Certot

Come On, Hana!

Hasil nukilan Dina Izzati 2 years agoSukan 79

“Bagus! Mama bangga dengan kamu, Hana! Tidak sia-sia kamu berlatih hampir dua minggu untuk kejohanan ini,” puji Puan Ilya. Tangannya masih setia memegang stereng kereta. Matanya tetap fokus dihadapan agar pemanduannya lancar.

“Terima kasih mama! Ini semua pun sebab tunjuk ajar mama,” ujar Hana sambil mengusap-usap pingat emas yang diperolehinya tadi. Sungguh dia tidak sangka dia dapat memenangi kejohanan itu kerana pesaing-pesaingnya semua hebat-hebat.

“Sama-sama. Nanti jangan berbangga diri pula. Ini baru permulaan,” nasihat Puan Ilya sambil tersenyum manis.

“Mama, tadi semasa perlumbaan terakhir, ada seorang pesaing Hana dari SK Lembah Dalam berjaya memotong Hana. Hana cuba sedaya upaya untuk memintas dia semula. Tetapi, malang tidak berbau. Hana terjatuh dan kaki Hana terseliuh. Tetapi, entah bagaimana Hana bangun semula dan berlari sekuat hati hingga ke garisan penamat. Sampai sekarang Hana masih tidak percaya Hana memenangi perlumbaan tersebut,” cerita Hana bersungguh-sungguh. Puan Ilya memasang telinga.

“Itu namanya rezeki. Allah sudah tetapkan itu rezeki Hana, maka Hana tetap akan dapat juga,” kata Puan Ilya.

“Mama, apa kata….” Belum sempat Hana menghabiskan kata-katanya itu, sebuah lori meluru laju ke arah mereka.

“Mama!” Puan Ilya terus memandang ke hadapan. Dia gagal mengawal stereng dengan baik. Hana sudah menjerit dan menangis ketakutan.

Lori tersebut semakin menghampiri dengan laju dan melanggar kereta yang dinaiki Hana dan Puan Ilya.

*****

“Hana, tolonglah,” kata Adeela sambil memegang tangan Hana.

“Saya masih belum bersedia untuk menyertai olahraga,” balas Hana, serba salah. Dia melepaskan tangannya daripada pegangan tangan Adeela.

Sejak dari peristiwa yang meragut nyawa Puan Ilya, Hana mengambil keputusan untuk tidak menyertai apa-apa jua pertandingan olahraga. Dia merasakan, dirinyalah penyebab kematian ibunya.

“Come on, Hana! Awak boleh sumbangkan banyak mata bagi rumah sukan kita. Kalau tidak, hancurlah harapan guru rumah sukan kita untuk bergelar juara tahun ini.” Adeela masih memaksa Hana. Hana hanya terdiam.

“Saya akan fikirkan semula. Buat masa ini, saya benar-benar tidak bersedia.” Hana segera berlalu pergi, meninggalkan Adeela yang masih duduk di bangku kantin.

“Hana!” Adeela memanggil Hana tetapi Hana buat-buat tidak dengar. Adeela menghela nafas panjang. Dia tahu, kalau dia berada di tempat Hana sekalipun, dia sendiri pun masih belum bersedia.

*****

Pagi itu, Hana bangun lebih awal dari biasa. Hana bercadang untuk solat tahajud dan solat hajat. Suasana pagi itu sungguh tenang dan nyaman.

Malah, Hana tidak pernah lupa untuk mendoakan kesejahteraan ibunya yang berada di alam barzakh.

“Awalnya Hana bangun hari ini,” ucap Encik Reza, ayah Hana. Dia meletakkan teko teh di atas meja dengan berhati-hati. Hana menarik kerusi lalu duduk.

“Sengaja. Hana nak hadir awal,” jawab Hana sambil mencapai sandwic telur yang disediakan ayahnya.

*****

Hari ini adalah Hari Sukan Tahunan SK Bandar Kemboja iaitu sekolah Hana. Maka, Hana pun berpakaian sukan hari ini. Hana hanya mernyertai perbarisan bagi rumah sukannya.

Setibanya dia di padang sekolah, Hana segera pergi ke khemah rumah sukannya yang berwarna hijau. Cikgu Jameela,  guru rumah sukan Hijau memberikan taklimat kepada ahli-ahli yang menyertai perbarisan kerana majlis hari itu akan dimulakan dengan perbarisan.

*****

Setelah tamat acara perbarisan, Adeela cepat-cepat menghampiri Hana yang sedang menyimpan semula alat-alat yang digunakan semasa perbarisan tadi.

“Hana!”

“Kenapa, Deela?” Hana terkejut apabila Adeela tiba-tiba menyergahnya.

“Hana, Cikgu Jameela nak jumpa awak,” ucap Adeela, termengah-mengah. Hana segera berjumpa Cikgu Jameela yang kelihatan cemas.

“Kenapa cikgu mahu berjumpa dengan saya?” tanya Hana.

“Boleh kamu gantikan wakil rumah sukan kita untuk pertandingan olahraga? Wakil kita mengalami kecederaan yang serius dan cikgu dapat bergantung harap dengan kamu sahaja,” kata Cikgu Jameela panjang lebar. Dia memang berharap Hana dapat menggantikan pelari tersebut.

“Tetapi cikgu, saya sudah lama tidak menyertai pertandingan olahraga. Saya tidak boleh lakukannya,” kata Hana teragak-agak.

“Cikgu percaya kamu boleh. Pasti arwah ibu kamu gembira apabila kamu menyertai pertandingan ini semula,” balas Cikgu Jameela. Dia menatap wajah Hana yang serba salah itu.

“Baiklah, cikgu. Saya akan cuba,” ujar Hana. Dia mesti bangkit semula.

Cikgu Jameela cepat-cepat menulis nama Hana dan berterima kasih. Hana segera ke tempat duduknya. Dia berasa gelisah dan gementar. Tidak tahu kenapa.

Apabila sampai ke pertandingan olahraga kategori perempuan tahun enam, Hana mengambil tempat di trek keempat. Ahli-ahli rumah hijau menyokong Hana memandangkan Hana seorang pelari yang hebat.

Hana berasa gementar dan tangannya berpeluh. Kakinya menggigil-gigil. Segera dia teringatkan arwah Puan Ilya. Hana menarik nafas panjang untuk menenangkan dirinya.

“Ke garisan, sedia….” 

Hana cuba fokus. Hatinya berdebar-debar.

Prit!

Hana berlari dengan sekuat hati. Dia yang mendahului perlumbaan tersebut. Peserta-peserta lain tidak dapat memotongnya kerana dia berada jauh di hadapan. Ahli rumah sukan Hijau semakin galak menyokong Hana.

Akhirnya, Hana yang menjuarai perlumbaan tersebut. Malah, mencatatkan rekod terbaru dengan masa yang terpantas.

“Hana!” Adeela segera memeluk Hana. Dia tidak sangka, Hana dapat berlari selaju itu.

“Bagus Hana. Tidak rugi kamu mencuba bukan?” ucap Cikgu Jameela. Dia tersenyum manis. Hana mengangguk-angguk sambil meneguk air mineral.

Baru sekarang Hana sedar, tidak sepatutnya dia merasakan dia penyebab kematian ibunya. Dan, tidak sepatutnya dia tinggalkan minatnya. Pasti arwah ibunya gembira dengan pencapaiannya hari ini. Dia benar-benar rasa puas. Dia sendiri tidak sangka dia berjaya lakukannya.

‘Ibu, terima kasih atas tunjuk ajar ibu selama ini. Sayang ibu!’ bisik hati kecil Hana sambil tersenyum bangga.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: