Certot

Ayahku Superheroku!

Hasil nukilan Krystal Zafirah 2 years agoSuperhero 35

Tatkala Lisa sedang sibuk membantu emaknya menyediakan makan tengah hari, dia terlihat adiknya, Diyana sedang termenung di beranda rumah sambil memeluk anak patungnya yang sudah lusuh. Lisa sekadar tersenyum nipis. Dia menyudahkan kerja-kerjanya. Setelah makanan dihidang, dia mendekati adiknya yang kelihatan muram itu.

“Adik fikir apa?” tegurnya sambil duduk di sebelah adiknya itu. Lisa turut memandang sawah padi yang terbentang luas di hadapan rumah mereka.

“Sarah ejek adik.” Ringkas sahaja jawapan Diyana.

Lisa mengerutkan dahinya. “Sarah? Dia cakap apa pada adik? Cerita pada kakak.” Dia memegang bahu adiknya dengan penuh prihatin.

“Haris cakap adik anak pemandu lori.” Suara Diyana bertukar serak. 

Jawapan adiknya membuatkan Lisa terkejut. Baru sahaja dia ingin membalas, adiknya kembali menyambung kata-katanya. “Akak, kenapa ayah kerja sebagai pemandu bas?”

“Adik….” Lisa berjeda seketika. “Kenapa adik malu kalau ayah jadi pemandu bas?” Dia bertanya. Sengaja mahu menguji adiknya.

“Sebab kawan-kawan adik selalu ejek adik,” balas Diyana perlahan. Dia memeluk anak patungnya dengan lebih erat lagi.

Lisa mengeluh. Cuba berfikir ayat yang susah untuk memujuk adiknya. “Cuba adik fikir. Kalau dalam dunia ini tiada pemandu bas, siapa yang akan memandu bas? Bagaimana orang mahu ke tempat kerja?” Dia bertanya. “Kerja sebagai pemandu bas bukanlah satu pekerjaan yang hina. Malah, ia satu pekerjaan yang mulia. Kalau tiada pemandu bas, pasti orang yang tidak ada kenderaan sukar untuk ke tempat kerja.”

Akhirnya Diyana memandang wajah kakaknya itu. “Betul juga!” Wajahnya kembali ceria.

Lisa tergelak kecil.

“Tapi….” Wajahnya bertukar muram. “Macam mana kalau Sarah ejek adik lagi?”

Lisa tersenyum. “Adik jangan pedulikan. Adik buat tidak tahu sahaja. Lama-lama dia penatlah.”

“Betulkah?”

“Betul!” Lisa menjawab penuh yakin.

“Okey! Terima kasih, kakak!”

*****

Keesokan harinya, Diyana memasuki kelasnya dengan semangat baru. Dia tidak mahu mempedulikan ejekan Sarah dan kawan-kawannya lagi. Dia juga diselubungi perasaan bersalah kerana malu dengan ayahnya sendiri.

“Diyana,” tegur Sarah tatkala Diyana sedang khusyuk menyiapkan latihan Matematiknya.

Diyana sekadar memekakkan telinganya. Dia tahu Sarah mahu mengejeknya lagi.

“Diyana, saya cuma mahu beri ini kepada awak.”

Diyana mengangkat wajahnya. Kelihatan Sarah sedang berdiri di hadapannya sambil tersenyum. Pandangan Diyana teralih pada kotak yang berbalut cantik di tangan Sarah. Dia mengerutkan dahinya.

“Apa ini?”

Sarah tersenyum. “Dalam ini ada kuih. Emak saya yang beri.” Dia menghulurkan kotak itu kepada Diyana.

Teragak-agak Diyana ingin mengambil kotak itu.

“Saya mahu minta maaf kerana mengejek awak,” ujar Sarah tatkala terpandangkan riak wajah Diyana itu. “Sebenarnya, semalam saya dan emak saya sedang menunggu bas di pondok bas. Tiba-tiba ada seorang lelaki meragut beg emak saya.” Dia berjeda seketika sebelum menyambung kata-katanya. “Diyana… nasib baik ayah awak ada. Dia selamatkan emak saya dan bawa peragut itu ke balai polis. Saya betul-betul berterima kasih kepada ayah awak.”

Diyana tersenyum mendengar kata-kata Sarah. Kotak yang dihulurkan diambil.

“Kita kawan, ya?” Sarah menghulurkan tangannya.

Diyana menyambut huluran tangan Sarah. “Kawan.”

Mereka tergelak kecil.

“Ayah awak memang hebat! Dia pandai bersilat. Habis peragut itu dikerjakan.”

Semakin lebar senyuman Diyana mendengar pujian itu. Hatinya berbunga-bunga.

‘Ayah memang hebat!’

Hari itu, Diyana mempelajari sesuatu. Seseorang itu bukanlah perlu dinilai mengikut pekerjaannya, tetapi dari hati budinya. Diyana mula sedar bahawa dia tidak perlu malu dengan pekerjaan ayahnya. Malah, dia perlu berbangga kerana memiliki ayah yang mempunyai hati yang mulia. Ayah memang hebat!

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: