Certot

Ayahku Popular

Hasil nukilan Aisyah Sofiyyah 2 years agoSuperhero 6

             

     Jari – jemari Masya menekan – nekan alat kawalan jauh. Semua cerita di televisyen boring baginya pada waktu itu. Sehinggalah dia ternampak rancangan Mlive lalu menukar ke siaran itu . Sewaktu menonton rancangan itu, dia terlihat satu tajuk gosip yang membuatkan hatinya panas membara – bara. Kelihatan tajuk yang tertera di kaca televisyen ‘ Hamdan Rahmat sedang mengalami konflik keluarga?’

    “Eh, sejak bila pula kita berkonflik? Keluarga kita baik – baik saja…” tiba –tiba kakak Masya yang bernama Maisarah yang baru turun dari tingkat atas bersuara. “ Itulah, pandai – pandai saja rancangan ini menjaja gosip liar yang tidak tahu asalnya dari mana.” kata Masya . Padahal , dia yang menukar siaran itu tadi .

    Selepas itu, terpapar wajah ayah mereka, Hamdan Rahmat di kaca televisyen untuk sesi temubual. “ Betulkah, sekarang ini ada gosip mengatakan Hamdan Rahmat ada sedikit konflik dalam keluarga?” Masya dan Maisarah berpandangan sesama sendiri dan kemudian mereka menjeling tajam ke arah Eliza Helmi, watawan yang bertugas menanyakan soalan kepada ayah kesayangan mereka. Walaupun wartawan itu hanya di kaca televisyen , mereka masih lagi mahu menjeling kerana marah yang teramat .

 

    Kelihatan Hamdan Rahmat tersenyum dan berkata, “ Tidak adalah . Kami baik – baik saja. Mana ada konflik atau masalah yang timbul sesama kami. Kepada sesiapa yang menyebarkan gosip ini di luar sana, tolonglah berhenti ya. Kami tidak ada apa-apa masalah pun.” Masya dan Maisarah tergelak besar mendengar jawapan ayah mereka. Namun, tawa Masya terhenti di situ. Maisarah pun berhenti ketawa dan memandang hairan ke arah adiknya. “ Kenapa adik? Ada yang tidak kena dengan jawapan daddy tadi ke ?”

    Masya mencebik seketika lalu menjawab pertanyaan kakaknya, “ Kakak ingat tak, tempoh hari, daddy dan mummy ada keluar bersama. Kata daddy,dia saja mahu keluar bersama mummy. Kakak tahulah, kalau sudah berjumpa pasti ada saja perkara penting yang dibincangkan oleh mereka. Kadangkala sehingga bergaduh. Mungkin ada yang melihat sewaktu mummy dan daddy bergaduh dan menyebarkannya. Mungkin sebab itulah gosip ini tersebar. Lagi – lagilah daddy yang penuh kontroversi, pasti ada saja mata yang mengawasi setiap tindak – tanduk daddy sewaktu daddy di tempat awam .”

    “ Eh, adik, tidak elok main serkap jarang begitu, lagi – lagi pada daddy sendiri. Adik tahu kan , kalau sudah daddy keluar pernyataan di televisyen, memang daddy tidak tipu kerana daddy sangat jujur orangnya. Takkan adik tidak kenal akan ayah sendiri?” Masya menjeling tajam kakaknya, “ Ah, sudahlah! Kakak tidak mahu percaya cakap saya tidak mengapa. Biar saya sahaja yang jalankan sesi boikot mummy dan daddy.”

    “ Apa? Sesi boikot mummy dan daddy? Eh, janganlah buat begitu pada mummy dan daddy ... Lagipun, cerita adik itu belum tahu lagi betul atau tidak. Mengapa adik mahu jalankan sesi boikot pula? Boleh jatuh anak derhaka tahu?” Maisarah berasa sedikit kecewa pada adiknya yang tidak semena – mena mahu memboikot ibu dan ayah sendiri. “Yalah, daddy sibuk dengan kerjaya pelakonnya itu. Mummy pula, ada cuti asyik keluar pergi shopping, spa, dan rawatan kuku. Kita pula duduk di rumah tercari –cari kerja, tidak tahu mahu buat apa.”

    Maisarah terlopong mendengar kata – kata adiknya, “ Adik, daddy mahu cari nafkah untuk kita sekeluarga. Mummy pula mahu rehatkan badan setelah 5 hari penat bekerja. Tolonglah faham adik, daddy dan mummy sedang usahakan kesenangan untuk kita juga. Adik boikot –boikot begitu, adik dapat apa?” Masya menghadiahkan jelingan tajam yang kedua buat kakaknya. Selepas itu dia terus meluru ke tingkat atas tanda merajuk dengan kakaknya. Maisarah hanya mampu melihat dan menggeleng kepala.

                      ***

    Keesokan harinya, Encik Hamdan tiada apa – apa penggambaran. Dia bercadang untuk meluangkan masa bersama anaknya. Dia juga meminta isterinya mengambil cuti buat hari itu. Sewaktu bersarapan bersama keluarga tercinta, dia pun memberitahu anaknya tentang pelannya, “ Maisarah, Masya, hari ini daddy free. Jom kita pergi Mid Valley! Haa, hari ini, daddy dan mummy mahu ajak kamu shopping! Mesti kamu berdua suka, bukan?”Puan Liyana juga tersenyum memandang ke arah kedua – dua anaknya.

    Masya berfikir sejenak. Rancangan mahu menjalankan sesi memboikot kedua - dua mummy dan daddy juga sedikit tergugat. Dia memang suka membeli – belah. Apatah lagi di Mid Valley yang ada bermacam – macam jenis kedai dan jenama terkemuka. Butik H&M dan Padini Concept Store memang menjadi kegemarannya. Namun, pelan tetap pelan, Masya berkata, “Saya tidak mahulah daddy. Daddy dan mummy pergi sahajalah dengan kakak.”

    “Eh, marilah pergi sekali. Masya kan suka pergi shopping.”ujar Encik Hamdan memujuk anaknya. Masya mengerutkan dahi dan menggeleng laju. Kebetulan, makanannya juga sudah habis, lantas dia ke dapur dan membasuh pinggannya. Pelannya tidak habis di situ. Masya naik ke tingkat atas lalu menghempas pintu biliknya dengan kuat.

    Encik Hamdan dan Puan Liyana terpinga – pinga dengan perbuatan Masya. Manakala Maisarah pula menggeleng kepala. Dia tidak menyangka Masya sanggup bertindak sampai begitu sekali.

                        ***

    Hari demi hari, Masya masih menjalankan sesi boikot mummy dan daddynya. Encik Hamdan dan Puan Liyana pula semakin hairan dan risau dengan sikap Masya. Maisarah ingin memberitahu mereka tetapi tidak sampai hati. Dalam masa yang sama, dia ingin memarahi adiknya tetapi Masya selalu saja tidak memberikannya peluang untuknya bercakap walau sesaat. Akhirnya dia tersepit di tengah – tengah, tidak tahu apa yang perlu dibuat.

                        ***

    Masya melangkah perlahan ke arah pintu pagar sekolah. Sesampainya di pintu pagar, dia duduk menunggu ayahnya untuk mengambilnya pulang ke rumah. Ya, walaupun dia menjalankan sesi memboikot, dia tidak larat berjalan kaki untuk pulang ke rumah walaupun rumahnya dekat dengan sekolah. Masya duduk termenung di situ. Rasa kasihan mula timbul di hatinya pada ibu dan ayahnya.

    Dia juga sudah tidak bercakap dengan kakaknya lagi. Baginya, bercakap dengan kakaknya hanya akan menimbulkan pergaduhan. Tetapi dia juga rindu saat-saat menonton televisyen dan belajar bersama kakaknya. Dia memang merindukan saat – saat yang berkualiti seperti itu sekarang.

    “Hahah! Anak artis sedang termenung mengenangkan nasib diri ! Mak dan ayah bergaduh? Hei, pergilah berjumpa Cikgu Wahida, guru kaunseling sekolah kita! Janganlah bersedih dan termenung setiap masa!” kata Alya yang sudah lama cemburu dengan Masya. Kali ini, dia mengambil peluang mengenakan Masya.

    “Eh Alya, sudah – sudahlah mengejek orang. Cemburu dengan saya ini tidak membawa apa-apa faedah sekalipun. Lagipun…”

    “Sudahlah Masya, tidak perlu layan orang yang cemburukan kita. Alya, berhentilah mengejek Masya.”Masya terkejut mendengarkan suara yang amat dikenalinya itu. Alya pula sudah terkebil-kebil lalu berlari pergi dari situ. “Daddy?” kata Masya.

      “Ya,ini daddy. Mengapa? Ada yang tidak kena ke?” ujar Encik Hamdan. Masya bertindak memeluk ayahnya. Kemudian, dia memandang ayahnya dan berkata, “Daddy, maafkan Masya jika selama ini Masya ada sakitkan hati daddy. Masya cuma… merajuk kerana Masya ingatkan daddy dan mummy bergaduh… Maafkan Masya daddy! Lain kali, Masya janji takkan bersikap serkap jarang lagi.”

      Encik Hamdan sedikit terkejut dengan pernyataan anaknya namun kemudian dia berkata dengan tenang, “ Tidak mengapalah, Masya. Daddy tidak sakit hati pun. Namun, lain kali Masya jangan buat begitu lagi ya? Daddy, mummy dan kakak semua risaukan Masya jika Masya terus-terusan bersedih begitu.”

      “ Baiklah daddy! Masya janji! Sekarang, saya nak pulang ke rumah dan minta maaf pada mummy dan kakak.” kata Masya. “ Baiklah… mari kita pergi pulang ke rumah. Oh, Masya, daddy dan mummy sudah merancang bawa Masya dan kakak Masya pergi Korea pada cuti sekolah ini. Kakak pun sudah setuju. Tinggal Masya saja. Masya setuju mahu ikut?”Encik Hamdan menyatakan tentang destinasi pilihannya tahun ini.

        “ Korea? Kalau Korea, memang Masya setuju daddy. Lagipun, Masya sudah lama mahu pergi ke Korea kerana banyak tempat menarik di sana.” Masya melonjak keriangan sewaktu mendengarkan pernyataan ayahnya. Encik Hamdan tersenyum, “Okay, sekarang, mari kita balik ke rumah. Petang ini Masya mahu pergi ke sekolah agama pula.” Masya mengangguk lalu mereka berdua beredar menuju kereta Mercedes Benz milik ayahnya.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: