Certot

Biar Aku Bersamamu

Hasil nukilan Arissa Homura 1 year ago 574

Arlin Fattima! Nama itu tidak asing di dalam fikiran Hazwani. Dia sering memikirkan keadaan Arlin yang didodoi kemiskinan dan penderitaan. Melihat keadaannya setiap hari pasti tersentuh rasa kasihan. Sebaliknya, masyarakat sentiasa memandang hina akan dirinya kerana tubuhnya yang berlebam-lebam dan tidak terurus. Terdetik dalam fikirannya untuk membantu Arlin demi kebahagiaannya.

Pada suatu hari, sedang Hazwani ralik membaca buku rujukan di pusat sumber sekolah, dia terpandang seorang gadis yang memakai baju compang-camping. Rakan-rakan sekolah memberi ejekan dan ayat-ayat yang hina kepadanya. Namun, sekalipun dia tidak melayani ayat berbaur hinaan itu. Oh, alangkah tabahnya hati seorang anak yang diulit kemiskinan berbanding mereka yang dilimpahi kemewahan dan kasih sayang!

“Arlin…,” panggil Hawani, perlahan.

“Ya…,” jawabnya.

“Awak tidak terasakah dengan kata-kata mereka itu?” tanya Hazwani, serba salah.

Arlin menggeleng sambil membelek-belek buku yang diambilnya dari rak.

“Saya kasihan dengan awak. Saya mahu bantu awak supaya orang lain tidak akan mengutuk awak lagi,” kata Hazwani, bertekad.

“Jangan! Awak tidak malukah berkawan dengan saya yang serba kekurangan ini?”

Terkejut Hazwani mendengar kata-kata yang diungkap oleh Arlin sebentar tadi.

“Tak. Awak baik. Saya sebenarnya mahu berkawan dengan awak walaupun keadaan awak sebegini. Saya tidak pandang kekayaan seseorang. Tetapi saya mahukan budi bahasa dan ketabahan orang. Itulah sahabat saya,” jawabnya panjang lebar.

Sejak itu, mereka menjadi kawan baik. Mereka tidak hiraukan kata-kata orang di sekeliling mereka. Selain itu, Hazwani memberikan sumbangan sejumlah wang dan pakaian sekolah yang baru untuk Arlin. Walaupun pemberian itu ditolak, namun Hazwani tetap dengan pendiriannya.

Pada hari Isnin yang amat sunyi di sebuah perhentian bas, Arlin dan Hazwani sedang menunggu bas sambil membelek buku rujukan.

“Awak tidak tahu kisah hidup saya?” Arlin membuka perbualan.

“Apa?” tanya Hazwani ingin tahu.

Arlin menghela keluhan berat sebelum menceritakan kisah hidupnya.

“Saya bukan anak sah. Saya… anak luar nikah. Bapa saya telah melarikan diri. Saya dibela bagai binatang oleh ibu saya.”

Hazwani terkejut. Matanya sudah berair apabila mendengar cerita yang disampaikan tersebut.

“Sebab itulah saya menolak pemberian awak kerana ibu saya akan memarahi saya. Dia anggap, saya tidak diberi keperluan yang secukupnya. Duit yang awak beri minggu lepas, ibu saya  guna untuk keperluan dirinya. Saya akur dengan dugaan dan musibah yang Allah beri, namun saya mahukan kebahagiaan. Itu sebablah masyarakat sering memandang rendah terhadap diri saya,” sambungnya sambil menahan sebak. 

Hazwani tidak mampu menahan tangisan. 

“Ini bukan salah awak!” 

“Saya malu berkawan dengan awak kerana kehidupan kita jauh bagai langit dan bumi. Sekarang, saya mahu pergi. Assalamualaikum.” Arlin berdiri sambil membuka langkah untuk pulang ke rumah. Beg sekolahnya sengaja ditinggalkan. 

Belum sempat Hazwani menghantar beg sekolahnya, tiba-tiba sebuah kereta Myvi memecut laju lalu menghentak tubuh Arlin dengan kuat.

Pang! 

“Arlin!” 

Saat itu, Arlin tidak mampu berkata apa-apa. Hanya tangisan sahaja yang mampu diberikan. Semua murid sekolah yang berada di situ mengerumuni sekujur badan yang terbaring dan dilumuri darah. Pemandu yang melanggar Arlin melarikan diri dengan ketakutan.

Hazwani dan keluarganya melawati pusara Arlin. Surah Al-Fatihah dihadiahkan untuk arwah. Selepas menyiram bunga mawar, mereka melangkah keluar dari kubur untuk pulang ke rumah.

“Sabarlah, Wani. Ini dugaan buat diri kamu. Lepaskanlah segala rasa sayu itu pergi dari diri kamu. Jika dilayan, mesti akan memudaratkan kamu,” pujuk Puan Hazniza, ibu Hazwani.

Hazwani mengangguk tanda akur dengan kata-kata ibunya. Air mata yang mengalir deras di pipinya diseka. Tiba-tiba, dia melihat seorang wanita muda datang menghampiri kubur Arlin sambil menangis. Mungkin ibu Arlin yang sudah banyak menyeksa anaknya sendiri.

Sejak hari itu, Hazwani dapat mempelajari sesuatu. Sayangilah rakan walaupun kehidupan mereka susah atau ditimpa musibah. Juga jangan sesekali menyeksa seseorang kerana mungkin orang yang kita seksa akan dirindui apabila dia sudah menghembuskan nafas yang terakhir. 

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: