Certot

Daddy’s Little Girl

Hasil nukilan Alia Nabila 2 years agoFiksyen 41

“Ayah, pernahkah Aiyra sakitkan hati ayah?” tanya Aiyra pada suatu hari. Ketika itu, dia dan ayahnya sedang duduk di atas buaian yang dibuat sendiri daripada serawan jala. Aiyra bersandar pada lengan sasa ayahnya.

Mereka duduk menghadap rumah mereka yang merupakan banglo dua tingkat di tanah persendirian milik ayah Aiyra sendiri. Dahulu, mereka mendiami rumah ini bersama ibu Aiyra. Namun kini tidak lagi. Setelah tragedi kapal terbang yang masih hilang dan pernah hangat di media massa serta dada-dada akhbar itu semakin dilupakan walaupun tragis, kini hanya tinggal Aiyra dan ayahnya sahaja.

“Mungkin,” jawab ayahnya. 

Aiyra mengeluh apabila jawapan ayahnya tidak seperti yang diharapkannya.

“Tapi….” Ayah mengusap kepala Aiyra lembut. “Tahukah Aiyra, mengapa ayah dan ibu letakkan nama Puteri Aiyra Nur Syifaa untuk puteri tunggal kami 15 tahun dahulu?” 

Pertanyaan ayahnya membuatkan Aiyra terpancing rasa ingin tahu.

“Syifaa, bermaksud penawar. Apabila ayah terasa hati dengan Aiyra walaupun sedikit, ayah akan ingat hari ‘itu’, iaitu sehari selepas kelahiran Aiyra, puteri sulung ayah dan ibu.”

Aiyra membulatkan matanya, rasa teruja ingin mendengar kisah selanjutnya.

“Kisahnya begini….”

————

“Saya mahu letakkan nama Puteri Aiyra, memandangkan dia puteri pertama kita. Aiyra pula bermaksud dihormati dan diberkati. Biar puteri ibu ini sentiasa menghormati dan dihormati juga,” ujar ibu lalu mencium dahi Aiyra yang baru sahaja 24 jam keluar daripada rahimnya sendiri.

“Di belakangnya, kita letakkan Nur Syifaa. Supaya cahaya selalu menerangi hidupnya dan menjadi penawar buat kita dan semua orang. Okey?” cadang ayah pula lalu membelai kepala Aiyra yang ditumbuhi rambut halus.

“Puteri Aiyra Nur Syifaa. Saya suka nama itu, abang,” bisik ibu dengan penuh rasa bahagia.

“Baik. Abang pergi daftarkan, ya?”

———-

Aiyra yang mendengar cerita ayahnya mula berasa tersentuh. Air matanya mengalir setelah ditahan-tahan sedari tadi.

“Aiyra rindukan ibu? Kalau begitu, hadiahkan Al-Fatihah buat ibu, ya? Semoga ibu diberi rahmat dan berkat daripada Allah.” 

Ayah peluk Aiyra, erat. Kemudian, ayah turut mengalirkan air mata. Sebak.

Sebak mengingati wanita yang pernah bersama melalui onak dan duri kehidupan. Mereka pernah membesarkan Aiyra bersama sehinggalah Aiyra berusia 13 tahun, kapal terbang yang dinaiki tiba-tiba hilang tanpa diketahui lokasinya. Waktu itu, ayah berusaha untuk tidak menangis demi Aiyra. Ayah tunjukkan bahawa dia kuat dan dia mampu menjalani kehidupan baru bersama Aiyra. Dan hari ini, air mata yang begitu payah untuk ditahan akhirnya menitis juga.

Mereka berdua berpelukan sambil teresak-esak menangis. Sudah lama ayah menanggung seksa kehilangan wanita yang dicintainya itu. Aiyra faham. Cukup faham.

“Bila tiba masanya nanti, ayah akan melepaskan Aiyra. Tanggungjawab ayah akan selesai dan diserahkan pula kepada seorang lelaki yang akan menyambung tugas ayah. Waktu itu, ayah harap Aiyra masih sayangkan ayah dan tidak melupakan ayah. Ayah mungkin masih hidup ketika itu, dan ayah harap tempat ayah bukanlah di rumah orang-orang tua. Jenguklah ayah, walaupun sibuk. Ayah tak mungkin berkahwin lagi dan ayah tak mungkin mempunyai anak yang lain selain Aiyra.”

“Andaikata ayah menurut langkah ibu nanti, ayah harap Aiyra jangan bersedih. Kuatkan hati. Pesan ayah, jangan sakiti hati suami Aiyra nanti. Ayah harap ayah akan masih hidup sehinggalah Aiyra berkahwin nanti kerana ayah ingin menjadi wali Aiyra dan melihat wajah Aiyra yang bahagia. Itulah saat paling menggembirakan, dan menyedihkan. Gembira apabila anak ayah sudah memasuki alam dewasa, dan sedih memikirkan Aiyra bukan lagi milik ayah. Tetapi Aiyra, macam mana Aiyra sakitkan hati ayah sekalipun, You will still be daddy’s little girl.

Mata ayah berkaca-kaca apabila mengakhiri kata-katanya tadi.

Aiyra memeluk ayah erat bagai tidak mahu dilepaskan lagi. “And you will always be my beloved here and after,” bisik Aiyra. 

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: