Certot

BOLA KU

Hasil nukilan Nurul Nadhirah Mohd Ali 2 years agoSukan 18

 Hujan di luar menambahkan rasa pilu di hati Aiman. Dia menginginkan sebuah piala emas berada dalam genggamannya. Namun, untuk kali kelapan dia masih tidak berjaya memperoleh piala yang didambakan. Dia mengeluh panjang.

“Jangan putus asa!” Aiman teringat akan pesanan arwah datuknya yang pernah menjadi pemain bola sepak terbaik dalam pasukan. Malangnya dia tidak sempat untuk mempelajari skil bermain bola sepak daripada datuknya.

Aiman mengalihkan pandangannya ke arah bola sepak yang dihadiahkan oleh datuknya sebelum arwah meninggal.S ecara tiba-tiba Aiman terasa bersemangat apabila terbayangkan wajah datuknya pada bola itu. 

‘Bertenanglah, Aiman. Baru kali ke lapan, belum lagi kali kesepuluh. Kali ini aku mesti menang!’ katanya dalam hati. Tanpa berlengah, dia mencapai bola kesayangannya lalu membawanya keluar. Secara kebetulan, hujan sudah berhenti mengalir.

“Aku mesti berlatih habis-habisan!” jerit Aiman. 

Sebelum memulakan latihan, Aiman bersenam terlebih dahulu. Tiba-tiba Aiman ternampak kelibat rakan-rakannya berlari ke arahnya lalu mengajak Aiman bermain sekali. Dia hanya mengangguk dengan berkali-kali. Aiman berjaya mendapat skor semasa bermain dengan rakannya. Bola yang dibawanya seolah-olah memahami perasaannya. Entah mengapa dia terasa ada satu pertalian antara dia dan bola itu.

*****

Hari Sukan telah pun tiba. Aiman rasa bersemangat untuk menjalani hari. Dia mengambil sarapan yang bersesuaian. Sebelum ini, dia tidak pernah membawa bolanya bersama, tetapi kali ini dia mesti memastikan bola itu sentiasa di sampingnya. 

Acara yang dinantikan oleh Aiman telah pun tiba. Dia menyertai pasukan bola sepak bagi rumah sukan merah. Hatinya berdegup kencang. Apa pun, dia mesti menguatkan semangat.

Kemudian, bunyi wisel kedengaran menandakan bermulanya perlawanan bola sepak antara pasukan rumah merah dan pasukan rumah biru. Sebaik bunyi wisel kedengaran, Aiman dengan sepantas kilat merampas bola daripada pihak lawan. Dia menyerahkan bola itu kepada pasukannya lalu memberi isyarat untuk cuba menjaringkan gol. Namun, pihak lawan bertindak pantas dengan merampas bola tersebut. Setelah minit ke-10, Aiman berjaya menjaringkan gol untuk kali ketiga.

Kini markah pasukannya seri dengan pihak lawan iaitu empat sama. Ketika masa telah tamat, keputusan tetap seri. Mengikut peraturan permainan, jika berada dalam situasi seri, penalti mesti dilaksanakan. 

Aiman telah dipilih selaku ketua pasukan untuk menjaringkan penalti. Dia sempat terpandang bola kesayangannya lalu ternampak bayangan datuknya sedang memberikan semangat kepadanya. Tanpa berlengah, dia menendang bola tersebut mengikut skil yang pernah dibuat oleh datuknya. Tanpa disangka dia berjaya menjaringkan gol untuk pasukannya.

Keadaan riuh setelah pengadil mengumumkan pemenang perlawan bola sepak. Pasukannya menang dan akhirnya dia memperoleh piala emas yang didambakan. Kemudian, dia mencari bola kesayangannya lalu memeluk bolanya. Dia terasa seperti memeluk datuknya dan itu membuatkan Aiman mengalirkan air mata lalu berkata, “Terima kasih, atuk.”

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: