Certot

Cinta pertama saya

Hasil nukilan Atiqah 2 years agoSuperhero 5

             

Gempak tak tajuk saya ini? Perasan, bukan? Kenapa saya pilih tajuk ini? Siapa hendak tahu? Angkat tangan boleh? Baiklah… saya beritahu. Seorang ayah adalah cinta pertama setiap anak perempuan. Ayah adalah lelaki pertama yang dikenali secara dekat oleh seorang anak perempuan. Betul, bukan? Terkadang kasih seorang suami pun tidak sama dengan curahan kasih sayang seorang ayah.

    Baiklah, mari saya perkenalkan cinta pertama saya. Nama cinta pertama saya ialah Zulkifli bin Johan. Abah saya berusia 55 tahun. Abah saya ini, umur sahaja yang sudah separuh abad, tetapi kalau dilihat rupanya macam baru suku abad. Abah saya menemui cinta hatinya bernama Maimunah binti Mahmood pada tahun 2001.  Alhamdulillah… kehidupan beliau sangat bahagia. Abah saya dikurniakan dengan tiga orang puteri. Saya si puteri bongsu.

    Abah saya, seorang penggemar budu. Ini kerana abah saya berasal dari Terengganu. Selain itu, abah saya sangat suka makan ulam-ulaman. Sebab itulah abah saya awet muda.

    Pada tahun 1992, abah saya mengalami kemalangan jalan raya. Doktor telah mengesahkan dari segi perubatan bahawa abah saya tidak boleh berjalan. Abah saya akan terlantar di atas katil sehingga ke akhir hayat hidupnya. Abah saya mengalami lumpuh di bahagian kiri badannya. Tetapi abah saya seorang yang berpegang pada prinsip berpantang ajal sebelum maut. Beliau mempunyai semangat juang yang kuat lagi kental. Dengan izin Tuhan dan berkat usahanya, cinta pertama saya mampu berjalan biarpun sedikit tempang. Sedih, bukan? 

  Abah saya adalah seorang yang sangat hebat. Kami adik-beradik suka memanggilnya dengan gelaran Power Ranger.

    Anda hendak tahu mengapa saya menggelarkannya power ranger? Ini kerana abah saya mempunyai kuasa luar biasa. Abah saya boleh bertukar mengikut kuasa yang dikehendakinya. Tetapi ingat… kuasa itu semuanya anugerah Tuhan buat cinta pertama saya. Dengan kuasa itulah, kehidupan saya menjadi sangat bermakna.

    Kuasa pertama ialah kuasa memaafkan orang lain. Abah saya seorang yang mudah memaafkan orang lain. Hatinya sangat lembut dan mudah tersentuh. Kami selalu membuat abah marah, tetapi beliau tidak marah dan sentiasa memaafkan kami.  Itulah sucinya kasih seorang abah.

  Kuasa kedua ialah kuasa membuat lawak. Kuasa ini paling saya suka. Saya rasa kalau abah saya menyertai pertandingan Maharaja Lawak , mesti abah saya dapat tempat pertama. Dengan kuasa ini, kehidupan saya bertambah ceria. Kalau abah saya buat lawak, saya mesti ketawa dengan bersungguh-sungguh.

  Kuasa ketiga ialah kuasa tidak mudah berputus asa. Seperti yang saya ceritakan bahawa abah saya pernah mengalami kemalangan. Sikap tidak berputus asanya itu sangat terserlah dalam kehidupan sehariannya. Biarpun abah saya tergolong dalam golongan OKU, tetapi beliau tidak menjadikan itu sebagai alasan untuk bermalas-malasan dalam hidup. Bagi abah saya, OKU itu tidak membawa maksud orang kurang upaya, tetapi orang kelebihan upaya. Saya yakin abah saya bakal menjadi seorang usahawan yang berjaya suatu hari nanti. 

    Kuasa keempat ialah kuasa memberi. Abah saya sangat suka memberi. Abah saya selalu berpesan… dalam hidup ini, kita tidak boleh sentiasa menerima, tetapi kita mesti memberi. Memberilah apa-apa pun. Jika tidak dengan harta, memadai dengan tenaga. Jika tidak mampu, mencukupi dengan segaris senyuman di bibir. Paling utama, abah saya kata… berkata-katalah dengan perkataan yang baik. Itu adalah pemberian paling utama. Abah saya selalu pesan erti hidup pada memberi. Dahulu saya tidak memahaminya, tetapi dengan sabar abah saya menunjukkan caranya. 

    Kuasa terakhir ialah kuasa kejutan. Abah saya suka membuat kejutan dan saya sangat menyukainya. Saya sentiasa tertunggu-tunggu waktu abah pulang dari kerja. Kejutan itu bukanlah sesuatu yang mahal, tetapi sesuatu yang sangat kami inginkan. Pernah pada suatu malam, kami adik-beradik teringin hendak makan burger. Sebaik sahaja kami habis bercakap…“sedapnya kalau ada burger” ... abah saya pulang dengan membawa burger. Kami berasa sangat gembira. Banyak lagi perkara kejutan yang sering abah saya lakukan kepada kami.

    Cukuplah saya kongsikan lima kuasa yang ada pada abah saya. Sebenarnya, ada banyak lagi. Lain kali saya ceritakan, ya.

    Apa pun kawan-kawan, selagi kita mempunyai ayah hargailah mereka. Banyak pengorbanan yang seorang ayah lakukan dalam membesarkan kita. Mungkin kita jarang mempedulikan perasaan seorang ayah, tetapi percayalah perasaan seorang ayah sama seperti seorang ibu. Cuma mereka tidak menunjukkan dan tidak mengungkapkannya. Baiklah kawan-kawan, jangan lupa sayang ayah kita ketat-ketat.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: