Certot

AYAH, KAU SUPER HEROKU

Hasil nukilan Ummu Ain2 years agoSuperhero 9

           

Hidupku sekeluarga sederhana sahaja. Keluarga yang dibina oleh pasangan bahagia iaitu ayah dan ibuku. Bila berbicara tentang kasih sayang daripada ibu bapa, aku tidak dapat menafikan bahawa ayah dan ibuku adalah dua insan yang amat istimewa. Walau pun begitu, perasaan kasih dan sayangku tidak berbelah bagi untuk seorang insan hebat yang dipanggil ayah.

Ayahku dilahirkan pada 8 Oktober 1977 di sebuah desa terpencil ni Negeri Terengganu.  Beliau dibesarkan dalam sebuah keluarga yang sederhana dan mempunyai ramai adik-beradik. Ayahku adalah anak yang keenam daripada 13 orang adik-beradik. Ayah menjadi orang yang aku kagumi kerana latar belakangnya yang penuh dengan sejarah suka-duka. Ketabahan hidupnya di masa lalu telah menjadi satu motivasi untukku dan adik-adik belajar selama ini.

Walaupun tidak mempunyai kemudahan dan kesenangan, tetapi ayahku mempunyai semangat yang tinggi untuk belajar. Beliau meneruskan alam persekolahan dengan serba kekurangan dan kesusahan. Pernah ayahku menceritakan betapa susahnya untuk mendapat duit walaupun sekadar 20 sen pada zaman kecilnya iaitu pada tahun 1980-an. Sejak itu, aku mula menghargai nilai setiap duit yang diberi. Perkara yang sama diajar kepada adik-adikku yang lain seramai tiga orang. Oleh itu, kami berempat mula minat menabung walaupun dengan hanya duit 50 sen sehari. Sehingga umurku sebelas tahun, Alhamdulillah minat menabung telah menjadi rutin harian hidup kami adik-beradik. Bersyukur yang sedikit, mudah-mudahan akan mendapat rezeki yang lebih banyak. Itulah pesanan ayah yang selalu disebut kepada kami. Hebat didikan menabung yang diajar oleh ayahku.

Selain mengharungi banyak halangan dalam belajar, ayahku juga menjadi salah seorang ahli keluarga yang banyak berjasa kepada keluarganya. Selepas menamatkan pelajaran di peringkat diploma, ayah tidak meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi kerana mahu berkorban untuk adik-adiknya yang masih lagi belajar di sekolah menengah dan di kolej. Sikapnya yang suka berkorban menjadi inspirasi kepada ibu dan bapa saudara kami untuk terus belajar bersungguh-sungguh. Mereka belajar dan berjaya mendapat pekerjaan yang baik. Pak cik dan mak cikku berjaya dalam hidup mereka hasil pertolongan ayah. Terasa bangga apabila ayah menjadi seperti ‘hero’ dalam ahli keluarganya.

Selepas mendapat pekerjaan di Kuala Lumpur, ayah mula berhijrah ke kota besar. Sebelum mendapat kerja di sebuah jabatan kerajaan, ayah pernah juga berkerja sebagai operator kilang dan bekerja di banyak tempat. Itulah rezeki yang diberikan keran ayah tidak memilih kerja untuk mencari rezeki yang halal. Apabila telah mendapat pekerjaan, hidup ayah berubah kerana dapat mengubah nasib kehidupan keluarganya dan juga keluarga kami. Prinsip ayah adalah seperti kata orang tua-tua, ‘Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian’. Hebatnya ayah saya.

Saya ceritakan sedikit sebanyak kisah diri saya. Saya merupakan seorang pelajar di sebuah sekolah rendah di daerah Sepang, Selangor. Saya merupakan seorang ketua kelas di darjah 5 I. Tanggungjawab sebagai ketua kelas amat berat. Selain melaksanakan tugas itu, saya sentiasa memberi fokus kepada pelajaran. Di samping itu juga, saya sangat berminat dalam aktiviti ko-kurikulum yang diadakan di sekolah. 

Pada tahun ini, saya dan kawan-kawan turut terlibat dalam acara Bicara Berirama dalam Bahasa Arab mewakili sekolah iaitu disebut Kalam Jamaie. Walau bagaimanapun, kejayaan tidak memihak kepada pasukan kami. Pada mulanya saya merasa amat sedih dan kecewa kerana tidak berjaya membawa piala untuk guru-guru dan sekolah. Walau bagaimanapun, ayah sentiasa ada bersama saya di waktu senang dan susah. Ayah memberi kata-kata motivasi dan semangat kepada saya. Sebagai ketua kelas di sekolah, sikap positif mesti diutamakan. Kekalahan bukan bererti kegagalan. Itulah kata-kata ayah yang menjadi penguat semangat kepada saya untuk terus mencuba dalam apa juga aktiviti di sekolah.

Saya kemudian mewakili sekolah dalam acara pidato. Berkat bimbingan guru-guru, kawan-kawan dan nasihat yang berterusan daripada kedua ibu bapa saya, maka saya berusaha bersungguh-sungguh dalam acara pidato tersebut. Akhirnya saya berjaya mendapat naib johan Pertandingan Pidato Daerah Sepang sempena kempen keselamatan jalan raya peringkat sekolah rendah. 

Rasa bersyukur dan terima kasih kerana usaha yang bersungguh-sungguh telah membawa kejayaan kepada saya dan sekolah. Ingatan saya terus-menerus kepada ayah yang selalu memberi kata-kata dorongan yang berguna. Walaupun saya pernah gagal, tetapi saya jadikan kegagalan itu sebagai satu cabaran untuk terus berusaha sehingga berjaya.

Pada tahun hadapan, saya dan kawan-kawan akan menghadapi peperiksaan yang besar iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Ayah dan juga ibu sentiasa memberi galakan supaya saya dan adik-adik terus belajar tanpa jemu. Usaha awal yang sedikit, tetapi berterusan lebih penting daripada belajar di saat-saat akhir menjelang hari peperiksaan. Itulah kata-kata ayah yang selalu bermain di ingatan saya.

Begitulah hebatnya ayah saya. Beliau sentiasa berfikiran positif dan tidak menjadikan satu-satu kegagalan itu sebagai perkara yang melemahkan semangat. Setiap dugaan dalam hidup, mesti ditempuhi dan bukan dijauhi. Jangan sekali-kali berputus asa. Sebaliknya, saya dan adik-adik diajar supaya mencari hikmah yang tersembunyi di sebalik kejadian yang terjadi. Sesuatu yang diusahakan, perlu bersungguh-sungguh dan doa kepada Allah adalah kekuatan sebagai seorang yang beragama Islam. Begitulah istimewanya ayah kepada saya. Beliau bukan sekadar ‘hero’ atau tetapi ‘ayahku adalah super hero’.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: