Certot

Apa kata Mama

Hasil nukilan M.S. Jieya 1 year agoKembara 511

Pada 18 Mac tahun 2004, saya dan kembar saya Luqman dilahirkan.  Kehidupan di rumah saya sangat seronok.  Keseronokan bertambah apabila adik perempuan saya, Nadia dilahirkan pada 16 Julai 2009.  Nadia dilahirkan di Lanzhou, di Tanah Besar China kerana pada masa itu mama menziarahi keluarganya di sana.  Mama memang berasal dari China dan beragama Islam sejak lahir lagi.

Apabila saya dan kembar saya berumur tujuh tahun, kami dimasukkan ke Sekolah Rendah Islam Al-Amin Gombak.  Papa semasa itu bertugas di Universiti Islam Antarabangsa.  Saya suka sekolah di sana.  Mama yang selalu menghantar dan menjemput kami dari sekolah.  Pada 18 Mac 2011, hari jadi saya dan kembar saya yang ketujuh telah tiba.  Semua orang gembira, tetapi mama yang paling gembira.  Mama sibuk menyediakan hadiah untuk diberi kepada tetamu.  Majlis hari jadi kami diadakan di rumah atuk dan opah kami di Kelana Jaya.

Pada setiap hari Rabu, ada pasar malam di luar pintu pagar sekolah.  Mama mahu mencuba laksa yang dijual di sana.  Setelah dia makan laksa itu, kulit mama menjadi merah dan muka mama membengkak.  Saya mula berasa ada sesuatu yang tidak kena, tetapi mama terus membuat kerja-kerja rumah seperti biasa.

Pada malam 25 Mac 2011, saya terjaga daripada tidur.  Saya keluar dari bilik dan nampak mama sedang menyidai kain di anjung rumah.  Mama menyuruh saya baring di sofa sementara menunggu dia menghabiskan kerjanya.  Kemudian, mama duduk di sebelah saya lalu berkata sesuatu.  Tetapi, saya tidak berapa faham apa yang dikatakannya pada masa itu.  Jam menunjukkan pukul 11.00 malam.  Mama menyuruh saya masuk ke bilik.  Sebelum saya tidur, mama mengatakan sesuatu yang agak aneh.  Dia berkata goodbye dan tsai xien (selamat tinggal dalam bahasa Mandarin).

Keesokan harinya, pada 26 Mac 2011, saya terjaga daripada tidur pada pukul 7.30 pagi. Saya bangun dengan gembira kerana hari Sabtu biasanya kami sekeluarga akan merancang sesuatu bersama.  Tetapi, apa yang saya nampak selepas keluar dari bilik ialah suasana yang berlainan.  Rumah saya dipenuhi ramai orang.  Atuk, opah, dan ramai ahli keluarga ada di rumah.  Perlahan-lahan atuk berkata yang mama sudah meninggal pada pukul 1.30 pagi tadi. Mama meninggal sembilan hari selepas hari jadi saya dan ianya hadiah hari jadi yang paling menyedihkan.  Kata opah, Allah lebih menyayangi Mama.

Kini, sudah empat tahun Mama meninggalkan kami.  Kehidupan kami sekeluarga seakan-akan tidak lengkap.  Tetapi, kami ada papa dan ahli-ahli keluarga yang lain yang sentiasa berada bersama kami.  Sekarang kami tinggal bersama atuk dan opah di Kelana Jaya dan bersekolah di sini.  Saya bercita-cita untuk menjadi seorang pengarah filem animasi.  Mama saya mahu saya berjaya. Jadi saya akan pastikan yang imaginasi dan cita-cita saya tercapai. Saya langsung tidak ingat apa yang dikatakan oleh mama. Tetapi saya tahu, hati saya dan mama tiada bezanya. Jadi saya hanya meneka apa yang hati saya akan katakan jikalau saya berada di tempat mama. 

 “A good life is always there. You just have to be brave and smart enough.”  Kadangkala, apabila saya teringatkan mama atau berhadapan masalah, saya akan mengingatkan kembali apa kata Mama.


Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: