Certot

Ayahanda

Hasil nukilan Alia Irdina about 3 years agoSuperhero 16

             

Petang jam 4.02 minit di Negara Pelangi Tiga Warna, Bulan Kuning hampir terbenam. Menandakan Bulan Biru sedia menggantikan rakannya itu. Suasana di perkarangan Istana Pelangi Tiga Warna sungguh meriah. Cahaya merah, kuning, dan hijau menghiasi setiap penjuru istana. Hari ini merupakan hari yang sangat bersejarah bagi Negara Pelangi Tiga Warna. Majlis penyerahan Keris Sakti Dewata Alam Berbulu Ayam yang menjadi lambang kepada Negara Pelangi tiga Warna.

Di sekeliling bahagian pemegang keris itu, terdapat tiga helai bulu ayam laga diraja bernama Tuan Ghanda. Ayam laga itu adalah simbol kekuatan Negara Pelangi Tiga Warna. Daripada itu jugalah Keris Sakti Dewata Alam Berbulu Ayam mendapat nama.

  Tidak lama kemudian, muncul seorang lelaki lewat 50-an mengiringi seorang kanak-kanak lelaki menuju ke singgahsana utama di hadapan istana. Di tempat duduk hadapan, Raja Tiga Warna sedang duduk di atas takhta sebagai tetamu kehormat majlis itu.

  “Menjunjung kasih kepada Duli Yang Amat Mulia, Raja Tiga Warna, dan seluruh tetamu yang sempat menghadiri Majlis Penyerahan Keris Sakti Dewata Alam Berbulu Ayam kepada waris hamba pada petang yang indah ini.” Laksamana Dewata Alam memulakan majlis di atas pentas di-raja.

  “Tanpa melengahkan masa, patik akan memulakan adat penyerahan Keris Sakti Dewata Alam Berbulu Ayam ini kepada anakanda sulung patik, Amjad Mikael Dewata Alam.”

  Amjad Mikael terus melutut di hadapan ayahnya dengan kedua-dua tangan berada di lutut. Laksamana Dewata Alam mengucup keris sakti tersebut lalu menyentuhkan hujung keris sakti pada kedua-dua belah bahu anakandanya itu. Amjad Mikael terus berdiri lalu menerima Keris Sakti Dewata Alam Berbulu Ayam dan terus menjulangnya ke udara.

  Selesai istiadat tersebut, semua tetamu termasuk Raja Tiga Warna bergerak meninggalkan majlis. Sudah menjadi adat turun temurun keluarga Laksamana Dewata Alam untuk menyerahkan keris warisan keluarga kepada waris yang sah. Keluarga Dewata Alam merupakan laksamana yang paling setia dan bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan dan keamanan Negara Pelangi Tiga Warna. 

“Ayahanda, Amjad mahu jadi seperti ayahanda suatu hari nanti. Amjad mahu melindungi negara dan seluruh rakyat pada masa akan datang.”

  Laksamana Dewata Alam tersenyum melihat anaknya itu. Beliau kagum dengan semangat anaknya itu.

“Jika Amjad mahu jadi seperti ayahanda, berjanjilah Amjad akan menjaga keris tersebut dengan sepenuh hati Amjad.” Amjad mengangguk mendengar jawapan ayahandanya itu.

*****

Pada malam tersebut, Amjad tidur dengan nyenyak. Bondanya sudah lama meninggalkannya sejak dia berumur tiga tahun. Sejak itu, ayahanda Amjadlah yang menjaganya biarpun sibuk dengan tugasnya. Tidak sedikit pun kurang kasih sayang yang diberikan ayahandanya kepada mereka adik-beradik. Ilmu dunia dan akhirat menjadi keutamaan dalam hidup mereka. 

Baru sahaja tidurnya hendak lena, tiba-tiba satu tangan kasar menekup mulut dan hidungnya. Amjad Mikael meronta-ronta mahu melepaskan diri. Tetapi tenaga kanak-kanaknya tidak mampu melawan tenaga beberapa orang lelaki yang berpakaian hitam itu. Amjad Mikael semakin lemas dan akhirnya dia pengsan.

*****

  Sebaik sahaja membuka mata, Amjad Mikael sedar dia bukan lagi di katil. Malah dia bukan lagi berada di dalam kamar tidurnya. Dia sudah diikat di atas kerusi. Dia berada di tempat yang sungguh asing. Beberapa orang lelaki yang bertopeng berkawal di dalam gudang itu.

  Seorang lelaki sedang mengusap Keris Sakti Dewata Alam Berbulu Ayam miliknya. Lelaki itu ketawa berdekah-dekah apabila melihat Amjad Mikael cuba melepaskan dirinya. Amjad Mikael kenal lelaki itu.

“Tuan Bendahara Kinochi? Mengapa tuan buat begini pada saya? Apa yang tuan mahu sebenarnya?” Rupa-rupanya lelaki itu adalah Tuan Bendahara Kinochi iaitu sahabat baik ayahandanya sendiri.

  “Aku mahu ini!” Bendahara Kinochi mendekati Amjad Mikael sambil mengacukan keris Sakti Dewata Alam ke arah Amjad Mikael.

  Tiba-tiba pintu gudang itu di tendang. Kelihatan Laksamana Dewata Alam berdiri di hadapan pintu gudang.

  “Ayahanda!” Amjad Mikael menjerit memanggil ayahandanya.

  “Bagaimana engkau tahu anak kau berada di sini?!” Bendahara Kinochi pelik melihat Laksamana Dewati Alam dapat menjumpai anaknya kerana sekarang mereka berada di negara jiran mereka iaitu negara Awan Gemawan.

  “Sungguhku tidak sangka sahabatku sendiri telah mengkhianatiku!” Laksamana Dewata Alam amat kecewa dengan sahabatnya itu. Segala kepercayaannya serta-merta hilang.

  “Engkau yang tidak mengendahkan aku! Aku telah berjuang demi seluruh rakyat jelata, namun kamu hanya kamu yang mendapat nama dan disayangi raja. Setiap kali kau menerima pujian, hatiku membara kerana aku lebih layak menerima pujian itu!” Amjad Mikael terdiam mendengar kata-kata Bendahara Kinochi. Rupa-rupanya terselit rasa cemburu di hati sahabat ayahandanya itu. Sungguh tidak disangka!

  “Kini aku boleh menguasai Negara Pelangi Tiga Warna dengan Keris Sakti Dewata Alam Berbulu Ayam ini! Hahaha!”

Amjad Mikael yang sudah dapat melepaskan diri cuba menepis keris itu, namun usahanya bagi mengahalang rancangan jahat Bendahara Kinochi tidak berhasil. Sebaliknya dia terjatuh ke dalam lubang pembentungan yang terbuka. Mujur dia masih dapat berpaut di tepi lubang.

  Laksamana Dewata Alam perlu membuat pilihan. Sama ada anaknya atau Negara Pelangi Tiga Warna. Beliau perlu bertindak segera. Namun sesuatu yang tidak dijangka telah berlaku. Tiba-tiba keris sakti di tangan Bendahara Kinochi menjadi amat berat. Keris itu terus terbang menuju ke arah Laksamana Dewata Alam. Tanpa berlengah lagi, Amjad Mikael perlu segera diselamatkan oleh ayahandanya. Bagi Laksamana Dewata Alam, anaknya lebih berharga daripada segalanya.

  Dengan kuasa sakti Keris Dewata Alam, Amjad Mikael diapung lalu bergerak keluar dari gudang lama itu. Ketika itu, Bendahara Kinochi cuba melarikan diri tetapi dapat dihalang oleh Laksamana Dewata Alam.

“Dengan kuasa keris Dewata Alam, engkau akan dipenjarakan di Penjara Negara untuk selamanya!”

  “Tidak!” Bendahara Kinochi menjerit sebelum beliau ghaib daripada pandangan.

  *****

  “Ayahanda, apa yang terjadi kepada Bendahara Kinochi?” Amjad Mikael berjalan beriringan bersama ayahandanya di Taman Tasik Tiga Warna. Hari ini beliau diberi pelepasan oleh Raja Tiga Warna sebagai ganjaran kerana telah menyelamatkan Negara Pelangi Tiga Warna.

  “Bendahara Kinochi sedang dikurung di penjara Negara buat selamanya. Ayahanda berharap agar dengan hukuman itu, bendahara akan berubah sikap.” Amjad Mikael mengangguk faham.

  “Ayahanda, ayahanda adalah wira saya.” Amjad Mikael terus memeluk ayahandanya itu.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: