Certot

Berus Gigi untuk Haziq

Hasil nukilan Nurin Insyirah 7 years agoFiksyen 522

Di dalam rumah papan usang tinggal seorang budak lelaki bernama Muhammad Haziq, berumur sembilan tahun. Dia tinggal bersama ibu bapanya. Ibunya, Puan Aminah hanya bekerja sebagai penjual kuih di tepi jalan. Kadang laku, kadang tidak. Ayahnya, Encik Sahani yang bekerja sebagai penoreh getah di kebun getah. Pendapatannya amatlah sedikit.

Budak Miskin, emak jual kuih tak laku, baju lusuh, selekeh, bau getah!

 Segala ejekan budak-budak di kampungnya memang menyakitkan hati. Mahu sahaja ditumbuk dan ditendang bertubi-tubi. Tetapi ditahannya atas arahan Encik Sahani. Pernah suatu hari Encik Sahani merotannya dengan buluh hanya kerana melawan ejekan-ejekan budak-budak kampung. Sakit? Amat tidak terkata!

“Hmm… geramnya aku dengan ayah. Tidak faham langsung aku ini! Bosan betullah!” Haziq mengeluh geram mengenangkan masa silam yang pahit. 

Kaki mengorak langkah pergi ke rumah jiran sebelah yang jauhnya tidak sampai lima meter. Tujuannya hanyalah untuk menonton televisyen secara senyap di tingkap dapur. Mata yang asyik menangis itu sedang menonton televisyen secara mengintip dan senyap. Apalah nasib, di rumah tiada televisyen. Terpaksalah curi-curi lihat jiran punya. Seluruh keluarga di dalam rumah itu juga bencikan keluarga miskin Haziq. 

Kartun yang paling disukainya iaitu Boboiboy  sedang ditontonnya. Memang leka apabila menontonnya. Malangnya kartun itu sudah habis dek kerana dirinya terlambat untuk datang menonton. 

‘Huh!  Dah habis? Ini emak punya fasallah ini. Suruh orang tolong dia buat kuih pula tadi,’ katanya dalam hati sambil berkerut. 

Matanya kembali melihat siaran televisyen. Iklan berus gigi keluaran terbaru menarik perhatiannya. ‘Cantiknya berus gigi itu! Berus gigi? Oh ya, berus gigi aku sudah tanggal-tanggal berusnya. Hendak suruh mak belikanlah,’ Haziq mengomel sendirian di dalam hati lalu bergegas menuju ke rumah. 

“Semuanya yang Haziq minta tidak tercapai! Mengapa mak? Berus gigi sahaja… itu pun susah? Bayangkan kalau Haziq minta laptop, PSP… lagilah tidak tercapai!” Haziq meluahkan rasa marah yang terbuku di hati. 

“Apa yang bising-bising ni?” Suara garau Encik Sahani membuatkan dua beranak itu memandang ke arah suara itu. Puan Aminah segera bergegas pergi mendekati Encik Sahani yang kelihatan stres.

“Kenapa balik awal?”

“Pokok getah dekat kebun getah itu habis musnah kena tebang! Tidak tahu siapa yang buat. Marah betul saya jadinya!” Encik Sahani berang membayangkan kebun getah yang habis musnah.

“Ayah fikir kemarahan ayah sahaja! Tidak fikir kemahuan Haziq!” Haziq menangis teresak-esak mengenangkan kemahuannya yang tidak pernah tercapai. 

Encik Sahani memandang Haziq yang sedang menangis. “Apa yang dia mahukan?” Encik Sahani bertanya kepada Puan Aminah. 

“Berus gigi keluaran terbaru. Berus giginya telah banyak tertanggal berusnya kerana sudah lama.” 

Insan yang bernama ayah itu bergegas pergi ke tempat simpanan wangnya. Dia mengambil beberapa jumlah wang ringgit lalu pergi ke kedai. 

“Saya hendak belikannya.” Encik Sahani menunjukkan sejumlah wang yang diambilnya. 

Puan Aminah tidak dapat menghalang Encik Sahani. Dia membiarkan sahaja suaminya pergi membeli berus gigi baru untuk anaknya. Haziq kekal menangis ketakutan. 

Bang! 

“Ya Allah, bunyi apa itu? Haziq, mari ikut mak.” Puan Aminah segera bergegas ke tempat bunyi itu kedengaran.

Rupa-rupanya kemalangan baru berlaku. Kelihatan orang kampung berkumpul di tengah-tengah jalan raya. Bau hanyir darah sangat kuat sehingga kanak-kanak bernama Haziq itu mahu pengsan. Hati dua insan yang baru datang itu dicucuk-cucuk dengan perasaan ingin tahu.

Tanpa disedari, dua beranak itu melangkah mendekati mangsa yang terdampar. Mata dua beranak itu terbeliak apabila wajah mangsa yang berlumuran darah itu adalah wajah yang amat dikenalinya! Oh... tidak mungkin… itu ayahnya! 

Segera dipeluk erat ayahnya yang sedang nazak. Berlinangan air mata dua beranak itu. Tangan tua yang berlumuran darah itu memegang dua insan yang sedang menangis kesedihan. 

“Haziq, jaga mak baik-baik. Jadi insan yang patuh suruhan Allah. Ini ayah sudah belikan berus gigi untuk putera kesayangan ayah.” Encik Sahani sempat meninggalkan wasiat untuk puteranya itu. Mulutnya lancar melafazkan kalimah syahadah walaupun perlahan. Mata yang tadi hanya terbuka sipi-sipi, kini tertutup rapat. 

Sejak itu, Haziq mula mengikut wasiat ayahnya. Kini, dia sudah menjadi doktor di hospital pakar. Puan Aminah pula sudah membuka syarikat dan kedainya sendiri. Berus gigi yang sudah bertahun itu masih disimpan dan dibawa ke mana sahaja dia pergi supaya sentiasa mengingati ayahnya, Encik Sahani.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: