Certot

Ayahku Superheroku

Hasil nukilan Oleen 2 years agoSuperhero 2

Aku Anis Adlina Iskandar, berusia 10 tahun. Aku bersekolah di Sekolah Kebangsaan Taman Selasih, Batu Caves, Selangor. Aku dibesarkan dalam keluarga sederhana, namun kami mendapat kasih sayang yang melimpah-ruah daripada kedua-dua ibu bapa kami. Kami berempat beradik tidak pernah dibeza-bezakan oleh kedua-dua ibu bapa kami dalam mebesarkan kami.

Aku berbangga memliki seorang ayah yang baik dan penyayang. Aku kerap perhatikan tingkah-laku ayah dan sangat mengagumi ayahku. Daripada pemerhatianku, ayahku merupakan seorang yang sangat suka menderma dan selalu membuat kerja kebajikan. Sikap ayah benar-benar menyentuh hatiku. Kami adik-beradik mengambil positif perilaku ayah dan cuba menanamkan sikap begini dalam diri kami kerana ayah sering menasihati kami supaya menjadi seorang yang pemurah dan berhati mulia. 

Ayah sering mengikuti aktiviti surau di taman perumahan kami dan mengajak anak-anak menyertai aktiviti tersebut jika kami mempunyai masa terluang. Rupa-rupanya aktiviti ini telah membuka minda kami adik-beradik tentang peri pentingnya melibatkan diri dalam aktiviti masyarakat demi menjamin kesinambungan hubungan dan ukhuwah dalam masyarakat. Aku sendiri dapat menyedarinya.

Dalam kekusutan menyiapkan kerja sekolah, aku sering dibantu ayah menangani kekusutan tersebut. Ayah akan mengajar aku cara terbaik menyelesaikan sesuatu masalah dalam pelajaran. Setiap malam ayah akan bertanyakan kerja sekolah dan permasalahan yang kami adik-beradik hadapi. Ayah sangat peka perihal pembelajaran kami adik-beradik, sama ada aku dan seorang kakak yang masih bersekolah, mahupun abang dan kakakku yang telah masuk ke universiti tempatan. Ayah akan mengikuti perkembangan pembelajaran kami dan sentiasa menasihati anak-anak supaya tekun berusaha demi memastikan kejayaan berada di pihak kami.

Dari segi penghayatan ilmu agama, daripada pengamatanku, ayah juga seorang yang warak dan alim dalam bidang agama Islam. Ayah sering ke surau solat berjemaah dan mendengar kuliah agama. Selepas ayah pulang dari surau, ayah akan menceritakan intipati kuliah yang didengarnya di surau kepada kami sekeluarga. Aku juga selalu ke surau bersama-sama ayah, jika aku mempunyai masa lapang setelah menyiapkan semua kerja sekolah. 

Ayah juga sering diberikan kepercayaan untuk membacakan doa dalam kenduri ataupun di pejabat, dalam acara tertentu. Jika ayah tidak ke surau, kami sekeluarga akan solat berjemaah bersama-sama di rumah. 

Pada masa lapang pula, ayah akan mengajar kami mengaji Al-Quran berserta tajwid. Kami sekeluarga juga sering menonton rancangan televisyen yang berkaitan dengan ilmu agama, seperti ceramah perdana, rancangan Pencetus Umah, 30 Minit Ustaz Don dan sebagainya. Ayah sering berpesan kepada kami supaya mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah dan memberikan manfaat kepada kami mahupun orang lain. Sifat berani pada ayah memang aku sangat kagumi.

 Pada suatu petang, ketika kami sekeluarga sedang minum petang, tiba-tiba kami terdengar jiran kami menjerit meminta pertolongan. 

“Tolong! Tolong! Rantai saya kena ragut,” jerit Mak Cik Ija. 

Kami semua keluar ke halaman ruman ingin melihat apa yang berlaku. Rupa-rupanya jiran kami telah diragut oleh seorang lelaki. Tanpa mencuci tangannya, ayahku terus bergegas mengejar peragut berkenaan hingga ayah berjaya menangkap peragut tersebut. Kemudian rakan-rakan ayah membantu ayah mengheret peragut itu ke taman kami semula, sehingga pihak polis tiba. Itulah antara sifat berani ayah yang tidak dapat saya lupakan kerana bukan semua orang boleh bertindak berani seperti sedemikian.

Menurut ibuku, ayah melayan kami sekeluarga dengan penuh kasih sayang. Ayahku sering menghidangkan makanan buat kami sekeluarga apabila ibu sakit dan ketika ibu bertugas di luar. Ayahku rajin membantu ibu menguruskan rumah tangga. Malah kami sekeluarga akan memasak bersama-sama bagi meringankan beban ibu yang turut bekerja di sektor kerajaan. Aku juga tidak menyangka ayahku sanggup berjaga malam ketika aku sakit. Ayah mengelapkan kepalaku sambil berselawat. Setiap kali aku ke sekolah, ayah akan membekalkan makanan dan minuman, serta memberikan aku wang saku secukupnya.

Pada satu sudut rumahku, tergantung gambar ayah menerima anugerah pekerja terbaik. Aku sungguh berbangga dengan kejayaan ayah. Ayah merupakan seorang pekerja yang rajin di pejabatnya. Selain itu, ayah sering datang awal ke pejabat. Ayah bersifat tegas dengan pekerja-pekerjanya dan sentiasa memastikan mereka membuat kerja dengan betul.

Selain itu, ayah juga pernah menerima Anugerah Pelajar Cemerlang ketika melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), suatu ketika dahulu. Ayah mendapat anugerah bersama-sama 10 orang pelajar terbaik yang lain. Walaupun aku masih kecil, aku masih ingat saat-saat kegirangan kami sekeluarga meraikan ayah di Pulai Spring Resort, Johor Bharu ketika sesi penganugerahan tersebut. Kemudian kami ke Pesta Konvokesyen ayah di UTM, Skudai, Johor Bharu bagi meraikan kejayaan ayah. Aku amat berbangga dengan kejayaan ayah dan menanamkan hasrat untuk belajar bersungguh-sungguh supaya boleh berjaya seperti ayah dan juga ibuku.

Aku sungguh berbangga memiliki seorang ayah yang sangat penyayang dan bertanggungjawab. Pada pandanganku, ayahku bukan sahaja seorang yang berjaya di rumah, malah seorang yang berjaya di pejabat dan juga dalam pelajaran. Ayah mampu menjadi suri teladan kepada kami sekeluarga dan aku berharap aku juga akan menjadi seperti ayah dan akan memanfaatkan setiap didikan ayah untuk hari-hari mendatang supaya aku berjaya hidup di dunia dan di akhirat. Doaku, semoga ayah dan ibu sentiasa sihat, diberkati, dan mendapat perlindungan serta kerahmatan Allah SWT dan berjaya hidup di dunia dan di akhirat.

Sesungguhnya, ayahku adalah superheroku.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: