Certot

Aku Istimewa

Hasil nukilan Nurul Hazirah 2 years agoSukan 41

“Selamat pagi, kelas,” ucap Cikgu Amber kepada pelajar kelas 5 Citra. 

“Selamat pagi, cikgu,” balas pelajar kelas tersebut. 

“Hari ini, saya nak memperkenalkan seorang pelajar baru,” beritahu Cikgu Amber lalu keluar kelas untuk mendapatkan pelajar baru tersebut. 

Selang beberapa minit, Cikgu Amber masuk dengan seorang pelajar lelaki yang tiada kedua-dua belah tangan dan memakai kaki palsu.

“Kenalkan, namanya Fawwaz,” kata Cikgu Amber.

Fawwaz mengangguk dan tersenyum. Dia terus mendapatkan tempat duduknya di belakang. 

*****

Selepas masa Cikgu Amber tamat, Daniel dan Arif menghampiri Fawwaz. 

“Hai, selamat datang,” tegur Daniel. 

“Terima kasih,” balas Fawwaz. 

“Awak tinggal di mana? Kalau tidak keberatan, boleh kami datang ke rumah awak?” tanya Arif.

“Semestinya boleh. Saya amat mengalu-alukan kedatangan kalian,” jawab Fawwaz dengan teruja. 

“Okey. Tunggu kami di rumah awak,” kata Daniel sebelum berlalu pergi.

*****

Petang seperti yang dijanjikan, Daniel dan Arif ke rumah Fawwaz. Mereka disambut oleh Fawwaz dan ibunya, Puan Siti. Mereka terus masuk ke dalam bilik Fawwaz. 

“Ketika saya kecil, saya telah terlibat dalam satu kemalangan dahsyat. Kedua-dua tangan dan kaki saya hancur. Sebab itu saya menggunakan anggota palsu dalam kehidupan saya. Saya selalu berpindah sekolah kerana tiada siapa ingin berkawan dengan saya. Tetapi, saya bersyukur kerana keluarga saya sentiasa bersama saya,” cerita Fawwaz, sedih. 

Daniel dan Arif tersentuh mendengar cerita Fawwaz. Mereka terus menukar topik agar tidak membuatkan Fawwaz sedih.

“Wah, banyaknya cenderahati bola sepak dari pelbagai negara! Pasti awak ini peminat sukan bola sepak,” puji Daniel, membelek cenderahati tersebut. 

“Itu pemberian daripada saudara mara saya. Saya pandai bermain bola sepak walaupun dalam keadaan sebegini. Tetapi, mana ada pasukan yang hendak mengambil saya sebagai pemain,” ujar Fawwaz, sedikit sendu. 

Daniel dan Arif memahami perasaannya. Setelah berkenalan dengan keluarga Fawwaz, mereka meminta izin untuk pulang ke rumah. Fawwaz mengucapkan terima kasih kepada mereka.

*****

Keesokan harinya, Cikgu Shahir mencari pelapis pemain bola sepak sekolah. Beliau membahagikan pelajar kepada dua pasukan. Fawwaz yakin bahawa dirinya boleh beraksi seperti orang normal. Iskandar memandang sinis dengan kebolehan Fawwaz. 

Setelah beberapa minit perlawanan berlangsung, pasukan Fawwaz menang besar. Cikgu Shahir mendekati Fawwaz. 

“Saya kagum dan bangga dengan semangat kamu. Selamat datang ke pasukan bola sepak sekolah,” ujar Cikgu Shahir.

“Terima kasih, cikgu! Saya akan minta izin ibu saya dahulu,” sambung Fawwaz. 

Iskandar mulai bersuara, “Fawwaz, selamat berjaya ya! Tahniah saya ucapkan.” 

Mulai dari hari itu, Fawwaz sentiasa berasa bahagia. Kekurangan dirinya merupakan pendorong untuk dia mencapai kejayaan berharga. Sesungguhnya, dia mempunyai semangat juang dan jiwa yang besar. 

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: