Certot

Ayah…Haziq Minta Maaf

Hasil nukilan Elmy Irshada2 years agoSuperhero

“Sabar, Kamal! Mungkin sekejap lagi dia pulang,” pujuk Pak Cik Azlan sambil memandang Kamal yang kerisauan.

Kamal tidak senang duduk. Mana mungkin dia mampu bersabar. Haziq tidak pernah pulang ke rumah selewat ini.

Tiba-tiba terdengar bunyi kereta masuk ke perkarangan rumah kamal. Kamal terus menjenguk ke pintu. Dari kereta itu muncul Khairi dalam keadaan tergesa-gesa bersama Raziq.

“Assalamualaikum, boleh saya jumpa dengan ayah Haziq?” ujar Khairi.

“Waalaikumussalam! Ya, pak cik ini ayah Haziq. Haziq mana? Kamu berdua ini siapa?” soal kamal yang kelihatan semakin cemas.

“Kami kawan Haziq. Kami datang cuma ingin memberitahu pak cik yang Haziq sekarang berada di hospital,” Khairi berterus terang.

“Astagfirullahalazim! Kenapa?” Kamal kelihatan terkejut.

“Haziq kemalangan tadi, pak cik. Kalau pak cik hendak tengok dia, dia di hospital. Ayah saya boleh tolong bawakan,” kata Khairi sambil menunjuk ke arah bapanya yang berada di dalam kereta.

“Ya, ya! Pak cik ikut kamu!” kata Kamal yang kelihatan semakin risau.

*****

Sepanjang perjalanan ke hospital, Kamal hanya bertawakal dan berdoa agar tiada apa-apa yang berlaku terhadap anak sulungnya itu.

“Pak cik, sebelah sini!” Raziq memanggil Kamal apabila melihat lelaki itu berjalan laju tanpa mengetahui di mana katil yang menempatkan Haziq.

Pantas Kamal berpatah balik. Kemudian dia terus menuju ke katil yang ditunjukkan oleh Raziq dan Khairi. Tatkala itu, Kamal menekup mulutnya apabila melihat Haziq terbaring di atas katil. Haziq mulai sedar.

“Ayah..,.” sapa Haziq apabila melihat ayahnya dalam keadaan risau.

Tiba-tiba Haziq terpandang Aisyah di sebelah ayahnya.

“Aisyah! Adik along sudah balik?” jerit Haziq sambil memeluk adiknya itu.

“A… along!” panggil Aisyah lantas memeluk abangnya sambil menangis.

“Di mana ayah jumpa Aisyah?” soal Haziq.

“Polis datang ke rumah tadi hantar Aisyah,” ujar Kamal.

“Kenapa kepala Haziq berbalut? Haziq tidak ada apa-apa yang seriuskan?” soal Kamal dalam nada penuh kerisauan.

“Pak cik, Haziq tidak ada apa-apa yang serius. Dia cuma luka di kepala sahaja,” ujar Raziq sambil tersenyum memandang Kamal.

Perlahan-lahan Haziq memegang tangan ayahnya. Hatinya begitu sayu melihat ayahnya.

“Ayah, Haziq minta maaf. Semuanya salah Haziq. Selama ini, Haziq sangka ayah lebih sayangkan Aisyah daripada Haziq. Rupa-rupanya Haziq silap, ayah. Haziq menyesal. Sekarang Haziq sedar yang ayah tidak pernah melebih-lebihkan sesiapa,” kata Haziq sambil air matanya mula bergenang.

Kamal terdiam. Kata-kata Haziq membuatkan dia terharu.

“Ayah sayang anak-anak ayah. Dua-dua penting bagi ayah. Jangan buat ayah risau lagi ya. Ayah tidak mahu kehilangan kamu sepertimana ayah kehilangan ibu,” kata Kamal sambil menangis.

Along minta maaf sebab tinggalkan Aisyah sendirian di rumah. Haziq janji lepas ini Haziq akan jadi abang yang baik,” kata Haziq.

Mereka bertiga berpelukan antara satu sama lain sambil menangis gembira. Haziq amat bersyukur kerana mereka telah disatukan semula.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: