Certot

Anak Patung Lya

Hasil nukilan Tiya 2 years agoSuperhero

“Ibu! Ibu! Lya mahu anak patung itu,” kata Lya. Tangannya menunjuk ke arah anak patung beruang berwarna coklat terang yang boleh bercakap.

Patung itu berharga RM80. Sangat mahal bagi mereka yang sekadar pengutip sampah. Puan Indah tidak membalas apa-apa. Tiba-tiba seorang gadis sebaya Lya berkata, “Budak miskin ada hati mahu beli barang mahal.” Gadis yang bernama Qistina itu tersenyum sinis.

Qistina dilahirkan dalam keluarga yang kaya raya. Ayahnya, Encik Ismail pemilik syarikat musik terkenal seluruh dunia.

Mendengar kata-kata Qistina membuatkan hati Puan Indah sedih. “Lya, mari balik,” ajak Puan Indah. 

Mereka pun pulang ke teratak buruk dan usang milik mereka. Teratak itu tiada bilik mahupun dapur. Ia lebih layak dipanggil pondok.

*****

Malam itu Puan Indah tidak lena tidur. Fikirannya menerawang pada kejadian siang tadi, juga pada permintaan Lya.

‘Aku mesti dapatkan apa yang Lya mahu. Tidak pernah dia dapat barang yang dia mahukan,’ kata hati Puan Indah. Sejak itu, Puan Indah berkerja lebih kuat.

Tidak kira siang, malam, petang, mahupun pagi. Suatu hari, Puan Indah jatuh pengsan ketika bersama Lya. Mujurlah mereka di kawasan umum. Puan Indah dimasukkan ke dalam Hospital Kuala Lumpur.

Lya menunggu dengan sabarnya. Dia ditemani oleh suami isteri dan anak mereka yang berumur lima tahun, iaitu Encik Ramli, Puan Intan, dan Rayyan kanak-kanak lima tahun yang keletah.

Merekalah yang membantu Lya sebentar tadi. Tiba-tiba seorang doktor lelaki keluar dari bilik tersebut. “Keluarga Indah Dahlia?” tanya doktor yang bernama Hafiz itu.

Lya segera bangun. Doktor Hafiz menerangkan penyakit Puan Indah kepada Lya. “Terukkah sakit ibu saya, doktor?” tanya Lya. 

“Sakit ibu awak ini boleh menyebabkan kecacatan mata atau lebih teruk lagi membawa maut,” terang doktor itu.

“Tiada sesuatukh yang boleh doktor buat?” tanya Lya penuh kerisauan. 

“Kami boleh menjalankan  pembedahan ke atas beliau. Tetapi peluang hanyalah 50-50,” kata Doktor Hafiz.

“Tetapi kosnya berapa?” tanya Lya lagi. 

“RM 8000,” jawab Doktor Hafiz, ringkas. Mendengarkan jawapan tersebut membuatkan Lya putus semangat.

Mana tidaknya, anak patung yang harganya RM80 pun mereka tidak mampu, inikan pula kos pembedahan yang berharga RM8000.

“Oh, jika begitu saya akan maklumkan nanti,” Lya berkata sambil tersenyum tawar. 

“Sila beritahu saya segera kerana jika tumor itu sudah merebak, ia juga boleh membawa maut,” kata Doktor Hafiz kemudian segera pergi dari situ.

Keluarga Encik Ramli segera berjalan ke arah Lya yang berdiri seperti patung bernyawa lantas mengajaknya duduk. 

“Bagaimana Lya?” Puan Intan memulakan bicara.

Lya pun menceritakan tentang penyakit ibunya, juga kos pembedahan itu. 

“RM8000?” tanya Puan Intan dengan lembut. 

“Rasanya  kami boleh tolong jika kosnya RM8000,” ujar Puan Intan.

“Tetapi saya tidak mahu menyusahkan auntie. Nanti, mana saya mahu bayar lagi,” jawab Lya dengan sedih.

“Tidak susah pun. Dan lagi satu, kamu tidak perlu bayar pun tidak mengapa. Kami ikhlas,“kata Puan Intan penuh keikhlasan.

Lya kini tersenyum sambil mengucapkan terima kasih. Sungguh dia sangat bersyukur kepada Tuhan.

“Malam ini, Lya balik ke rumah?” tanya Encik Ramli.

Lya mengangguk. 

“Lya tinggallah di rumah kami dahulu sementara ibu Lya di sini,” pelawa Puan Intan. Sekali lagi Lya mengucap terima kasih banyak-banyak.

*****

Sungguh Lya sangat berterima kasih kepada keluarga Encik Ramli. Rupa-rupanya Encik Ramli keluarga berada. Encik Ramli merupakan seorang usahawan yang berjaya.

Lya memasuki rumah agam milik keluarga Encik Ramli. Lya terpegun apabila memasuki rumah agam tersebut. Dekorasinya sangat cantik. Ringkas dan moden. Campuran warnanya juga cantik.

“Lya, mari ikut auntie. Auntie tunjukkan bilik,” kata Puan Intan. 

“Baiklah auntie,” kata Lya dengan senyuman.

Mereka pun menuju ke tingkat atas.

*****

Esoknya.

“Doktor, kami setuju dengan pembedahan tersebut,” kata Lya. 

“Baiklah. Nanti saya akan maklumkan tarikhnya,” balas Doktor Hafiz.

“Terima kasih, doktor,” ucap Encik Ramli. 

“Sama-sama,” balas Doktor Hafiz. 

“Ibu, ibu kuat ya. Nanti masa pembedahan ibu kuat ya. Lya sentiasa ada dengan ibu,” ucap Lya.

*****

Hari pembedahan mula menjelma. Puan Indah sudah masuk ke dalam bilik pembedahan. Lya dan keluarga Encik Ramli menunggu dengan gelisah.

Pembedahan tersebut berjalan selama 12 jam. Ia kerana oembedahan itu sangat serius.

*****

Doktor Hafiz keluar dari bilik pembedahan. Serentak dengan itu Lya dan keluarga Encik Ramli segera bangun. 

“Pembedahan tidak berjalan begitu lancar. Puan Indah tidak akan sedar selama beberapa minggu atau hari. Jadi semuanya akan ditentukan pada hari Puan Indah sedar,” jelas Doktor Hafiz.

Lya hampir pengsan mendengar pernyataan itu. 

“Terima kasih, doktor,” ujar Encik Ramli. 

“Bawa bersabar, Lya,” ucap Puan Intan.

*****

“Ibu!” jerit Lya apabila Puan Indah tersedar. Encik Ramli pula segera memanggil doktor. 

“Lya?” kata Puan Indah. 

“Lya di mana? Mengapa semuanya nampak gelap?” kata kata Puan Indah membuatkan Lya terperanjat.

“I… ibu tidak nampak?” tanya Lya. 

Tiba-tiba, kelihatan Puan Indah sesak nafas. Doktor Hafiz yang baru sampai pula tidak berbuat apa apa.

“Ibu! Jangan tinggalkan Lya! Doktor buatlah apa-apa!” kata Lya. Air mata turun deras. 

“Minta maaf cik, saya tidak boleh. Puan Indah sudah menandatangani kontrak supaya tidak menyelamatkannya,” jelas Doktor Hafiz.

“Lya, tengok di bawah katil ibu,” arah Puan Indah. Lantas, Lya melihatnya. Kelihatan terdapat sebuah kotak. Lantas Lya membukanya.

Terdapat sebuah anak patung beruang yang comel. Ya, patung yang Lya mahukan! 

“Lya, ini sahaja yang mampu ibu beri sepanjang ibu hidup. Ibu mahu Lya tahu ibu sayang sangatkan Lya,” ucap Puan Indah.

Dan itulah kata-kata terakhir Puan Indah. “Ibu! Janganlah tinggalkan Lya sendiri! Lya sayang ibu…,“u jar Lya. Air matanya mengalir lebih deras lagi.

“Masa kematian, 3.08 petang,” ujar Doktor Hafiz. 

Lya memandang sayu anak patung beruang itu.Lantas menekan lembut perut beruang itu untuk mendengar sebarang rakaman suara.

“Lya, ini sahaja yang ibu mampu beli untuk Lya. Ibu mahu Lya hidup bahagia walaupun ibu sudah tiada. Maafkan ibu. Ibu sayangkan Lya.” Rakaman suara itu tamat. Air mata Lya mengalir lagi.

****

“Lya tinggal di mana selepas ini?” tanya Puan Intan lembut. Upacara pengebumian baru sahaja selesai. Mereka baru meninggalkan kawasan perkuburan.

“Mana-mana sahaja,” ujar Lya sayu. 

“Sebenarnya, kami rancang jadikan Lya sebagai anak angkat. Lya setuju?” tanya Puan Intan lembut.

Akhirnya, Lya menjadi anak angkat kepada Encik Ramli dan Puan Intan.R akaman suara Puan Indah tidak padam hingga kini. Lya juga berkali-kali mendengarnya.

Kini, Lya hidup bahagia dan mewah. Dia bersyukur pada Tuhan. Namun, hakikatnya Lya lebih rela hidup seperti dahulu, pengutip sampah, tinggal di pondok bersama ibu kandung yang pengasih dan penyayang.B erbanding hidup mewah, tidak perlu bersusah payah dan tinggal di rumah agam yang besar.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: