Certot

BOLA PINK

Hasil nukilan Farah Risha 2 years agoSukan 43

             

 Jam menunjukan pukul 6.56 petang. Pada waktu begini pasti ramai yang sudah berada di dalam kediaman masing-masing. Namun di sebuah padang di Taman perumahan Damansara, terpacak sebuah figura yang masih menendang bola untuk melepasi tiang gol di hadapannya. Terukir senyuman di wajah Puteri apabila bolanya meluncur laju melepasi tiang gol buat kali ke -47.

  “Eh sudah pukul 6.56 petang?” Puteri mendongakkan mukanya melihat awan yang mula bertukar warna kemerahan.

Bola yang masih berada di tiang gol segera diambil dan diletakkan di dalam bakul basikal ungunya. Puteri mengayuh basikalnya ke kediamanya yang tersergam indah di tepi tasik. Puteri sudah bermain bola sejak berusia tujuh tahun, namun Puteri telah berlatih secara berlebihan sejak seminggu yang lalu apabila sekolahnya mengumumkan akan mengadakan “PENCARIAN PEMAIN BOLA SEPAK CILIK” yang tarikhnya jatuh pada hari esok.

Setelah pulang ke rumah Puteri segera mengambil wuduk untuk solat maghrib. Puteri sememangnya   sudah solat asar sebelum keluar berlatih di padang.

*****

Di sekolah pada keesokan harinya.

Mata-mata yang melihat Puteri begitu banyak dan mulut yang mengumpat dan mengejek juga menyusul sama. Puteri hanya bersabar dan hanya mengekalkan sikap ‘telinga kuali’.

“lihatlah perempuan itu, tak tahu malu kut nak masuk pencarian ini. Walhal diri patut berada di kelas memasak waktu ini.”

Berdesing telinga Puteri mendengar kata-kata Johan yang suka mengumpat peserta-peserta lain yang berada di dalam dewan.

‘Cis, kau ingat perempuan tak tahu main bola?’ getus hati Puteri.

Waktu terasa begitu lama tambahan pula apabila terpaksa menadah telinga mendengar suara Johan dan kawan-kawannya yang mengumpat dirinya.

“Nur Puteri Qaisara Binti Muhamad, sila masuk.” 

Pandangan Puteri segera diangkat. Tubuhnya mula terasa panas dan segar. Perasaan teruja mula menguasai diri. Puteri mengikuti pengawas yang bertugas tersebut ke dalam bilik berhawa dingin yang diduduki oleh tiga juri.

“Baik Puteri, sila buat beberapa teknik asas bermain bola sepak.” Jurulatih Salim mencatat markah bagi setiap pertunjukkan yang ditunjukkan oleh Puteri. Antara teknik-teknik yang ditunjukkan oleh Puteri termasuklah kicking, stopping, dribbling, heading, tacling, dan trow-in. Persembahan itu mendapat markah penuh dari ketiga-tiga juri yang mengadili pencarian itu. Puteri juga mendapat pujian dari Jurulatih Adam dan Jurulatih Salim.

“Kamu memang mempunyai bakat yang istimewa, Puteri. Jangan pendam bakat itu.” 

Pujian Jurulatih Amir memang menyentuh perasaan Puteri ketika itu. Dia berazam tidak sesekali berhenti di situ dan akan terus bermain bola sepak.

*****

Lapan tahun kemudian.

“Kapten Puteri telah menjaringkan gol dan sekali gus Malaysia berjaya meraih pingat emas dalam sukan ASEAN tahun 2022 kali ini!” 

Sorakan kuat dapat didengari oleh Puteri. Kerajaan Malaysia telah menganjurkan pertandingan bola sepak perempuan bawah 20 tahun pada tahun lepas dan telah mendapat sokongan yang memberangsangkan dari seluruh Negara ASEAN.

Puteri senyum penuh makna sebelum matanya tertuntas kepada lima orang individu yang bertanggungjawab sepanjang penglibatan dirinya dalam sukan bola sepak. Puteri berlari ke arah ibu bapanya dan mencium kedua-dua belah pipi ibunya serta menyalam tangan ayahnya.

Puteri tunduk dan membuat tabik hormat kepada ketiga-tiga couch yang banyak menolongnya sepanjang penglibatan dirinya dalam sukan. Ketiga-tiga jurulatih itu menghadiahi Puteri bola merah jambu sempena kemenanganya menjaringkan gol di sukan ASEAN.

“Puteri kamu sekarang sudah berada di puncak. Bola ini bertujuan mengingatkan kamu sewaktu kamu susah dahulu. Jagalah bola ini baik-baik.” Nasihat jurulatih Amir masih terngiang-ngiang di telinga Puteri.

Matanya tertacap pada bola merah jambu didakapanya. Senyuman Puteri terukir sebelum berkata, “Bola pink.”

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: