Certot

Benarkah Dia Ibuku?

Hasil nukilan Amni Umairah 1 year agoFiksyen

             

“Fiyya harap kita dapat bertemu suatu hari nanti, ibu.”

  Itulah antara kandungan yang menjadi coretanku di atas berkeping-keping lembaran yang ditulis hampir setiap hari bagi melepaskan rindu yang terbuku dalam hati. Hanya begitu caranya untuk melepaskan perasaan sedih dan rindu yang tiada tandingannya kepada ibu tersayang.

  Inilah aku. Gadis malang yang diberi nama Safiyya oleh kedua-dua pasangan sejoli yang menjadi titik mula hidupku di bumi Tuhan. Cinta pertamaku meninggalkan aku dan ibu ketika aku berumur enam tahun. Umurku yang setahun jagung itu menghalang aku daripada mengerti apa-apa. Aku hanya tahu, ibu sentiasa termenung dan mengeluh mengenangkan nasib kami berdua.

  Memang tidak dapat disangkal lagi, kehidupan kami berdua bertambah teruk sejak ayah tiada. Kata pepatah, bagai layang-layang terputus talinya. Begitulah keadaan yang dapat aku gambarkan ketika umurku meningkat daripada kepompong kanak-kanak. Ibulah yang menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Membanting tulang siang dan malam tanpa mengenal erti penat demi mencari sesuap nasi. 

Sekiranya dahulu arwah ayah bekeja sebagai seorang kerani, kini tidak. Ibuku hanya menjual nasi lemak di hadapan rumah. Itupun tidak dapat membantu kerana hasad dengki orang lain yang langsung tidak berhati perut atas nasib yang menimpa kami berdua. Pelbagai fitnah dilemparkan kepada ibu. Teruk ibu dicaci oleh orang kampung.

  Sejak peristiwa itulah hidupku kini berubah. Hidupku kini kesunyian. Sejak peristiwa itulah aku terpaksa menaggung rindu yang menggunung , setinggi gunung Kinabalu. Sejak peristiwa itulah ibu berhijrah ke Kuala Lumpur. Mencari kerja katanya. Aku pula tidak banyak ragam. Mungkin menyangka bahawa aku akan turut sama berpindah ke bandar. Namun tidak semudah itu.

  Perbelanjaan yang tinggi terutamanya di ibu kota menghalang aku terus mendampingi ibu. Keadaan memaksa aku untuk berjauhan dengan ibu. Aku ditinggalkan bersama ibu dan bapa saudaraku yang baru berumah tangga. Namun begitu, mereka masih tidak mempunyai cahaya mata. Oleh itu, mereka bersetuju untuk menjagaku sementara ibu mencari pekerjaan bagi menampung perbelanjaan kami pada masa akan datang.

  Pada usia tujuh tahun itu, sudah semestinya kanak-kanak seperti aku memerlukan kasih sayang seorang ibu. Aku sering mendambakan kasih seorang ibu. Rindu yang bukan kepalang dapat dikurangkan apabila mak cik serta pak cik sering memberikan kasih sayang sepenuhnya terhadap aku. Aku dilayan bagaikan anak kandung mereka sendiri.

  Aku sangkakan cerah hingga ke petang, namun hujan di tengah hari. Semuanya berubah setelah mak cik disahkan mengandung setahun semenjak aku tinggal bersama mereka. Semuanya masih seperti biasa. Namun aku sedikit diabaikan kerana mereka berdua sibuk dengan urusan di hospital.

  Mak cik selamat melahirkan seorang bayi perempuan. Aku berasa gembira kerana aku akan menjadi seorang kakak dan mempunyai teman sepermainan. Sejak mak cik mempunyai anak perempuan akulah yang perlu membuat kerja-kerja dapur seperti membasuh pinggan, mencuci pakaian, dan seumpamanya.  Sejak itu juga, mak cik gemar marahkan aku. Apa yang aku buat, semua tidak kena di matanya.

******

  Kini umurku menginjak remaja. Aku kini berusia 15 tahun dan merupakan seorang pelajar di salah sebuah sekolah menengah yang berdekatan dengan rumah tumpangan buataku. Manakala anak perempuan mak cik, Aiza pula kini berada dalam darjah tiga. Namun dia langsung tidak menghormati aku dan sering mengatakan yang aku adalah orang luar dan patut keluar daripada syurga dunia miliknya. Sikap dia sama seperti mak cik. Aku dianggap sebagai orang gaji mereka. Mak Cik langsung tidak memberikan aku sesen pun duit untuk berbelanja. Disebabkan itu, aku mula membuat kerja sambilan di sebuah kedai runcit berdekatan.

  “Mak cik, kalau Fiyya mahu bekerja di kedai runcit depan simpang itu, boleh? Sebelah petang sahaja,” soalku dengan penuh kebimbangan, takut juga aku dijerkah di ruang tamu itu.

  “Engkau bukannya anak aku. Jadi, engkau mahu kerja, engkau mahu kahwin, suka hatilah. Bukannya masalah aku. Cuma aku mahu ingatkan kau, nanti apabila kau sudah kerja di sana, jangan malukan nama baik aku. Kau tahulah nasib kau.” Berdesing telinga aku mendengar kata-kata pedas mak cik manakala jari telunjuknya yang runcing itu dihalakan tepat pada mukaku.

  Aku terus mengorak langkah untuk pergi dari situ. Sambil melangkah, telingaku masih dapat menangkap butir-butir kata yang dihalakan kepadaku. “Nanti sudah kerja, ingat-ingatlah pada orang yang bersusah payah untuk besarkan kau. Ingat semuanya pecuma sahaja.” Namun aku hanya biarkan tanpa balasan.

 

                                            *****

  “Semuanya RM 15.65, mak cik.”

  “Ini bakinya, terima kasih dan sila datang lagi!” Dipulangkan 25 sen kepada seorang mak cik tua yang datang membeli barangan di kedai ini.

  Sedang aku termenung di kaunter, tiba-tiba datang seorang budak perempuan.

  “Aiza, semuanya RM 6.50 sahaja,” ujarku lembut.

  “Eh! Kau yang kerja di sini, takkan aku perlu bayar pula. Yang kau berkira sangat ini mengapa?” bentaknya dengan keras.

Janganlah begini, Aiza. Kakak kerja di sini sahaja. Mana boleh tidak bayar,” pujukku lembut.

  “Aku tidak ada kakaklah. Sudah, aku tidak mahu bayar. Kalau kau mahu bayar sangat kau bayarlah,” ujarnya tanpa sedikit pun rasa bersalah. Lalu meninggalkan Safiyya dalam keadaan terpinga-pinga.

    “Sampai hati Aiza buat aku begini.”

    ‘Tunggulah Safiyya, kau belum tahu apa yang aku boleh buat pada kau’ desis hati jahat Aiza sambil tersenyum memikirkan apa yang akan berlaku kepada Fiyya setibanya dia di rumah nanti.

                                        *****

      “Assalamualaikum. Eh, mengapa mak cik berdiri di sini?” tanyaku kehairanan. Manakan tidak, dia dan Aiza berdiri di muka pintu begitu.

    “Apa kau kata kepada anak aku di kedai tadi?”

      “Apa yang saya cakap pada dia?” Soalan yang diajukan kepadaku tidak dijawab. Sebaliknya aku pula bertanya kepada mak cik.

      “Kau jangan berdalih, Fiyya. Aku tahu yang kau sudah malukan dia di kedai tadi. Kau kata yang anak aku tidak ada duit mahu beli barang di kedai itu. Kau halau dia dari kedai itu, bukan?” Terkesima aku lontaran berapi daripada mulut mak cik. 

    “Apa yang mak cik cakapkan ini? Fiyya tidak cakap apa-apa pun pada Aiza,” nafi aku.

    “Aiza, bawa benda itu ke sini.”

    “Nah, emak,” balas Aiza lalu dicampakkan kepadaku beg sandang milikku dan bberapa barang kepunyaanku.

    “Mulai hari ini, aku tidak mahu lihat lagi muka kau di rumah ini. Kau faham? Kau pergi sekarang!”

    Entah mengapa lidahku kelu untuk berkata, hanya kakiku yang perlahan-lahan meninggalkan rumah itu. Aku lihat Aiza tersenyum melihat aku pergi dari rumah ini. Air mata tidak dapat kutahan lagi lalu terus sahaja membasahi pipi gebu milikku. Tiba-tiba aku teringatkan ibu. Ya ibu. Kalau ibu ada, tentu sahaja ibu tidak akan biarkan aku diperlakukan sebegini.

    Aku terus berlari tanpa hala tuju. Berlari sekuat hati. Berlari selagi kudrat masih ada. Tanpa menghiraukan keadaan sekeliling, aku terus berlari. Tiba -tiba….

        Bam!

    Aku lihat ramai yang mengerumuniku. Darah yang pekat terus keluar daripada badanku dan membasahi jalan tar. Seorang pemandu perempuan melanggar aku, tergesa-gesa keluar daripada perut keretanya.

  Ibuu… ya perkataan itulah yang terpacul daripada mulutku dan selepas itu aku langsung tidak sedarkan diri.

                                *****

  “Safiyya, kamu dah bangun!” ujar perempuan itu lalu meraup mukanya tanda kesyukuran.

  “Hmm, kamu siapa? “tanya aku.

  “Fiyya, kamu tidak kenalkah, ini ibu,” ujar perempuan itu lalu memelukku. Aku terjeda.

  “Ibu ke mana selama ini? Ibu sudah tidak sayang Fiyya? sampai hati ibu buat Fiyya begini. Fiyya terseksa.” Aku membalas pelukan ibu sambil menangis teresak-esak.

    “Ibu kerja, sayang. Kini ibu sudah hidup senang. Tadi ibu pulang untuk ambil kamu. Tiba-tiba , ibu langgar seseorang. Ibu terkejut sangat pabila dapat tahu bahawa budak yang ibu langgar itu adalah kamu. Ibu minta maaf sangat.” Tampak kejujuran di wajah ibu. Wajah yang amat aku rindui.

  “Fiyya, andai ibu pergi terlebih dahulu. Fiyya doakan yang terbaik buat ibu, ya. Ibu sudah belikan rumah untu Fiyya. Semua duit yang ibu kumpul ada dalam bank. Jadilah seorang anak yang soehah. Ibu tahu kamu akan berjaya suatu hari nanti.” Ibu lantas menghulurkan buku bank yang tertera nama Safiyya. Baru sahaja aku hendak bersuara, ibu sudah jatuh terjelepuk di tepi katilku di dalam wad hospital.

  “Ibu!”

                              *****

  Kini baru aku ketahui, kematian mak adalah disebabkan oleh pendermaan kedua-dua buah pinggang dan darahnya kepadaku. Dan aku juga dapat tahu yang keadaanku amat kritikal kerana kegagalan kedua-dua buah pinggangku untuk berfungsi dan aku juga kehilangan banyak darah. Ibu sanggup membahayakan nyawanya demi keselamatan anaknya. Kini aku sudah hidup senang atas usaha yang ibu dilakukan demi kebahagian aku. Aku bersyukur kerana mempunyai seorang ibu yang begitu.

      Benarlah, dia ibuku.. Terima kasih, ibu.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: