Certot

Dediku Superhero

Hasil nukilan Sofea 2 years agoSuperhero 33

             

Kami adik-beradik memanggil ayah sebagai Daddy. Mungkin Daddy ada darah kacukan orang putih atau mungkin saja tidak. Tahun lepas semasa saya berada dalam tahun tig, saya ada menanyakan soalan itu kepada Daddy.

          “Daddy anak jati Kelantan. Daddy nak anak-anak panggil daddy supaya orang luar tahu bahawa orang Kelantan juga maju.”

          Saya agak tidak faham apa kaitannya, tetapi saya hanya tersenyum. Mummy ada beritahu bahawa sekiranya saya tidak faham akan sesuatu yang diujarkan daddy, saya harus memberikan senyuman.

          “Daddy buat lawaklah tu. Adik terlalu kecil untuk memahaminya. Mummy sendiri pun kadang-kadang tak faham sangat,” kata mummy setiap kali saya tidak faham akan sesuatu yang diujarkan oleh daddy.

Daddy merupakan seorang yang sangat bersahaja. Saya tidak pernah melihat daddy terlalu serius, bahkan tidak pernah juga melihat daddy terlalu bermain-main semasa melakukan sesuatu perkara. Kakak dan abang juga ada menegur daddy seolah-olah seperti seorang robot yang tiada perasaan dan pandai melakukan sedikit lawak.

          Daddy hanya tersenyum. Tiada respon positif mahupun negatif. Saya tidak tahu mengapa dengan begitu sahaja daddy kelihatan sangat hebat di mata saya. Di manakah sebenarnya mummy berjumpa jodoh seperti daddy? Mummy juga hebat.

          Namun begitu, tipulah sekiranya saya tidak berasa sedikit kecewa dengan perangai daddy yang amat bersahaja itu. Daddy tidak seperti ‘superhero’ di dalam televisyen. Sekiranya saya terjatuh atau tercedera, daddy selalunya akan menyuruh saya bangun dan sapu luka dengan sendiri.

          “Kamu dah besar, boleh bangun sendiri,” kata daddy dari jauh setiap kali saya terjatuh.

          Memandangkan saya merupakan anak bongsu daripada tiga orang adik beradik, saya sering berasa kesunyian. Mana tidaknya, kakak dan abang yang merupakan pelajar sekolah menengah dan kedua-duanya tinggal di asrama.

          Setiap kali cuti hujung minggu, akan hanya tinggal saya, mummy, dan daddy di rumah. Oh tidak lupa juga dengan Bola, kucing kesayangan saya. Antara Bola dengan mummy, saya lebih sayangkan  mummy. Namun begitu, antara Bola dengan daddy, tidak apakah sekiranya saya memilih Bola?

          Bola selalu mendengar masalah antara saya dengan daddy. Saya tahu Bola memahaminya dengan cara dia mengiau. Walaupun Bola juga tidak mampu untuk menjadi ‘superhero’ saya, dia tetap kawan saya yang paling disayangi.

          Daddy bukan sahaja terlalu bersahaja, tetapi dia juga sering mengatakan bahawa dia bosan mendengar cerita saya. Katanya saya hanya perlu berlatih bercakap untuk memasuki pertandingan pidato di sekolah. Saya menepuk dahi.

          Kadangkala daddy membawa pulang hadiah untuk saya setiap kali dia selesai bekerja. Untung juga menjadi bongsu yang hanya tinggal seorang di rumah. Apabila saya mengucapkan terima kasih, akan dibalasnya, “Anything for my daughter,” sambil menguap menuju ke biliknya.

          Saya tahu daddy mampu untuk menghadiahkan kepada anak-anaknya pelbagai benda. Cuma satu perkara yang saya betul-betul mahukan daripada daddi, iaitu menjadi ‘superhero’ kepada anak-anaknya.

          Selain daripada saya, Bola juga sebenarnya amat rapat dengan Daddy. Tiap-tiap malam sewaktu daddy sedang bersandar di atas sofa sambal menonton berita di televisyen, Bola mengusap tubuhnya pada kaki Dedi.

          Daddy langsung tidak keberatan. Cuma apabila tiba sahaja giliran anak bongsunya ingin bermanja dengannya, laju sahaja daddy memerli, “Kamu dah besar, sudah boleh menolong emak memasak di dapur. Bukan asyik bermanja sahaja.”

          Seperti Bola pula anak Daddy di sini. Untungnya menjadi Bola.

          Namun begitu, langit tidaklah selalu mendung. Daddy pula tidaklah selalu begitu. Suatu hari semasa di taman permainan, saya dan Bola sedang seronok bermain bersama-sama. Sampailah pada satu ketika saya terlalu letih bermain lalu saya meninggalkan Bola bermain sendirian.

          Bola tahu untuk pulang ke rumah dengan sendiri apabila sudah tiba waktunya. Saya pun menapak pulang ke rumah tanpa khuatir.

          Tidak sampai dua tapak saya melangkah pergi meninggalkan tapak permainan, saya mendengar suara salakan anjing yang tidak jauh dari situ. Dada saya berdegup kencang apabila melihat kelibat anjing yang pantas berlari di hadapan mata saya menuju ke tempat Bola.

          Saya menjerit sekuat hati bagi memberi amaran kepada Bola agar menyelamatkan diri daripada diterkam anjing tersebut.

          Pada waktu itu, daddy sudah pulang dari tempat kerjanya. Saya berlari menerpa ke arah kereta daddy dan memberitahunya tentang Bola dan anjing yang ingin menyerangnya. Wajah daddy berubah cemas. Sepatas kilat, daddy menyambar mana-mana batang kayu yang terdapat berhampiran dengannya lalu menonong pergi ke tempat Bola.

          Setibanya semula di taman permainan itu, kelihatan Bola masih sedang dikejar oleh anjing itu. Bulu-bulu gebu Bola seperti sudah sedikit lecun dengan darahnya sendiri.

          Tanpa membuang masa, daddy menghalau anjing liar itu daripada terus mengganggu Bola. Saya belari mendapakan Bola yang sudah keletihan dikejar anjing gila itu.

          Di rumah, daddy memberikan rawatan kecemasan kepada Bola. Daddy mengarahkan saya untuk membuat itu dan itu. Saya hanya menurut arahan daddy daripada mencuci darah Bola sehinggalah membalut bahagian tubuh Bola yang tercedera.

          Dedi kelihatan begitu serius dan itulah kali pertama saya dapat melihat Dedi begitu serius dalam melakukan sesuatu perkara.

          Semenjak hari itu, saya sudah dapat melihat Dedi sebagai ‘Superhero’ yang sebenar. Kalau tidak kerana Dedi, mungkin saya sudah tiada kawan lagi di rumah ini. Sekarang saya sudah sedar dan terbuka mata. Dedi tidak melakukan semua perkara untuk saya, tetapi dia menunjukkan cara untuk melakukan semua perkara kepada saya.

          Saya amat kagum dengan daddy. Mungkin kerana itulah daddy merupakan superhero kepada mummy, saya, dan juga kepada Bola.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: