Certot

Ayah Hero Keluarga

Hasil nukilan Nur Alisya Iman 2 years agoSuperhero 22

Petang itu sungguh ceria di rumahku. Aku dan adikku, Mia yang berumur empat tahun bermain dengan anak kucing belaan kami, Grey di halaman rumah yang dipenuhi dengan bunga-bungaan yang ditanam ibu di dalam pasu. Ibu dan ayah turut bersama kami sambil mengawasi kami bermain. Pada pendapat aku, ibu dan ayah risau jika sesuatu terjadi terhadap diri kami yang masih budak.

Mia sunggu seronok bermain dengan Grey. Mana tidak seronok, Grey itu lincah dan comel. Sungguh seronok jika dijadikan teman bermain. Sedang Mia bermain dengan Grey, kedengaran bunyi loceng. Itu menandakan bahawa Pak Mat sudah singgah di kejiranan kami untuk menjual aiskrim. Mia terus berlari ke arah motorsikal usang milik Pak Mat. Itulah kenderaan yang digunakan oleh Pak Mat untuk mencari rezeki demi menyara keluarganya.

Ayah keluar dari halaman rumah dan terus ke arah motorsikal Pak Mat. Melihat ayah, Mia terus menunjukkan aiskrim potong berperisa durian. Mia memang suka akan durian. Segala jenis makanan yang diperbuat berasaskan durian akan dimakannya. Lebih-lebih lagi aiskrim.

“Isya nak aiskrim apa?” Ayah mengujarkan soalan itu terhadap diriku. Aku hanya menunjukkan aiskrim potong berperisa kacang merah. Ayah mengeluarkan duit sebanyak dua ringgit untuk membayar harga aiskrim yang dipilih kami. Selepas membayar, ayah memberikan aiskrim yang dibeli kepada kami. Aku melihat Mia makan dengan amat comot. Namun, itu tidak menghalang Mia daripada terus memakan aiskrimnya.

Selepas 10 minit makan aiskrim, Aku dan Mia bermain kejar-kejar. Tiba-tiba Mia terlanggar tiang rumah. Mia terus menangis. Ibu yang sedang menyiram bunga segera datang ke arah Mia. Ayah yang sedang melayan klien syarikatnya di telefon terus mematikan panggilan demi Mia. Sungguh sayang ayah terhadap kami sehingga sanggup meninggalkan urusan yang sungguh penting. 

Ayah mengambil  first aid kit di dalam rumah. Ayah mengambil plaster dan letakkannya di kepala Mia yang berdarah itu lalu mencium kepala Mia. Ibu dan aku hanya tersenyum melihat ayah yang merawat adik dengan penuh kasih sayang.

*****

Malam itu, Mia memeluk ayah dan mengucapkan terima kasih atas apa yang dilakukan ayah petang tadi.

“Ayah, Mia nak minta maaf kalau menyusahkan ayah petang tadi sebab merawat Mia. Terima kasih sebab merawat Mia, ayah.” 

Terharu aku dan mama mendengar Mia cakap macam itu pada ayah. Ayah hanya tersenyum lalu memeluk Mia.

“Tak apalah, sayang. Ayah rawat Mia sebab sayang Mia. Semua yang ayah buat tak bermakna kalau apa-apa terjadi pada Mia dan Kak Isya.” Ayah memeluk Mia dengan erat.

“Ayahlah hero Mia. Terima kasih, ayah.”

Ayah tersenyum. Betul kata-kata Mia. Ayahlah hero keluarga. Tanpa ayah, aku dan Mia tak akan wujud ke dunia ini. Thanks a lot, ayah!

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: