Aira di dunia dan akhirat. Mungkin Aira tak nampak kasih sayang abah pada kamu, tapi percayalah abah sangat sayangkan kamu adik-beradik.” Itulah kata-kata akhir ibunya sebelum dia meninggalkan mereka semua.

   “Aiman tunggu sekejap, kakak gorengkan telur,” kata Aira membuatkan Aiman bertepuk tangan. 

Ketika sedang memanaskan kuali, terdengar jeritan Izwan adik keduanya di dalam bilik air. Aira bergegas meninggalkan dapur sambil diikuti adiknya Aiman. Rupa-rupanya, Izwan terjatuh di bilik air. Baru sahaja hendak memimpin adiknya keluar dari bilik air….

  Boooom!

   Letupan kuat memecah keheningan petang taman perumahan itu. Aira seolah-olah hilang arah apabila asap tebal semakin memenuhi ruang rumahnya. Tangisan Izwan dan Aiman membuatnya semakin kelam-kabut. Fikirannya buntu.

   “Aira! Aiman! Izwan!” Terdengar sayup-sayup suara Encik Haidar memanggil-manggil ketiga-tiga orang anaknya itu. 

Asap semakin menebal. Pandangan Aira semakin kelam. Namun tangannya tetap memimpin tangan kedua-dua adiknya. Nafas Aira sesak. Dia tidak mampu lagi bertahan, dalam hatinya hanya berserah. Dunia semakin gelap.

*****

   Aira memandang ke arah abahnya. Sebahagian tangan abahnya berbalut. Air mata tidak boleh ditahan lagi.

   “Abah, maafkan Aira. Ini semua salah Aira.” Aira memeluk abahnya. Encik Haidar membalas pelukan anaknya. Hatinya begitu terusik.

   “Aira, abah yang patut minta maaf pada Aira dan adik-adik sebab tidak jaga kamu semua baik-baik. Abah terlalu pentingkan kerja sampai abaikan kamu bertiga,” kata Encik Haidar. Hatinya begitu kesal kerana baginya apa yang berlaku adalah salah dirinya juga.

*****

   Setelah seminggu peritiwa kebakaran itu berlaku, barulah Aira mengetahui cerita sebenar daripada Mak Tok. Pada hari itu, Encik Haidar bukannya pergi bekerja, tetapi dia keluar untuk membeli makanan. Oleh sebab dia demam pada hari itu, dia tidak larat memasak untuk anak-anaknya seperti biasa. Namun, semua telah ditakdirkan. 

  Setibanya dia di rumah, dia melihat asap tebal memenuhi rumahnya itu. Tanpa berfikir panjang, Encik Haidar merempuh masuk ke dalam rumah mencari anak-anaknya walaupun dilarang oleh jiran-jiran kerana asap sangat tebal. Mujurlah tangisan dan jeritan Aiman dapat menyelamatkan mereka semua. Namun begitu, Aira terpaksa dimasukkan ke hospital kerana mengalami sesak nafas.

  “Aira, walaupun abah jarang bersama kita, Aira kena ingat abah akan sentiasa menjadi superhero kita semua.” Kata-kata Puan Suhana tergiang-giang di telinga Aira. Itulah kata-kata ibunya yang selama ini cuba dia nafikan. Tetapi, kini dia mengerti apa yang diperkatakan itu benar. Abah, kaulah wira kami hari ini dan selamanya.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: