Certot

Ayah,hebat!

Hasil nukilan Syifa’ Zulkifli 2 years agoSuperhero 9

           

“Jadi, kerja rumah hari ini, kamu semua perlu mencipta sebuah cerpen yang bertemakan Ayahku Superhero. Lusa, saya mahu tengok semua murid siap. Jika ada yang degil, murid itu akan didenda berdiri di atas kerusi dengan satu kaki sehingga tamat sesi pembelajaran. Faham, murid-murid?” Cikgu Fuzz Fairis yang amat digeruni oleh para pelajar itu menghabiskan sesi pembelajaran dengan memberi tugasan kepada murid-murid.

    “Faham, cikgu!” balas para pelajar. Ada yang menjawab, ada yang tidak. Beberapa orang murid lain kelihatan sudah kecut perut apabila ‘denda’ daripada seorang guru disiplin yang garang seperti harimau itu. Siapa yang berani melawan, bersedialah untuk diterkam dan dibaham oleh sang harimau.

*****

    Malam itu, Danish sekeluarga makan malam bersama-sama. Kebetulan ibunya, Puan Hamidah memasak lauk kegemaran Danish iaitu sotong goreng berempah dan ayam masak merah. Fuh! Sedap tak terkata sehingga tiga kali ditambahnya!

    Selesai makan, Danish masuk ke biliknya yang berada di tingkat atas rumah untuk membuat kerja rumah yang diberikan oleh Cikgu Fuzz Fairis.

    Kepalanya ligat berfikir, cerita apa yang mahu di tulis. Tiba-tiba kelihatan sebuah mentol bercahaya di atas kepalanya. Danish mendapat satu akal apabila teringatkan sebuah tragedi. Jari telunjuknya diletakkan di dagu menandakan yang Danish sedang mengingati sesuatu. Beberapa minit kemudian, tangannya mencapai sebatang pensel dan laju menulis sesuatu pada helaian kertas.

*****

    Encik Hamid ialah ayah kandungku. Beliau bekerja sebagai seorang pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Ibuku pula bernama Puan Hamidah. Beliau bekerja sebagai seorang guru di Tadika Maju Himmah. Aku mempunyai seorang adik perempuan yang bernama Dania.

    Semasa membesar, aku dibelai dengan kasih sayang daripada kedua-dua orang tuaku. Aku dididik dengan didikan yang sempurna. Syukurlah, kini aku juga sudah menjadi seorang anak yang berdisiplin dan pelajar yang bijak serta cemerlang.

    16 September yang lalu, keluargaku dan keluarga Encik Wu Yi Hoon, jiran sebelah rumahku, pergi berkelah bersama-sama di Air Terjun Belukar Bukit, Kuala Berang, Terengganu.

    Kami semua bertolak pada pukul 10.00 pagi. Dalam perjalanan, aku dan adikku berasa sangat teruja.

    Setelah tiba, kami mencari tempat yang sesuai. Ibuku dan Puan Suky menyediakan pelbagai bekal makanan yang dibawa dari rumah sementara kami bermandi-manda.

    Ketika leka bermain air, kami terdengar suara seorang wanita yang berusia lingkungan 40-an yang berada tidak jauh dari tempat kami berada sedang menjerit-jerit meminta tolong.

    Ayah yang kebetulan berada paling hampir dengan tempat kejadian, terus berlari ke arah wanita itu.

    “Puan, kenapa puan menjerit?” tanya ayah.

    “Encik, tolong anak saya. Dia hampir lemas!” wanita itu menjawab dengan nada cemas.

    Tanpa berlengah lagi, ayah terus terjun ke dalam air dan menuju ke arah seorang budak lelaki yang dimaksudkan.

    Ibuku dan Puan Suky terus berlari ke arah wanita itu untuk menenangkan dirinya yang sedang menangis. Encik Yi Hoon pula pergi meminta bantuan. Aku, Dania, dan anak-anak Puan Suky juga berada berhampiran.

    Ayah memaut badan budak lelaki itu dan membawanya naik ke darat. Namun, ia tidak mudah seperti yang dijangkakan. Arus air yang agak deras itu menyukarkan ayah naik.

    Dengan kudrat yang ada, ayah sedaya upaya berusaha untuk menaikkan budak itu ke darat. Akhirnya, ayah berjaya naik.

    Melihat keadaan budak lelaki itu yang tidak sedarkan diri, ayah membuat keputusan untuk memberikan bantuan pernafasan iaitu resusitasi kardiopulmonari (CPR).

    Beberapa minit kemudian, budak lelaki itu pun sedar. Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu bertepuk tangan tanda bangga atas keberanian ayahku.

    Aku juga berasa bangga dengan ayahku. Tindakannya yang berani itu telah menyelamatkan nyawa seorang budak lelaki. Ayahku bagaikan seorang superhero! 

    Ibu mangsa berasa sangat tergharu atas bantuan yang diberikan. Dia mengucapkan terima kasih kepada ayah kerana menyelamatkan anak lelakinya yang hampir lemas.

    Semenjak hari itu, ayah menyuruh aku dan adikku supaya mengamalkan sikap tolong-menolong walau di mana sahaja kami berada. Bukan sahaja ia dapat meringankan beban orang lain, bahkan kita dapat membuka mata orang lain tentang betapa pentingnya sikap tolong-menolong dalam seseorang. Malah, kita juga akan mendapat ganjaran pahala.

*****

    Dua hari telah berlalu. Hari yang dijanjikan telah pun tiba. Setelah habis waktu rehat, Danish dan kawan-kawannya bergegas ke kelas kerana waktu pembelajaran Bahasa Melayu hampir bermula.

    “Bangun, kelas! Selamat pagi, cikgu!”

    “Selamat pagi. Baiklah, murid-murid semua boleh duduk.” Apabila semua murid duduk, mereka membaca doa belajar pula.

    “Baiklah, murid-murid. Keluarkan kerja rumah yang saya berikan pada hari Isnin yang lalu. Letakkan di atas meja masing-masing.” Cikgu Fuzz Fairis memulakan sesi pembelajaran dengan memeriksa kerja rumah yang telah diberikan beberapa hari lalu.

    “Semua murid hendaklah membaca cerpen yang dicipta di hadapan kelas. Kita mulakan dari barisa tepi. Danish, silakan ke hadapan.”

    Dengan perasaan gementar. Danish melangkahkan kaki ke hadapan kelas. Kemudian, dia membacakan cerpennya itu. Setelah selesai, dengan tiba-tiba, Cikgu Fuzz Fairis bertepuk tangan. Murid-murid yang ternampak Cikgu Fuzz Fairis bertepuk tangan, juga melakukan perkara itu bersama-sama.

    “Bagus, Danish! Cerpen yang kamu cipta itu sangat menarik. Mari datang ke sini,” Cikgu Fuzz Fairis memuji karya Danish. Beliau mengeluarkan dompetnya dan memberikan sekeping duit bernilai RM 1 kepada Danish.

    Semua murid-murid berasa begitu cemburu dengan Danish. Alangkah bertuanya jika mereka juga mendapat wang itu. Bolehlah berbelanja sakan di kantin!

*****

    Danish pulang ke rumah dengan menaiki kereta yang dipandu oleh ayahnya. Ketika dalam perjalanan pulang, Danish menceritakan tentang dirinya dipuji oleh cikgu Fuzz Fairis. Encik Hamid tersenyum melihat anak lelakinya gembira apabila dipuji.

    Dia juga tersenyum apabila menyangkakan dirinya mampu berbuat sedemikian. Tanpa memikirkan risiko, dia dapat menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak yang hampir lemas. Sehingga kini, peristiwa itu tetap segar di ingatan walaupun sudah dua tahun berlalu.

Juga daripada penulis ini:

  • Afiq

Cerita lain: