Certot

Coret-Coret Sukan

Hasil nukilan Laila Lyana 2 years agoSukan 21

6 Feb 15

Tidak lama lagi hari sukan sekolah! Bagaimana aku si badak air ini mahu menyertai aktiviti sukan? Bencinya! Sudahnya, si gedik Arina pula mencabar aku menyertai larian 200 meter? Memalukan diri saja! Tapi itu tidak bermakna aku tidak boleh mencuba!


14 Feb 15

Tadi ketua rumah sukan panggil aku. Dia tahu aku mahu wakili larian 200 meter. Jadi dia akan latih aku mulai esok. Tak sangka ketua yang sombong itu  baik hati juga ya? Dia senyum saja dari tadi aku tengok.



15 Feb 15

Amboi! Dia mahu latih aku atau mendera? Tadi dia suruh aku lari 10 pusingan padang! Selesai lari, dia cuma benarkan aku minum sebotol air mineral saja. 

Kaki aku hampir putus rasanya! Tetapi, tidak mengapa! Tadi dia ada beri tips berlari. Harus kawal pernafasan dan bertenang. Lusa aku kena berlatih lagi… tetapi kaki aku masih longlai! 



21 Feb 15

Kata ketua yang kejam (tapi sebenarnya baik dan comel) itu, larian 200 meter dibuat pada hari sukan. Dia juga mengajak aku menyertai lontar peluru, kerana saiz tubuhku yang besar dan tenagaku yang kuat. 

Aku tidak menolak pelawaannya dan mahu mencuba selepas latihan larian. Ketika dia mengajar aku cara membaling, guruku yang garang tiba-tiba datang. Beliau nampak terkejut melihat aku. Aku fikir beliau akan ketawakan aku… seperti orang lain.

Tapi tidak!

Beliau bersorak dan memberikanku semangat. Beliau juga memberi sedikit motivasi supaya aku tidak lemah semangat dan tunduk pada ejekan orang lain. Terima kasih cikgu!



26 Feb 15

Aku mendapat khabar yang ketua rumah sukan kami dan juga guru matematik aku kemalangan. Rupa-rupanya guruku itu ibu kepada ketua rumah sukan kami!

Sepatutnya, ini hari terakhit latihan sebelum aku menghadapi trek sebenar. Gementarnya! Aku harap, mereka berdua cepat sedar dan boleh melihat hasil dari usaha kami. Aku mesti berjaya!



7 Mac 15

Penat aku mencari diari ini! Terselit dibawah katil rupanya! 

Aku baru saja pulang dari makan malam perdana yang ditaja PIBG sekolah. Aku rasa bangga sangat dengan kemenangan yang diraih!

Aku berjaya menempah tempat dalam acara lontar peluru dan larian 200 meter. Untuk acara lontar peluru, aku mendapat tempat pertama dengan balingan sejauh 7.1 meter! Hebatkan?

Untuk larian 200 meter, aku meraih tempat kedua. Alhamdullillah! Aku berasa puas hati melihat muka Arina yang terkejut itu. Barulah dia tahu rasa malu dan terus pulang ke rumah apabila kemenanganku diumumkan.

Tetapi, aku tetap tidak berasa gembira….

Terima kasih pada arwah ketua rumah sukanku dan guruku.

Al-Fatihah….

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: