Certot

Aqira Tahu Ayah Akan Datang

Hasil nukilan Princess AK 2 years agoSuperhero 6

           

“Assalamualaikum, ayah.” Aqira menahan dirinya daripada menangis.

“Waalaikummussalam. Ya Allah, Aqira! Kamu di mana sayang? Sudah dua hari ayah mencari kamu.” Suara Encik Raziman kedengaran di hujung talian.

“Ayah, Aqira diculik.” Air matanya yang sejak tadi ditahan kini menitis di pipinya.

“Apa? Diculik? Di mana? Kamu sekarang berada di mana? Kamu tidak apa-apakah? Bagaimana kamu dapat menghubungi ayah? Mengapa dia culik kamu?” tanya Encik Raziman bertalu-talu.

“Aqira diculik ketika pulang dari sekolah. Aqira tidak apa-apa. Aqira curi telefon bimbit penculik itu. Aqira terdengar perbualannya, dia kata dia mahu jual Aqira ke Thailand. Ayah tolong Aqira, ayah! Aqira takut!” Tangisan Aqira semakin menjadi-jadi.

“Aqira, tenangkan diri kamu. Sekarang ayah di balai polis. Semalam ayah sudah buat laporan. Sekarang pihak polis sedang mendengar perbualan kita. Terangkan satu per satu.”

“Ketika itu, Aqira berjalan pulang ke rumah. Tiba-tiba satu van putih muncul di hadapan Aqira. Mereka tarik Aqira masuk ke dalam van itu. Mulut Aqira ditekup dengan kain. Kemudian….” Aqira menangis lagi.

“Semasa sampai di rumah ini tadi, mereka kata Aqira di Changlun, Kedah. Mereka mahu jual Aqira, ayah! Tolonglah Aqira!” Aqira menggigil ketakutan.

“Ayah akan ke sana secepat mungkin. Cuba lengah-lengahkan mereka,” arah Encik Raziman.

“Cepat ayah, cepat. Ah! Ah! Ayah! Tolong! Tolong! Lepaskan aku! Lepaskan!” 

Encik Raziman bangun dari tempat duduknya.

“Aqira! Aqira! Hei penculik! Jangan kau berani apa-apakan anak aku! Aqira! Lepaskan dia! Aqira! Jawab! Aqira? Aqira?” Talian diputuskan. Encik Raziman terduduk.

“Encik, tolong selamatkan anak saya, encik. Tolonglah encik!” Encik Raziman merayu kepada pegawai polis itu.

“Kami akan usahakan pencarian secepat mungkin. Lokasi panggilan dibuat sudah dapat dikenal pasti. Encik pulanglah dahulu. Petang nanti kami akan bergerak ke sana. Beberapa pegawai polis di sana sudah menanti.” Pegawai polis itu menenangkan Encik Raziman.

“Boleh saya ikut?” Encik Raziman bertanya dengan penuh pengharapan di wajahnya.

“Maaf encik, tetapi….”

“Ini soal hidup dan mati anak saya, encik! Bukan main-main! Saya juga tahu mempertahankan diri!” Amarah Encik Raziman meletus jua.

“Baiklah encik, sila bertenang. Encik pulang dahulu, saya akan hubungi encik dengan kadar segera jika encik dibenarkan ke sana.”

“Terima kasih, encik.” Encik Raziman pulang ke rumah dengan wajah sugul. Dia merebahkan diri ke atas katil.

“Elyana, abang minta maaf sebab tak jaga Aqira elok-elok. Abang minta maaf.” Encik Raziman menangis teresak-esak. Dia sudah penat berlakon. Dia juga tahu sedih. Dia tidak kuat.

“Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini. Jagalah anakku Ya Allah. Sesungguhnya dia satu-satunya puteri hatiku, Ya Allah.” Encik Raziman meraup wajahnya.

“Aqira, tunggu ayah datang. Ayah akan pergi selamatkan Aqira. Tunggu ya sayang.”

*****

“Hei budak! Kau telefon siapa tadi?” Aqira diam ketika penculik itu menunjal kepalanya berulang kali.

“Eh, kau dengar ataupun tidak?  Kau telefon siapa tadi?” tanya penculik itu lagi.

“Saya telefon ayah.” Perlahan saja Aqira menjawab.

“Ayah? Hahaha!” Lelaki itu ketawa berdekah-dekah.

“Layakkah dia jadi ayah, kalau kau kena culik pun dia tak tahu? Layakkah dia jadi ayah kalau dia tak selamatkan kau? Layak? Aku rasa ayah kau tak sayang kaulah.” Lelaki itu tersenyum sinis melihat Aqira yang menahan tangisannya.

“Kau jahat! Ayah aku akan datang! Ayah aku takkan biarkan aku dalam jagaan kau yang busuk hati,” Aqira menjerit di hadapan lelaki itu.

“Apa-apa sajalah budak. Baik aku ikat kau kembali. Aku baru ke tandas sekejap kau dah buat fasal ya!” Lelaki itu mengheret Aqira dan mengikatnya di kerusi.

“Tunggulah ayah kau datang sampai mereput ya?” Lelaki itu ketawa tanpa henti. Sudah seperti bunyi hantu mengilai pula.

“Ayah, selamatkan Aqira, ayah. Lelaki itu jahat. Dia hina ayah. Dia ikat Aqira. Aqira takut. Aqira benci dia ayah.” Dia menangis teresak-esak.

*****

“Ya saya?”

“Oh, baiklah saya akan bersiap sekarang.” Encik Raziman meletak panggilan itu dan bergegas turun ke bawah.

Sebuah kereta dan trak polis kelihatan. Dia memasuki kereta tersebut sebelum kereta itu meluncur laju di jalan raya, menuju ke Changlun, Kedah.

“Encik, jauh lagikah tempatnya?” tanya Encik Raziman.

“Setengah jam sahaja lagi kita akan tiba di sana. Sabarlah encik. Changlun itu jauh dari Kuala Lumpur.” Pegawai polis itu menepuk bahu Encik Raziman.

Dia mengeluh. ‘Aqira, tunggu ayah datang. Bertahanlah sayang. Ayah akan tiba tak lama lagi.’

*****

“Hoi Luqman!” panggil lelaki yang berbadan tegap itu.

“Ya tuan?” sahut lelaki yang berkepala botak itu.

“Dalam masa tiga jam lagi, pelanggan kita dari Thailand itu akan tiba. Kau pastikan budak itu dalam keadaaan baik. Faham?” Luqman angguk tanda faham.

Tiba-tiba rumah itu dipecah masuk. “Kami polis, serahkan diri kamu! Rumah ini sudah dikepung!”

“Apa? Lari! Lari! Lari!” Dua lelaki itu berlari keluar melalui pintu belakang.

“Helo, penculik.” Mereka terkejut apabila melihat seorang lelaki di pintu belakang itu.

“Aku ayah Aqira. Selamat berkenalan.”

Satu tumbukan hinggap di perut mereka. Encik Raziman memijak kaki mereka sebelum dihadiahkan satu sepakan di kepala. Kedua-dua penculik itu rebah di atas lantai.

Encik Raziman merempuh masuk ke dalam rumah terbiar itu. Kelibat Aqira dicari.

“Aqira!” Tubuh badan Aqira yang lemah itu dirangkul ke dalam pelukannya.

“Ayah….” Aqira cuma tersenyum kerana dia tidak dapat bergerak.

Tali yang mengikat tubuh kecil Aqira dileraikan. Aqira memeluk ayahnya. “Aqira tahu, ayah akan selamatkan Aqira. Penculik tu tipu saja.” Dia menangis teresak-esak.

“Dia tipu Aqira. Kamu puteri hati ayah, takkan ayah tak selamatkan? Ayah sayang kamu.” Pipi Aqira dicium bertalu-talu.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: