Certot

Ayah Hero dengan Kuasanya

Hasil nukilan zafriz 2 years agoSuperhero 10

             

Nama saya Zafri Syahmi bin Mohd Zamri.  Selain memiliki nama yang hampir sama, kami juga berkongsi minat yang sama iaitu  superhero. Setiap kali muncul filem baru bertemakan superhero, pastinya ayah akan membawa saya menontonnya. Tidak cukup dengan itu, ayah juga pastinya akan membelikan figura-figura superhero untuk saya bermain. Tapi bukan itu yang ingin saya ceritakan.

Sejak dari kecil, ayah berusaha keras untuk membahagiakan keluarga kami. Dia sering balik lewat dan mengorbankan cuti hujung minggu dengan melakukan tugasan sampingan bagi menjana pendapatan lebih untuk memastikan saya dan ibu dapat hidup dengan selesa. Seringkali terlihat wajah ayah yang penat setiap kali pulang dari kerja. Walau bagaimanapun, ayah tetap akan melayan saya bermain di sebalik wajahnya yang letih. Diangkatnya saya, bermain tembak-tembak. Sesekali menjadi pahlawan bermain pedang dan melayan saya bermain figura-figura superhero.

Setiap kali ada masa terluang masa cuti, ayah akan membawa saya berjalan-jalan tidak kiralah dekat atau jauh. Jika dekat, ayah akan membawa keluar ke kompleks beli-belah dan makan makanan kegemaran saya. Jika ayah mempunya rezeki lebih bulan itu, dia akan membawa kami mengembara ke tempat lebih jauh bagi menggembirakan hati saya dan ibu. Ayah akan memandu tanpa rasa penat bagi memastikan perjalanan kami selamat tiba.

Mungkin pada pendapat orang, untuk menjadi superhero memerlukan kuasa luar biasa, tapi pada saya ayah merupakan seorang superhero yang hebat. Kuasa ayah dalam menggembirakan saya dan ibu merupakan satu kuasa yang sangat tidak ternilai dan tidak mampu ditandingi oleh sekumpulan Avengers mahupun X-Men. Saya sangat sayangkan ayah saya.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: