Certot

BERKAT BISMILLAH

Hasil nukilan Al-Hafizun Fizs 2 years agoFiksyen 6

Sarah seorang anak yang baik. Hidupnya hanya berbakti kepada ibu bapanya siang dan malam. Dia menjaga adik-adiknya, memasak, dan mengemas rumah apabila ibu bapanya pergi bekerja di sawah. Malamnya, Sarah mengajar adik-adiknya membuat kerja-kerja sekolah. Sarah tidak bersekolah lantaran kesusahan keluarga, tetapi dia rajin membaca dan menulis di rumahnya.

Wajah Sarah begitu Ayu dan tenang. Dia tidak pernah memarahi sesiapa atau menyakiti hati orang lain. Sarah juga suka memelihara kucing. Dia menyayangi kucing-kucingnya seperti adik-adiknya sendiri. Sifatnya yang penyayang dan tenang itu menyebabkan keluarganya amat menyayangi Sarah. Sarah juga mempunyai satu tabiat mulia, dia akan membaca bismillah sebelum melakukan setiap pekerjaan. Malah, seharian mulutnya hanya menyebut bismillahirrahmanirrahim.

Suatu hari, ibu bapa Sarah berbincang untuk menjodohkan Sarah kerana umurnya sudah dewasa dan sesuai memikul tugas sebagai seorang isteri. Tambahan, beberapa orang saudara dan jiran mereka datang melamar Sarah untuk kenalan mereka. Lalu, bapa Sarah bersetuju untuk menjodohkan Sarah dengan anak jiran mereka yang bekerja sebagai tukang rumah. Pemuda itu baik dan setaraf dengan keluarga mereka.

Tidak lama kemudian, Sarah dikahwinkan dengan Mokhtar. Dia redha dengan pilihan ibu bapanya dan berazam untuk menjadi isteri yang solehah. Kemudian, Sarah mengikut suaminya menetap di rumah lain. Keluarganya melepaskan Sarah dengan perasaan yang sedih. Kini, rumah mereka kehilangan seorang ahli yang baik hati dan penyayang.

Sejak bergelar isteri, Sarah menjalankan peranannya dengan baik. Dia menjaga keperluan hidup suaminya dan memastikan suaminya sentiasa bersenang hati apabila pulang dari tempat kerja. Setiap pekerjaan yang dilakukannya akan dimulai dengan kalimah bismillah. Pada mulanya, suamiS arah mendengar kalimah yang terbit dari mulut isterinya. Apa sahaja yang berlaku, Sarah akan menyebut bismillah. Namun, lama-kelamaan perasaan dia jemu mulai timbul di hati Mokhtar. Dia kurang senang mendengar mulut Sarah yang tidak putus menyebut bismillah. Mokhtar menegur isterinya.

“Mengapa mulutmu asyik menyebut bismillah? Aku tidak nampak suatu kelebihan pun bila engkau menyebut kalimah itu,” kata Mokhtar. Sarah hanya tersenyum.

“Hatiku rasa tenang menyebut kalimah itu,” jawab Sarah jujur. Mokhtar mencebik bibir. Kini keluarganya hidup susah kerana dia lambat mendapat upah kerjanya, tetapi Sarah masih tersenyum seperti selalu. Mokhtar benci melihat senyuman Sarah yang tidak pernah berubah.

Suatu hari, Mokhtar ingin menguji isterinya. Dia mahu melihat sejauh mana kelebihan membaca bismillah seperti selalu dikatakan isterinya itu. Lalu, Mokhtar bertekad untuk menyorokkan beras dalam bekas yang selalu dicedok isterinya untuk memasak nasi. Tanpa pengetahuan Sarah, Mokhtar pergi ke tempat kerja tanpa meninggalkan sedikit pun makanan di rumah mereka.

Seperti selalu, Sarah akan memasakkan nasi untuk suaminya yang akan pulang makan tengah hari setelah penat bekerja menukang rumah. Sarah membuka bekas beras. Sebelum membukanya, Sarah menyebut kalimah bismillah. Perasaan hairan berputik di hatinya kerana melihat bekas itu penuh dengan beras sedangkan semalam, beras itu tinggal sedikit sahaja. Sarah mengucapkan syukur dalam hati. Tentu suaminya sudah mendapat upah dan membeli makanan untuk keluarga mereka. Dia memasak nasi dan bubur untuk suaminya. Makanan yang berkhasiat akan menambahkan tenaga suaminya untuk bekerja dengan lebih gigih.

Tengah hari itu, Mokhtar pulang ke rumah. Dia yakin, Sarah tidak akan memasakkan apa-apa makanan lantaran tidak ada bekalan beras di rumah mereka. Dia mahu memarahi dan melihat reaksi isterinya. Apakah Sarah akan tersenyum seperti selalu? Jika Sarah menangis, dia akan menyindir isterinya, di mana kelebihan membaca bismillah yang selama ini diamalkan Sarah?

Mokhtar menguak pintu rumahnya. Tiba-tiba, dia terbau sesuatu yang enak di dapur. Mokhtar terus ke dapur. Mokhtar terus ke dapur dan membuka tudung saji di atas meja. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat banyak makanan terhidang di atas meja. Siapakah yang menghantar makanan ke rumahnya?

“Oh ,abang sudah pulang rupa-rupanya!” Sarah menghampiri suaminya dan mencium tangan. “Jemputlah makan, tentu abang penat,” kata Sarah. Dia mencedokkan nasi untuk suaminya. Mokhtar yang masih bingung hanya memrhatikan Sarah. Jelas, tidak ada kesedihan langsung di wajah isterinya, malah senyumannya makin bercahaya.

“Nanti dulu, sebelum abang makan, siapakah yang memberi kita beras ini?” tanya Mokhtar.

Sarah mengerut dahi. “Bukankah abang yang membeli beras ini? Sarah lihat pagi tadi, bekas kita dipenuhi beras,” jawab Sarah.

Kini, jelaslah pada Mokhtar akan kelebihan isterinya yang suka membaca bismillah. Berkat kalimah itu Allah telah memurahkan rezeki sekeluarga. Mokhtar menyesal mengenangkan niatnya yang kurang baik terhadap Sarah. Dia sepatutnya bersyukur mempunyai isteri yang baik dan taat pada perintah agama. Sejak itu, hidup mereka sekeluarga bahagia walaupun serba kekurangan.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: