Certot

Bowling Tournament

Hasil nukilan Shazarina Aryani 3 years agoSukan 64

             

      “Ilyana, tahniah kerana kamu telah terpilih menjadi wakil sekolah untuk bowling tournament pada minggu depan. Ini surat kebenaran penjaga. Minta ibu atau bapa kamu tandatangan. Berikan pada cikgu surat itu kembali besok,” kata cikgu Farah sambil menyerahkan surat kebenaran kepada Ilyana.

“Baiklah, cikgu. Terima kasih kerana telah memilih saya,” jawab Ilyana Erina sambil tersenyum kegembiraan.

Cikgu Farah tersenyum lalu berlalu pergi. Dia berasa bangga dengan kebolehan yang ada pada anak didiknya itu. Tidak sia-sia latihan yang telah diberikan kepada Ilyana selama ini.

 *****

Hampir dua jam Ilyana menunggu di pondok sekolah. Namun, batang hidung kedua ibu bapanya masih juga tidak kelihatan. Semua murid di sekolah itu sudah dijemput oleh penjaga masing-masing. Ilyana mula berasa tidak sabar.

‘Rasanya kalau aku jalan kaki, tak adalah jauh sangat.’ Ilyana berfikir sejenak sebelum menggalas beg sekolahnya lalu keluar dari pagar sekolah. Dia mengambil keputusan untuk berjalan kaki. Lagipun, rumahnya tidak begitu jauh dari sekolah.

Sesampainya Ilyana di rumah, bia memberi salam sambil menekan loceng rumahnya. Tetapi, tiada sahutan dari sesiapa. Dia berasa pelik.

‘Hish, mana semua orang ni?’ Ilyana mengomel dalam hati.

Tiba-tiba dia terdengar bunyi kaca pecah. Ilyana terkejut kemudian dia menekan loceng rumah berkali-kali. Setelah Ilyana menekan loceng berkali-kali, kak Suria membuka pintu rumah. 

“Kak Suria, tadi Yana ada dengar bunyi kaca pecah. Apa jadi?” Ilyana berhenti menekan loceng dan segera bertanya kepada pembantu rumahnya itu.

“Akak tak tahu kenapa,” jawab kak Suria.

Ilyana segera memasuki rumah. Dia menangis teresak-esak setelah melihat ibunya menangis.

“Ilyana, sekarang kamu pilih nak tinggal dengan papa atau mama?” soal puan Sri Rihana kepada anak tunggalnya.

“Yana nak tinggal dengan papa dan mama,” jawab Ilyana sambil menangis mendengar soalan mamanya itu. Dia tidak mahu ibu bapanya berpisah. Bagaimana pula dengan nasibnya selepas ini?

“Yang kamu menangis ni kenapa? Mama Cuma tanya kamu nak tinggal dengan siapa? Mama terpaksa berpisah dengan papa sebab ada kursus selama tiga bulan di Langkawi minggu depan,” kata ibunya lagi apabila anaknya menangis tidak tentu pasal. Bukan nak berpisah selama-lamanya.

“Aik? Bukan mama dan papa nak bercerai ke?” jawab Ilyana sambil mengangkat kening. Dia juga sudah berhenti menangis.

“Hish, kamu ni. Cakap main lepas je. Mama berpisah dengan papa sementara je. Mama ada kursus dekat langkawi. Kamu nak ikut mama pergi langkawi ke atau nak tinggal dengan papa kat rumah?” jelas mama Ilyana lalu bertanya semula soalan yang sama.

“Habis tu, kenapa mama nangis tadi dan kenapa mama baling pasu?” soal Ilyana lagi.

“Mama sedih nak berpisah dengan papa. Mama tak baling pasulah tadi. Cuma papa kamu terlanggar meja dan pasu tu jatuh lalu pecah. Kamu ni mesti terpengaruh tengok drama,” kata mamanya sambil menunding jari ke arah pasu yang pecah tadi.

“Ouh, hehe. Maafkan Yana. Tapi, Yana tak nak ikut mama sebab next week Yana ikut bowling tournament,” jawab Yana.

“Oh, ya. Mama boleh tolong sign kat surat ni?” kata Ilyana sambil memberikan ibunya sehelai kertas.

Mamanya hanya mengangguk sambil menandatangani surat kebenaran itu.

“Okey, dah. Ni mama ada beli cincin. Tanda perpisahan kita selama tiga bulan. Kamu jaga betul-betul tau,” jawab mamanya sambil menyerahkan sebentuk cincin dan surat kebenaran yang telah ditandatanganinya.

*****

“Ilyana, selepas ini giliran kamu. Fokus betul-betul. Pastikan kamu dapat menjatuhkan kesemua pin,” cikgu Farah memberikan kata-kata semangat kepada Ilyana.

Ilyana segera bangun dari tempat duduk dan berjalan menuju ke tempat mengambil bola bowling. Dia memasukkan tiga jarinya ke dalam lubang yang ada pada bola yang seberat 6.7 kg itu.

Lalu Ilyana pergi ke tengah-tengah lorong sebelum ingin menggolekkan bola itu. Tetapi, dia berasa jarinya tidak boleh melepaskan bola itu semasa dia hendak menggolekkannya.

“Eh? Mengapa dengan bola ini?” Ilyana bercakap seorang diri sebelum mengangkat semula bola bowling itu kemudian melihat jari-jarinya.

“Cikgu! Jari saya tersekat di dalam lubang bola ini!” Ilyana mejerit ke arah guru pengiringnya.

“Ilyana! Kenapa kamu tidak buka cincin kamu itu?” soal cikgu Farah kepada anak muridnya itu.

“Hah? Cincin? Saya terlupa, cikgu. Macam mana nak keluarkan jari saya ni?” Ilyana berasa gelisah. Dia sangat teruja hendak membaling bola sehingga terlupa hendak membuka cincinnya.

Cikgu Farah segera memanggil pengurus pertandingan bowling itu untuk meminta tolong. Beberapa minit kemudian, beberapa orang kakak yang bekerja di kaunter pendaftaran datang sambil membawa minyak, sabun, dan segala jenis cecair yang licin lalu diberikan kepada cikgu Farah. Cikgu Farah mengambil sesudu minyak masak lalu diletakkan disekeliling lubang bola itu.

“Ilyana, kamu cuba tarik jari kamu perlahan-lahan,” kata cikgu Farah sambil menolong Ilyana dengan menarik bola itu.

“Masih tidak boleh,” jawab Ilyana ketika cuba hendak menarik jarinya.

“Hmm, kamu cuba pusing-pusingkan jari kamu,”jawab cikgu Farah lagi.

Ilyana cuba memusingkan lagi jarinya. Akhirnya, jarinya berjaya dikeluarkan. Nasib baik jarinya tidak terlalu besar sehingga memuatkan ke seluruh lubang itu. Cuma cincinnya masih terlekat di lubang bola itu.

“Kamu bernasib baik, Ilyana. Ada orang sampai kulit jarinya terkoyak akibat memakai cincin sewaktu bermain bowling, tahu,” kata cikgu Farah.

“Terima kasih cikgu kerana membantu saya,” jawab Ilyana sambil menanangis teresak-esak.

“Jadi, kamu mahu sambung bermain atau batalkan penyertaan?” soal cikgu Farah.

“Saya akan terus bermain, cikgu. Jari saya masih dalam keadaan baik,” kata Ilyana.

Ilyana meneruskan permainannya. Dia dapat menjatuhkan kesemua pin selama lima kali. Ilyana mendapat tempat kedua dalam bowling tournament walaupun baru pertama kali menyertainya. Dia berasa sangat bersyukur kerana dapat mendapat tempat kedua walaupun telah berlaku kejadian yang tidak diingini. Ilyana Erina bercita-cita untuk menjadi seorang pemain bowling yang terkenal seperti Shalin Zulkifli pada suatu hari nanti.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: