Certot

Ayahku… The Superhero I Never Knew I Had

Hasil nukilan Reshma 2 years agoSuperhero 8

Paulina seorang murid darjah enam yang berasal dari negara Johor. Ibunya, Puan Sria telah meninggal dunia sejak Paulina berusia 10 tahun. Sekarang Paulina tinggal bersama ayahnya, Encik Saran, di Bandar Selamat. 

Encik Saran bekerja sebagai seorang pensyarah di sebuah universiti kecil. Paulina pula tidak menyayangi ayahnya seperti dahulu kerana dia beranggapan bahawa ayahnya adalah penyebab kematian ibunya. Walaupun begitu, Encik Saran tetap menyayangi Paulina. Oleh sebab itu, Paulina sengaja tidak mendengar cakap ayahnya, tidak belajar bersungguh-sungguh, dan kadang-kala dia ponteng sekolah. Encik Saran hanya bersabar dengan sikap Paulina itu.

Pada suatu hari, Paulina termenung di dalam biliknya sambil teringat kemalangan ibunya. Ayat terakhir ibunya ketika berada di wad kecemasan masih terngiang-ngiang dalam kepala Paulina, ‘Jaga diri baik-baik. Mak mungkin tidak akan bersama kamu lagi selepas ini.’ 

Paulina mula menitiskan air mata. Dalam fikiran Paulina, kemalangan tersebut berlaku kerana ayahnya telah melanggar sebuah trak ketika rancak berbual dalam telefon, tetapi dia tidak mengetahui bahawa sebenarnya, pemandu trak tersebut yang melanggar kereta Myvi ayahnya kerana mabuk.

     Asyik Paulina termenung, Encik Saran memasuki biliknya untuk memberitahu makanan telah dihidang di atas meja makan. Paulina terkejut dengan kehadiran ayahnya yang secara tiba-tiba lalu mengesat air matanya. Paulina kemudian turun ke bawah untuk makan. 

Ketika makan, Encik Saran bersuara, “Ayah tidak menyebabkan kemalangan itu. Pemandu trak tersebut yang melanggar kereta ayah.” Encik Saran cuba meyakinkan Paulina bahawa dia tidak bersalah. Paulina tidak mempercayai kata-kata ayahnya dan terus makan.

*****

     Di sekolah, Paulina akan sentiasa merancang cara untuk membalas dendam terhadap ayahnya. Dia telah meminta bantuan dari kawan-kawannya tetapi mereka tidak mahu mengambil bahagian dalam hal keluarga Paulina. Apabila Cikgu Zaitun, guru Bahasa Melayu kelas 6 Mawar Putih sedang mengajar, Paulina masih terfikir apa yang hendak dilakukan dan tidak menumpukan sebarang perhatian kepada cikgu. 

“Aha!” Tiba-tiba Paulina menjerit. 

“Kenapa tiba-tiba menjerit di dalam kelas?” tanya Cikgu Zaitun. 

Paulina memandang sekeliling dan mendapati semua murid memandangnya. Paulina berasa sangat malu lalu berkata, “Err… saya tidak boleh menjawab soalan susah ini.” 

Cikgu Zaitun menggeleng kepala dan terus mengajar.

     Loceng terakhir berbunyi, Paulina pulang ke rumah. Dia mendapati ayahnya belum pulang. Dia mula melaksanakan rancangannya, iaitu merosakkan barang-barang kesayangan ayahnya. Dia memecahkan cawan dan mengoyakkan semua novel kegemaran ayahnya. Apabila Encik Saran pulang dari kerja, dia terperanjat melihat  semua barangnya berselerak di rumah tamu. Encik Saran mengetahui bahawa semua ini adalah perbuatan Paulina. 

Encik Saran berasa sangat marah dan sedih tetapi cuba menahannya. Dia mencari Paulina untuk berbual dengannya tentang perkara itu. Dia memasuki bilik Paulina lalu duduk di atas katil empuk, di man anak tunggalnya sedang membaca novel. 

“Paulina, ayah tahu kamu sedih atas pemergian ibu kamu, tetapi kenapa sehingga begini?” tanya Encik Saran dengan lembut. 

Paulina hanya memaling muka dengan ayahnya. 

“Ayah bukan penyebab kematian ibu, dan ayah turut merasai kesedihan yang dirasai oleh kamu,” sambung Encik Saran. 

“Jangan menipu! Ayah penyebab kematian ibu. Saya pasti 100 peratus,” kata Paulina masih berdegil dengan ayahnya. Encik Saran menggeleng kepala lalu beredar dari bilik anaknya.

*****

Keesokan harinya di sekolah, Paulina sedang berjalan menuju ke kelasnya bersama seorang kawan. Tiba-tiba dia terjatuh tersungkur di tangga akibat asyik bercakap dengan kawannya. Kaki dan tangannya berdarah. Selepas dibantu oleh kawannya dan guru, Paulina memasuki kelas. Paulina melihat tangannya yang berluka dan tiba- tiba mendapat idea yang lebih bernas berbanding hari itu. Sebaik sahaja pulang dari sekolah, Paulina mencapai telefon untuk menelefon pihak polis. Paulina ingin memberitahu pihak polis bahawa Encik Saran telah menderanya. Dia mendail 999.

Selepas beberapa minit, Encik Saran pulang ke rumah. Dia terkejut melihat tangan dan kaki Paulina yang berluka. “Apa yang telah terjadi kepada kamu, Paulina?”

DING! DONG!

Belum sempat Paulina menjawab, loceng pintu telah berbunyi. Encik Saran membuka pintu. Alangkah terkejutnya Encik Saran apabila mendapati dua orang polis berdiri di hadapannya. 

Salah seorang polis bersuara, “Encik telah didapati mendera anak encik dan akan dibawa ke makhamah untuk didakwa.” 

Encik Saran terkejut mendengar apa yang telah dikatakan oleh polis tersebut. Dia memandang ke arah Paulina. Paulina hanya menunduk kepalanya. Encik Saran mengetahui ini adalah perbuatan Paulina.  Dalam hati Encik Saran berbisik beribu-ribu perkataan, ‘Kenapa???’. Encik Saran cuba menafikan kata-kata polis tersebut tetapi polis tidak mempercayainya.

Akhirnya, Encik Saran bersetuju untuk ke makhamah. Paulina turut mengikuti. Tiba sahaja di sana, Encik Saran disiasat. Walaupun telah memberitahu hakim bahawa  dia tidak bersalah, hakim itu tidak  mempercayainya. Akhirnya, hakim mendapati bahawa Encik Saran seorang yang munasabah dan membuat keputusan  untuk memenjarakannya selama satu minggu sahaja dan membuat kerja amal selama dua hari.

*****

Apabila pulang ke rumah, Paulina bersorak kerana rancangannya telah berjaya. Dia bercadang untuk ponteng sekolah selama ayahnya berada di dalam penjara dan hanya melepak di dalam rumah. Selepas enam hari berlalu, Paulina mula berasa bosan lalu menjemput beberapa kawan ke rumahnya untuk bermain.

DING! DONG!

Setelah lama menunggu, loceng pintu berbunyi. Paulina membuka pintu memikirkan kawan-kawannya telah tiba. Paulina terkejut sebaik sahaja membuka pintu kerana dua orang lelaki yang tidak dikenali olehnya sedang berdiri di muka pintu. Belum sempat Paulina menutup pintu, mereka menangkap tangan Paulina dan membawanya masuk ke dalam sebuah van hitam.

*****

 Seminggu telah berlalu dengan begitu cepat, Encik Saran telah dilepaskan. Apabila dia menjejak kaki di halaman rumahnya, dia mendapati pintu dibuka luas. Encik Saran memasuki rumah, tetapi keadaan sunyi sepi sahaja. Dia hairan kenapa sunyi kerana anaknya suka meriuhkan kawasan rumah dengan bunyi televisyen yang kuat. Dia memanggil Paulina tetapi tiada respons. Encik Saran menjadi cemas lalu mencari Paulina di merata kawasan rumah tetapi gagal mencarinya. 

Encik Saran lantas menelefon pihak polis lalu berkata, “Hello, polis, anak saya telah hilang dan mungkin diculik. Tolong cari anak saya dengan segera sebelum dia dicederakan.” 

Pihak polis cuba menenangkan Encik Saran, “Bertenang encik, kami akan mencarinya dengan secepat mungkin.” 

Talian kemudiannya ditamatkan. Encik Saran berasa lega sedikit mendengar kata-kata polis tersebut.

     Sementara menunggu pihak polis untuk mengesan di mana anaknya, Encik Saran berjalan di sekitar Bandar Selamat sambil bertanya kepada semua orang yang berlalu-lalang di kawasan tersebut, “Adakah kamu nampak anak saya, Paulina?” Dia menunjukkan sekeping gambar Paulina. Semua orang yang telah ditanya olehnya menggeleng kepala. Encik Saran hanya mampu mengeluh.

KRIING! KRIING!

     Encik Saran cuba melihat siapa yang memanggilnya tetapi hanya perkataan, ‘Unknown’ yang tertera pada skrin. Dia menjawab panggilan tersebut dengan serta-merta memikirkan terdapat orang yang mengetahui di mana Paulina. Perasaan gementar dan gembira dirasai oleh Encik Saran semasa ingin menjawab panggilan itu. 

Seorang lelaki yang bersuara garau sedang bercakap dengannya di sebelah talian. Dia berkata, “Anak kamu berada dengan saya. Kalau kamu ingin berjumpa dengannya lagi, kamu perlu membayar wang tebusan sebanyak 10 ribu. Jika kamu gagal membayar wang tersebut dalam tempoh lima hari, saya bersama kawan saya akan menukar lokasi persembunyian ke kawasan yang lebih jauh dan kamu tidak akan menemui anak kamu lagi selepas itu.” 

Encik Saran berasa takut dan gementar mendengar ugutan itu lalu bertanya, “Adakah kamu telah mencederakan anak saya? Sekarang kamu berada di mana?” Encik Saran tidak habis-habis bertanya soalan. 

Lelaki itu menjawab, “Oh, anak kamu selamat sahaja di tangan kami dan lokasi kami tidak begitu penting. Satu perkara lagi, pastikan kamu tidak memanggil polis. Kalau kamu berdegil, nahas nanti.”

TIT!

     Talian telah ditamatkan. Encik Saran bergegas ke rumahnya untuk mendapatkan wang simpanannya tetapi dia hanya memperolehi RM 1 000. “Bagaimana saya akan mendapatkan wang yang lain?” keluh Encik Saran. Dia terpaksa bekerja sambilan untuk mendapatkan wang yang selanjutnya. Encik Saran cuba mencari pekerjaan sehingga tidak terlelap mata. Akhirnya, Encik Saran menjumpai pekerjaan yang sesuai iaitu menjadi tukang cuci di sebuah restoran.

     Setelah emoat hari berlalu, Encik Saran mulai berasa cemas kerana wang masih belum mencukupi. Tiba-tiba Encik Saran mendapat sebuah idea yang bagus. Dia cepat mendail nombor telefon lelaki misteri itu semula. 

Encik Saran berkata, “Saya telah mempunyai wang yang kamu hendaki, tetapi saya tidak mengetahui di mana kamu berada. Oleh itu, kamu datanglah ke rumah saya.” 

Lelaki itu berkata, “Bagus. Saya akan datang dalam masa satu jam dan ingat jangan panggil polis.” 

Selepas menamatkan panggilan, Encik Saran lantas menelefon pihak polis dan memberitahu mereka penculik Paulina akan berada di rumahnya dalam masa saty jam. Encik Saran memberitahu rancangannya kepada pihak polis. Mereka bersetuju dengan rancangannya.

*****

     Pada pukul 4.00 petang, penculik tersebut bersama dengan kawannya telah menunggu di hadapan pintu masuk rumah Encik Saran. 

Encik Saran bertanya, “Di mana anak saya?” 

Penculik itu membawa Paulina ke muka pintu. Paulina menjerit, “Ayah!” lalu berlari ke arah Encik Saran tetapi dia ditahan oleh penculik tersebut. 

“Kamu beri wang itu dahulu dan kami memberi anak kamu semula,” arah penculik itu. 

“Apa kata kita beri pada masa yang sama?” cadang Encik Saran. 

Penculik tersebut bersetuju. Encik Saran menarik tangan Paulina masuk ke dalam rumah lalu bertanya, “Adakah mereka telah mencederakan kamu?” 

Paulina hanya menggeleng kepala. Encik Saran kemudian menghulurkan sepucuk sampul surat yang hanya mengandungi kertas putih bukan wang.

     Ketika penculik tersebut menghulurkan tangan untuk mencapaikan sampul itu, Encik Saran menarik tangan mereka ke dalam rumah dan mengunci pintu. Pihak polis yang bersembunyi di dalam rumahnya dari tadi keluar dan mengelilingi mereka berdua. Paulina yang hanya mendiamkan diri terkejut melihat pihak polis. 

“Saya ingatkan saya sudah pesan bahawa jangan panggil pihak polis,” kata penculik tersebut. 

Encik Saran hanya mengangkat bahu. 

“Diam! Angkat tangan di atas kepala,” arah salah seorang polis. Penculik tersebut dan kawannya menurut arahan polis itu dan kemudian mereka dibawa ke balai polis untuk dipenjarakan.

     Apabila pihak polis telah meninggalkan rumah Encik Saran, Paulina berlari ke arah Encik Saran dan memeluknya dengan erat. 

Encik Saran berkata, “Kalau kamu tidak mahu tinggal bersama ayah, ayah boleh menelefon mak cik kamu dan kamu tinggallah dengannya.” 

Paulina lantas berkata, “Tidak, tidak, saya tidak mahu. Saya ingin tinggal bersama ayah. Saya meminta maaf ayah kerana telah menyusahkan ayah selama ini tetapi ini adalah kali terakhir. Saya telah insaf dan tidak akan mengulangi kesilapan yang sama.” 

Encik Saran tersenyum mendengar kata-kata Paulina. “Ayah memaafkan kamu kerana ayah memahami keadaan kamu yang telah kehilangan seorang ibu tersayang tetapi apa yang perlu kamu mengetahui adalah, ayah bukan penyebab kematian ibu. Walaupun begitu, ayah tetap berasa bersalah kerana ayah tidak mampu melakukan apa-apa untuk menolongnya.” 

Sekarang barulah Paulina memahami keadaan ayahnya dengan jelas. “Oh, ya dan satu perkara lagi, janji kepada ayah yang kamu akan belajar bersungguh-sungguh dan tidak ponteng sekolah lagi selepas ini.” Paulina mengangguk kepala. Encik Saran tersenyum lebar.

*****

     Pada keesokan harinya di sekolah, Paulina menceritakan perkara yang telah  dilalui olehnya kepada kawan-kawannya. “Wah, hebatnya ayah kamu! Macam undercover agent ataupun boleh dikatakan sebagai seorang FBI,” puji Salina, salah seorang daripada kawan Paulina. 

“Kamu boleh katakan begitu,” kata Paulina. Dalam hati Paulina pula berbisik, ‘Lihatlah ayah siapa yang hebat itu.’

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: