Certot

Ayahku Encik Perfect 20

Hasil nukilan Yaya Madzlan 2 years agoSuperhero 48

             

Nama aku Faszira Fasha binti Aron. Ayah yang memberikan nama itu kepadaku. Aku berumur lapan tahun dan masih digelar sebagai ‘budak mentah’. Aku juga ada seorang kakak yang bernama Faszura Fasha yang berumur 12 tahun. Kakak aku sangat pandai dan bijak berbanding aku. Jika dia dapat nombor satu di dalam kelas, aku pula akan mendapat nombor 100 di dalam kelas. Tetapi di kelas aku hanya ada pelajar seramai 35 orang dan 99 peratus aku akan mendapat nombor 35, iaitu yang terakhir.

Aku selalu dimarahi oleh ibu bapaku. Padahal aku sendiri tak pasti kenapa aku sangat lemah dalam bidang akedemik. Mungkin memang salah aku! Aku sering melihat kakakku yang setiap hari akan bangun pada pukul 5.00 pagi. Dia akan menggunakan satu jam untuk mengulang kaji pelajaran. Kemudian, dia akan bersedia untuk pergi ke sekolah.

Memandangkan aku pergi ke sekolah pada sesi petang, memang sah aku akan bangun tidur lewat. Paling awal aku akan bangun pada pukul 9.00 pagi dan paling lewat pada pukul 11.00 pagi.

Sekarang aku mahu cerita tentang prestasiku dalam bidang ko-kurikulum. Pada setiap hari Rabu, semua pelajar sesi petang diminta datang awal satu jam di sekolah untuk menghadiri perjumpaan kelab masing-masing.

Aku bukannya berasal daripada keluarga yang berada. Aku perlu pergi ke sekolah dengan bantuan basikalku. Ibu bapaku jarang pulang ke rumah pada waktu tengah hari. Jadi, tiada sesiapa yang boleh mengingati yang aku ada perjumpaan kelab. Kakakku masih berada di sekolah pada waktu itu.

Kad kedatangan ko-kurikulum aku sentiasa kosong. Memang jelas lagi benar markah ko-kurikulum aku sangat rendah. Bila aku rasa hendak berubah, keesokkan harinya mesti aku akan melakukan sikap yang negatif semula. Itulah aku, Faszira Fasha.

*****

Hari Ahad sudah mula menutup tirai. Cahaya matahari memantulkan cahayanya ke arah muka bumi. Daun-daun dibasahi dengan embun. Ayam jantan sudah mula berkokok. Tetapi pada pagi itu suasana masih sedikit gelap.

“Allahuakbar! Allahuakbar!”

Laungan azan memecah keheningan. Semua orang segera bersiap-sedia untuk menjalankan tugas masing-masing sama ada di tempat kerja dan juga di sekolah.

Suasana pada pagi itu sungguh ceria sehinggalah….

“Faszura, tolong jawabkan soalan tersebut,” arah Cikgu Hasnan iaitu guru subjek Matematik.

Faszura mengangguk lalu berjalan ke arah papan putih. Dia membuka penutup pen marker lalu menulis jalan pengiraan untuk soalan berkaitan purata itu.

Tok! Tok! Tok!

Semua pelajar kelas 6 Amanah menoleh kepala ke arah pintu kelas.

“Maafkan saya, cikgu. Guru Besar hendak berjumpa dengan Faszura Fasha. Sila bawa beg sekolah kamu sekali,” jelas seorang pengawas yang berbaju biru lengkap.

Faszura mengangguk lalu matanya memandang ke arah jam tangannya. Baru pukul 7.40 pagi dan sekolah baru sahaja bermula. Tetapi kenapa perlu membawa beg juga? Pelbagai soalan bermain di minda. Faszura segera mengambil beg sekolahnya lalu berjalan ke arah pejabat.

“Assalamualaikum, puan. Ada apa, ya?” tanya Faszura dengan penuh lemah-lembut. Boleh dirasai juga penghawa dingin yang sungguh sejuk. Faszura berasa sedikit lega kerana dapat merasai kesejukkan.

“Waalaikumsalam, Faszura. Sebenarnya ada hal penting yang hendak diberitahu. Dukacitanya, ibu kamu mengalami kemalangan pagi tadi ketika hendak ke pejabatnya,” jelas Puan Rosayu dengan penuh nada sayu.

Faszura melopongkan mulutnya. Kesejukkan penghawa dingin tadi sudah menghilang entah ke mana. Dia menelan liur yang sungguh pahit. Matanya sudah mula menitiskan air yang deras.

“Saya akan menghantar kamu ke hospital. Ayah dan adik kamu juga sudah berada di sana,” jelas Puan Rosayu lalu memeluk Faszura.

*****

Aku menekup muka menyebunyikan tangisan. Ayah memegang bahuku dengan lembut sekali. “Faszira sabar, ya?” pujuk ayahku sambil tersenyum. 

Aku tahu itu bukannya senyuman yang sebenar tetapi senyuman yang penuh duka dan lara.

Hari ini ibuku perlu pergi ke pejabat lebih awal. Jadi, ibu mengambil teksi sahaja. Ayah pula memasak untuk kami di rumah sebelum pergi ke pejabat dengan menggunakan keretanya.

Sedang ayah menikmati sarapan, seseorang menelefon ayah dan memberitahu tentang hal itu. Lantas, ayah mengejutkan aku daripada tidur.

“Kakak!” jerit aku lalu memeluk kakakku yang turut menangis. Tiba-tiba, datang seorang jururawat meminta ayah masuk ke dalam bilik yang ibuku diletakkan. Aku dan kakakku diminta tunggu di luar kerana kanak-kanak bawah umur tidak dibenarkan masuk.

Selang beberapa minit, ayahku keluar dari bilik bersama-sama dengan tangisan kesedihan.

“Innalillahiwainnailahrajiun….”

*****

Angin sepoi-sepoi dapat dirasai jelas. Pada malam itu, cuaca agak kurang baik kerana mungkin hujan akan datang. Satu bulan sudahpun berlalu, tetapi aku masih tidak dapat menerima kenyataan.

Kakakku mengetuk pintu bilik lalu masuk ke dalam. Aku dan kakakku tidur di dalam bilik yang sama. Ini kerana rumahku tidak sebesar mana untuk kami tidur di bilik persendirian.

“Faszira, kakak tutup lampu, ya? Kakak hendak tidur,” jelas Faszura sambil membetulkan cadar katilnya.

Aku mengangguk perlahan. Badanku mula berasa sejuk. Aku memeluk tubuh dengan kuat.

“Faszira, janganlah bersedih. Kakakku pun sedih, tau! Tetapi, kita perlu berada di alam realiti,” pujuk kakakku sebelum menekan suis lampu.

Kata-kata itu masuk telinga kanan lalu keluar telinga kiri. Hari-hari aku asyik dengar ayat itu tetapi secara jujurnya, aku memang tak boleh terima apa yang sedang berlaku!

Di sekolah, aku tak dapat tumpukan sepenuh perhatian. Pada waktu rehat, aku langsung tidak makan. Aku asyik teringatkan ibuku yang sudah banyak berjasa. Pada aku, aku masih kecil dan muda untuk tempuhi semua ini.

‘Ya, Allah! Kenapa fikiran aku sungguh kusut?’ bisik hati Faszira lalu menangis. 

Guru-guru yang mengajar Faszira juga berasa risau. Peperiksaan akhir tahun sudah menghampiri. Semua guru mempunyai azam yang sama buat Faszira untuk mengajarnya sehingga berjaya.

*****

Hari ini ada perjumpaan ibu bapa untuk mengambil kad laporan anak masing-masing. Setelah lama menunggu, kini sampailah giliran Faszira.

“Assalamualaikum, cikgu,” ucap ayahku manakala aku duduk terdiam di sebelah ayahku. Aku pasti keputusanku makin mencorot.

“Waalaikumsalam. Faszira, ya? Sekejap, saya hendak mencari kad laporan anak encik,” jelas Cikgu Janna lalu mencari kad laporan milikku.

Selepas menjumpainya, Cikgu Janna membuka muka surat yang   bertulis dengan markah peperiksaan pertengahan tahunku.

“Faszira telah mendapat 2C 3D. Ia makin menurun. Pada ujian lepas, Faszira mendapat 1B 4C. Tetapi, dia sentiasa menyiapkan kerja sekolahnya cuma saya rasa dia main tulis sahaja jawapan pada kerja sekolahnya kerana asyik salah sahaja. Encik perlu memberikan perhatian lebih kepada anak encik,” jelas Cikgu Janna panjang lebar.

Aku memuncungkan mulut. Habislah aku akan dimarahi oleh ayah!

*****

Di rumah, aku berasa hairan kerana aku langsung tidak dimarahi oleh ayah. Aku duduk di dalam bilik. Di bilik ,aku sibuk melihat kertas ujian kakakku. Kakakku berjaya mendapat 5A.

“Susahnya soalan-soalan ini tetapi kakak masih dapat menjawab dengan tepat!” pujiku dengan perasaan terkejut melihat kehebatan kakakku.

Tiba-tiba ayahku masuk ke dalam bilikku bersama-sama dengan sehelai kad manila. “Faszira, ayah telah meyediakan jadual harian untuk kamu. Tolong ikut jadual ini. Faszura, ayah nak kamu menolong adik kamu belajar jika ayah sibuk,” jelas ayahku lalu menghulurkan kad manila itu kepadaku. Aku dan kakakku segera membaca isi kandungan kad manila itu.

“Pukul 10.00 pagi Faszira perlu membuat latihan sehingga pukul 11.30 pagi dan bersiap untuk pergi ke sekolah. Pukul 8.00 malam pula perlu membuat kerja rumah dan latihan,” kata Fazira sambil anak matanya ke kiri, ke kanan, dan kemudian ke kiri semula.

“Kamu perlu belajar lebih pada hari Sabtu tetapi ayah kurangkan sedikit pada hari Ahad kerana ayah tahu kamu penat,” jelas ayahku lalu menghulurkan lima buah buku latihan kepadaku. Aku tersenyum lebar. Aku juga mahu jadi seperti kakakku!

*****

Malam ini aku perlu menukar waktu melihat televisyenku dengan membuat kerja rumah dan latih tubi.

“Untuk permulaan, ayah hendak kamu buat Bahasa Malaysia-Pemahaman dahulu. Jika kamu berjaya mendapat gred A pada latihan kamu ini, ayah akan berikan kamu RM1. Esok, kertas Penulisan. Jika dapat gred A, ayah bagi kamu esok RM2,” ugut ayahku sambil menayang duit yag dipegangnya itu.

Mataku terbeliak lalu cepat-cepat mengeluarkan pensel dan buku rujukan. Kakakku yang sedang menyiapkan kerja rumahnya tertawa kecil melihat telatahku yang sungguh mata duitan.

Seperti yang dijangkakan, aku berjaya mendapat 80 peratus. Mungkin sebab ada bantuan buku rujukan. Selalunya,aku tidak selalu menggunakan buku rujukan kerana pada aku ia leceh. Yahoo… RM1 milikku!

*****

Hari Sabtu sudah pun tiba. Kakakku tiada di rumah kerana mengikuti Kem Pertama The Champions. Kem itu khas untuk pelajar yang dipilih menjadi Calon 5A dalam UPSR sekolah masing-masing. Kakakku pergi ke sana selama dua hari.

Di rumah, ayahku yang menguruskan segalanya. Memasak, mencuci baju, membeli barang dapur, mengemas rumah, dan juga membantuku dalam pelajaran.

Di jadual harianku, aku sedang berehat pada waktu itu. Aku mengambil keputusan untuk membantu ayahku megemas rumah. Aku berasa terharu melihat ayahku yang bermandi peluh menjalankan tugas arwah ibuku.

Ayah kata sekarang dia mempunyai tanggungjawab yang besar. Mendengar ayahku berkata begitu, impian untuk berubah semakin berkobar-kobar dalam jiwaku.

Aku memang hendak berubah. Aku juga hendak mengubah nasib keluargaku. Aku tahu kakakku tidak mampu hendak mengubah keadaan keluargaku. Jadi, aku serius hendak membantu kakakku, membantu keluargaku, membantu diriku sendiri!

Aku gembira menolong ayahku menjalankan tugas ibuku. Kini, barulah aku memahami kepenatan dan keperitan ibuku selama ini.

Duit belanjaku dipotong kerana ayah memerlukan duit. Dahulu aku dibelanjakan dengan RM3 tetapi sekarang RM2. Aku tidak merungut. Aku tahu duit yang dipotong itu juga akan menjadi milikku dengan melalui lauk-pauk, minyak kereta, bil elektrik, dan lain-lain.

Sebenarnya, ayah bekerja sebagai seorang pekebun di sebuah sekolah menengah manakala arwah ibuku bekerja sebagai penjaga kaunter di sebuah kedai makan.

Gaji ayahku sedikit. Cukup-cukup untuk keperluan rumah. Keluarga kami tidak seperti keluarga orang lain yang mampu membeli kehendak. Kami hanya boleh membeli keperluan. Bukannnya kehendak.

Aku perasan bahawa baju-bajuku semuanya sudah lusuh. Tetapi, aku tidak meminta ayahku membeli yang baru. Selepas aku menjadi rajin belajar, aku semakin menjadi matang dan tidak meminta sesuatu yang bukan-bukan. Aku gembira kerana mendapat seorang bapa yang bertanggungjawab dan baik hati. Terima kasih ya, Allah!

*****

Pejam celik, pejam celik, aku sudah pun berusia 12 tahun dan akan menduduki UPSR. Akhirnya, aku berjaya mendapat 5A. Alhamdullilah!

“Faszira, tahniah! Kamu sudah membuatkan ayah berasa bangga,” kata ayahku lalu memeluk eratku.

“Tak, ayah! Ayah yang telah membuatkan Faszira bangga. Kerana ayahlah Faszira sudah berubah. Terima kasih, ayah! Ayah memang Encik Perfect 20 buat Faszira!” sorak Faszira. Faszura yang berada di sebelah sibuk mengambil gambar slip keputusan adiknya itu.

“Eh, Encik Perfect 20?Bukan sepatutnya Perfect 10kah?” tanya ayah sambil tertawa kecil.

Aku turut ketawa. “Saja je. Tapi rasanya ayah Encik Perfect 100!” sorakku dengan penuh kegembiraan.

Terima kasih, ayah! Ayahlah Superhero, ayahlah Encik Perfect 20!

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: