Certot

AYAHKU SUPER HERO

Hasil nukilan Ana Sarah Raihana2 years agoSuperhero 2

             

Bunyi loceng kedengaran ditelinga Aisha, tetapi dia hanya menutupnya lalu menyambung semula tidur. 

“Isha, bangunlah. Dah pukul berapa ni?” kejut kakaknya, Amira. 

Amira memang tahu sangat perangai adiknya. Bukan tidak kenal Aisha, di dalam rumah Aisha sahaja yang kurang rajin. Bukan pemalas, tetapi susah untuk melihat Aisha membantu orang di dalam rumah. Amira dan Aiman sahaja yang selalu menolong ibunya. Selepas ayah berpisah dengan ibu, mereka menjadi lebih berdikari. Amira menggeleng. 

“Isha mahu kakak ambil telefon ini dan beri kepada orang?” 

Terus Aisha bangun lalu terus ke bilik air. “Cepat sikit,” Amira mengingatkan Aisha sebelum turun ke bawah.

*****

 

 

Selesai memakai baju sekolah, Aisha segera ke dapur untuk bersarapan. Dia terus mencapai roti bakar dan duduk bersebelahan abangnya. 

“Hah, baru bangun adik abang seorang ini. Isha ini perempuan, tidak elok bangun lambat,” tegur abangnya perlahan. 

“Perempuan apa begitu. Sudahlah lambat bangun, susah pula tolong orang!” leter Amira pagi-pagi buta. 

“Malaslah layan kakak. Sekurang-kurangnya Isha bangun juga.” 

“Menjawab!” 

“Yalah, Isha salah, tetapi tidak perlulah membebel seperti mak nenek.” 

“Amira dan Aisha segera menghabiskan makanannya. Mereka bertiga terus menyalami tangan ibu mereka sebelum menaiki bas ke sekolah.

*****

 

 

Di Sekolah. 

“Isha, kenapa senyap sahaja? Ada apa-apa masalahkah?” tegur rakan baiknya, Hani. 

“Seminggu lagi hari lahir saya, tetapi saya tak tahu di mana ayah saya.” Aisha mempamerkan wajah sedih. Menjadi superheroin rahsia di taman kediaman Kajang amat memenatkan, tetapi seronok juga. Ish adalah nama samaran superheroin bagi Aisha. 

“Superheroin kita berangan pula. Rasanya saya bercakap dengan batu,” ucap Hani, kuat. 

“Ish, Hani. Janganlah kamu cakap kuat sangat. Ini kan rahsia. Orang tidak boleh orang tahu,” marah Aisha kerana Hani hampir membocorkan rahsianya. Identiti superheroinnya amat penting dan bahaya. 

“Sudahlah, malas layan awak. Pergi kelas lagi bagus,” sambung Aisha dan segera berjalan dengan laju. 

“Isha, tunggulah!” jerit Hani kerana ditinggalkan begitu sahaja.

*****

                   

 

 

Di rumah, Aisha hanya mempamerkan wajah sugul apabila disapa keluarganya. Aisha masuk ke dalam bilik dan terus menukar baju. Aisha membetulkan tudungnya supaya kelihatan kemas. Dia memakai topeng bagi merahsiakan wajahnya daripada diketahui ramai. Dia memerhatikan keadaan di luar sebelum keluar. Takut ditanya oleh ibunya. Selalu waktu-waktu begini, ibu, kakak, dan abangnya akan menjual nasi lemak di hadapan rumah. Jadi Aisha keluar melalui pintu rumah belakang. 

Aisha pergi tempat biasa. Dia berjumpa Hani untuk berbincang. Selepas satu jam menunggu, Hani masih belum muncul. Aisha terus ke klinik haiwan berdekatan sebagai sukarelawan. Selepas hampir setengah hari di situ, doktor yang mengusahakan klinik itu mengajaknya makan malam bersama-samanya di rumah. 

“Isha, bawalah kawan Isha sekali,” pelawa Doktor Imani. 

“Ermm… tidak pasti lagi, doktor. Apa-apa pun, terima kasih sebab tidak dedahkan rahsia Isha.” 

“Tak ada  apa-apalah. Kamu  sudah banyak  tolong saya. Lagipun saya makan seorang  sahaja, bosan pula.” 

“Okeylah doktor, Isha pergi dahulu.”

*****

 

 

Selepas meminta izin ibunya untuk makan malam dir umah Doktor Imani, Aisha segera menelefon Hani untuk memastikan kedatangannya sekali. 

“Assalamualaikum, Hani. Jangan lupa tau datang rumah Doktor Imani,” Aisha memperingatkan rakannya sebelum mematikan talian. 

Sewaktu Aisha melalui taman untuk ke rumah Doktor Imani, dia ternampak beberapa orang lelaki sedang membelasah seorang lelaki lain. Lelaki yang dibelasah itu pengsan akibat pukulan yang kuat di kepalanya. Setelah kumpulan lelaki itu beredar, Aisha segera menelefon abangnya dan membawa lelaki itu ke rumah Doktor Imani. Aiman segera menolong Doktor Imani membawa lelaki ke bilik kosong di rumah itu. 

“Di mana Isha jumpa pak cik ni?” tanya Doktor Imani. 

“Tadi. On the way ke sini, Isha nampak dia pengsan selepas kena belasah teruk. Itu yang Isha telefon abang Aiman dan bawa dia ke sini.” 

“Marilah kita makan dahulu. Nanti bila pak cik ini bangun, kita beri dia makan,” ujar Hani kelaparan. 

“Jomlah. Kasihan Hani tidak makan dari tadi,” ujar Aisha sambil memandang Hani. Hani memang kuat makan!

*****

 

 

Pagi esoknya Aisha membawa pak cik itu ke rumahnya pula. Sekurang-kurangnya abangnya, Aiman ada untuk merawat pak cik itu. 

“Pakcik, apa nama pak cik?” soal Aisha perlahan. 

“Nama pakcik Nizam.” Tidak semena-mena, Aisha teringatkan ayahnya yang telah meninggalkannya sewaktu berumur enam tahun. Nama pak cik itu hampir sama dengan nama ayahnya. 

“Anak ni nama apa?” tanya Pak Cik Nizam selepas melihat Aisha hanya senyap. 

“Aisha. Tapi orang selalu panggil Isha.” Aisha pun keluar dari bilik itu dan masuk ke dalam biliknya. 

“Isha, Isha kat mana?” 

“Isha kat bilik,” jerit Aisha. 

“Isha jangan lupa tau jual kerepek kat klinik tu.” 

“Ya, nanti Isha juallah. Akak, tadi Isha bawa seorang pak cik. Kasihan dia kena pukul,” Aisha bercerita kepada kakaknya sambil membuka pintu bilik. 

Amira sangat terkerana terkejut melihat lelaki tersebut. Seseorang yang telah lama hilang dari keluarga itu. 

“Di mana Isha jumpa pak cik itu?” tanya Amira masih menggigil terkejut. 

“Isha nampak Pak Cik Nizam kena pukul di taman. Semalam,  Isha dan Abang Aiman bawa ke rumah Doktor Imani, tetapi hari ni Isha bawalah ke rumah pula. Nanti abang Aiman boleh jaga.” 

“Isha nak tahu tak, pak cik ni seseorang yang kita tunggu selama ni,” ucap Amira,  memberitahu Aisha sesuatu yang amat penting dalam kisah silam Aisha yang ditinggalkan oleh ayahnya.

 “Siapa?” Aisha yang tidak sabar menanti jawapan kakaknya. 

“Dialah ayah kita,” ujar Amira perlahan, dengan nada suara yang tersekat-sekat. 

Selalunya Aisha akan terkejut dengan jawapan yang mengarut tetapi dari riak wajah Aisha, dia hanya tersenyum dan kelihatan gembira. 

“Betulkah? Kalau begitu, baguslah kak. Akhirnya ayah balik ke pangkuan keluarga kita. Kita mesti beritahu ibu.” 

“Akak rasa mesti ibu akan marah kalau jumpa ayah. Sebab ayah sudah lama tinggalkan kita,” terang Amira panjang lebar. Aisha hanya melopong dan menanti apa yang akan berlaku kelak.

*****

 

 

Pagi keesokannya, ibunya menelefon Aisha, menyatakan bahawa ibunya masih di rumah mak ciknya di Gombak. Sejak semalam ibunya di sana kerana mak cik Aisha tidak begitu sihat. Setelah bersarapan dengan kakak, abang, dan ayahnya, dia mengajak ayahnya menolongnya di Klinik Haiwan Doktor Imani. Ayah pun sudah sihat. 

“Isha, bagaimana kamu tahu yang ayah ini ayah kamu?” tanya Nizam yang mendengar perbualan mereka semalam. 

“Kak Amira beritahu. Kenapa ayah pergi dan tidak balik ke rumah?” tanya Aisha yang memang menunggu kedatangan ayah yang tidak pulang-pulang setelah sekian lama. 

“Nenek kamu suruh ayah berkahwin lain, tetapi ayah menolak. Jadi nenek kamu menghalau ayah. Sejak itulah ayah hidup sendiri di Singapura sebagai pekerja Zoo.

*****

 

Sesampainya mereka dirumah, Aisha melihat ibunya sedang berehat di ruang tamu. Ayahnya turut masuk. 

“Siapa yang bawa ayah kamu ke rumah ni?” marah ibunya setelah terlihat wajah seorang lelaki yang sangat dibencinya sejak sekian lama semenjak dari tarikh itu. 

“Isha, Isha faham kenapa ibu marah?” 

“Sebab ayah kamu sudah tidak sayangkan kita!” 

“Ibu, ayah, kakak, dan abang. Tolonglah janji dengan Isha yang kita akan jadi satu keluarga semula. Ishasu dah dengar semua cerita ayah. Ibu dengarlah dahulu. Lagipun ini sahaja hadiah hari jadi yang Isha minta,” ujar Aisha yang berharap keluarganya kembali seperti dahulu. 

Mereka semua saling memandang antara satu sama lain. Abang Aiman seperti biasa, tenang. Dialah terlebih dahulu yang mengetahui kisah sebenar ayahnya di rumah doktor Imani tempoh hari. Ayahnya juga bercerita, bahawa dia sebenarnya diragut oleh sekumpulan lelaki hingga pengsan di taman sebelum diselamatkan. Sudah hampir sebulan dia mencari mereka sekeluarga kerana merka sudah berpindah rumah.

*****

 

Pada hari jadi Aisha yang ke-13, dia amat gembira kerana keluarganya akhirnya bersama semula. Ayah dan ibunya kini bersatu kembali. Aisha amat gembira dengan perubahan dalam keluarganya kini. 

Aisha berbisik pada ayahnya, “Ayah nak tahu mengapa ayah adalah superhero Isha? Sebab ayah banyak tolong Isha di Klinik. Kita sudah berjaya selamatkan semua haiwan terbiar di jalanan.” 

“Dan kamu nak tahu tak, bahawa kamu adalah superheroin ayah yang terhebat,” ucap ayahnya. Nizam sendiri tidak dapat membayangkan sekiranya orang lain yang terjumpa dia terbaring pengsan tempohari.

 

“Ayahku superhero,” bisik Aisya sendiri, tersenyum gembira.

             

 

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: