Certot

Ayah, My Knight in Shining Armor

Hasil nukilan Nuha Nabiha 2 years agoSuperhero 107

           

Ayah selalu sibuk bekerja. Dia seorang doktor pakar respiratori di sebuah hospital swasta. Dia juga sering on-call sehingga lewat malam. Huh, ayah bukan workaholic, itu memang tugasnya. Ayah jarang bertanyakan tentang perkembanganku. Mama dan ayah sudah lama bercerai kerana mereka tidak lagi bersefahaman. Hak penjagaanku jatuh pada ayah, manakala mama sudah berkahwin lain beberapa bulan selepas bercerai. Mama jarang sekali menjengukku. Ayah pun tidak pernah membawa aku untuk bertemu dengan mama. Sekali-sekala aku dan mama berhubung melalui telefon.

        Aku benci ayah. Fikirku, ayah tidak adil. Ayah lebihkan kerjayanya sebagai doktor dengan gaji yang lumayan berbandingku, satu-satunya anak tunggal yang selalu bersendirian di rumah. Aku cemburu dengan rakan-rakan yang lain seperti Mira dan Fakhrul. Bapa mereka penyayang dan sering membawa mereka melancong, membeli-belah, dan sebagainya. Aku sering meluahkan perasaan yang terbuku di hatiku dalam diariku.

        Suatu hari, semasa dalam perjalanan ke rumah Mira untuk mengulangkaji, aku terserempak dengan sekumpulan pelajar senior yang turut belajar di sekolahku. Mereka terkenal dengan sikap mereka yang nakal. Bilik guru disiplin bagaikan rumah kedua mereka.

        Aku cuba untuk tidak mengendahkan mereka. Namun, siulan mereka mematikan langkahku.

        “Hei, budak kaya! Tolong buangkan sampah aku!” jerit salah seorang daripada kumpulan itu seraya melemparkan botol air mineral yang kosong ke arahnya. 

“Nah, kutipkan ini sekali!” ujar rakannya pula lalu menaburkan kulit kacang ke serata tempat.

        “Sudah namanya anak buangan, ibunya sudah tidak mempedulikannya, ayah tidak mahu melayan anak kesayangan mereka ini. Kasihan…,” ujar ketua mereka dengan nada mengejek.

 “Mungkin dia kurang kasih sayang,” balas ahli yang lain pula. Kemudian, tawa mereka meletus.

        Belum sempat aku melarikan diri, tiba-tiba muncul sebuah kereta sedan berjenama BMW yang amat kukenali. Seperti yang dijangka, ayah keluar dari kereta tersebut. Tanpa sepatah kata, ayah terus mendapatkan kumpulan budak nakal itu. Ayah kelihatan tenang sahaja semasa berkata sesuatu kepada mereka.

        Riak wajah mereka bertukar gerun. Serentak, semua ahli kumpulan itu menuju ke arahku. Aku mulai gementar, bimbang akan keselamatan diriku. Tanpa diduga, mereka meminta maaf dariku.

        “Kami minta maaf, Amirah. Kami janji tidak akan mengganggu kau lagi.” Kemudian, mereka terus beredar dari situ.

        Aku memandang ayah yang sedang tersengih melihatku yang terpinga-pinga. Ayah mendekatiku lalu mengusap kepalaku dengan lembut. 

“Jangan risau, Amirah. Ayah sudah ‘selesaikan’ mereka. Mereka tidak akan mengganggu Amirah lagi,” kata ayahku yang masih tersengih memandangku.

        Aku tidak tahu apa yang ayah katakan kepada mereka. Namun, aku berasa sangat bersyukur kerana ayah hadir pada waktu yang tepat.

       *****

        Pintu bilik ayah kuketuk dengan ragu. Bimbang kalau ayah sedang membuat kerja. “Ayah?”

        “Ya Amirah. Kenapa? Mari duduk di samping ayah,” ayah balas sapaanku dengan senyuman. Dia sedang menghadap komputer ribanya di atas katil. Aku menghampiri ayah.

        “Ayah, tentang tadi….”

        “Bagaimana ayah boleh datang tiba-tiba?” ayah memintas pertanyaanku. Sedikit rasa kagum terselit di hati. Bagaimana ayah tahu apa yang tersirat dalam hatiku?

        “Ayahkan ayah. Mana boleh beritahu. Rahsia!” kata ayahku sambil mengenyit mata kepadaku.

        “Ayah gurau sahajalah. Sebenarnya, ayah mahu ajak kamu pergi makan di restoran kegemaran kamu, Johnny’s yang menghidangkan stimbot enak itu. Kemudian, ayah mahu bawa kamu membeli-belah sebagai ganjaran kamu berjaya menjadi pelajar terbaik di sekolah,” ujar ayah apabila melihatku berdiam diri. “Tapi, kamu mahu ke rumah rakan pula tadi. Tidak mengapa, lain kali kita pergi ya.” Ayah usap lembut kepalaku.

        “Bagaimana ayah tahu?” tanyaku. Aku yakin aku belum memberitahu hal tersebut kepada ayah.

        “Ayah tanya guru kamulah. Ayah selalu bertanyakan tentang kamu melalui guru kamu itu.” Jawapan ayah membuatku tergamam.

        “Ini hadiah untuk Amirah. Ayah tahu, Amirah memang impikan jam ini,” kata ayah lagi lalu menghulurkan sesuatu kepadaku.

        Ia merupakan seutas jam tangan berjenama Baby-G. Kumpulan K-Pop kegemaranku iaitu Girls Generation menjadi duta untuk jam tersebut. Memang jam yang berwarna merah jambu lembut ini menjadi idamanku.

“Ayah, Amirah sayangkan ayah. Amirah mahu minta maaf kerana selama ini Amirah selalu buruk sangka kepada ayah!” Aku terus mendakap ayah dengan penuh rasa kasih.

Ayah sedikit terpinga-pinga namun dia tetap membalas pelukanku. “Ayah maafkan.”

        Ayah sebenarnya selalu menyayangi aku walaupun sibuk. Ayah ambil berat tentangku. Ayahlah heroku dunia dan akhirat. Amirah sayang ayah!

“Oh ya, apa yang ayah beritahu kepada kumpulan budak-budak nakal yang mengganggu Amirah tadi?” Sempat aku tanyakan kepada ayah tentang hal tersebut.

“Hehehe. Ayah ugut mereka begini. Kamu anak Puan Izla yang menghidap diabetes. Beliau datang untuk mendapatkan rawatan daripada saya. Kamu pula, anak tukang cuci di klinik saya itu, Pak Azri bukan? Ganggu anak saya sekali lagi dan mereka akan tahu perbuatan kamu yang nakal ini.”

Aku ketawa terbahak-bahak. Patutlah mereka semua nampak gerun dengan kehadiran ayah. Pintar benar ayah ini.

Lihatlah ayah siapa!

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: