Certot

Aku Inginkan….

Hasil nukilan Arissa Homura 3 years agoSukan 291

Namaku Erdina Azwara dan berumur 14 tahun. Aku lebih selesa dipanggil Dina sama ada di rumah atau di mana-mana. Kini, aku meneruskan kehidupan bersama ibu dan abang sahaja. Bapaku sudah pergi meninggalkan kami dua tahun yang lalu kerana lemas di sungai sewaktu melarikan diri daripada penduduk kampung. Ketika itu, ramai penduduk kampung mengejarnya kerana dituduh membunuh Imam Abu Bakar. Setelah mendengar khabar angin tersebut, kami berasa amat sedih. Memang mustahil bapa yang aku sayangi melakukan perkara begitu! 

Setiap hari, aku dan abang akan ke sekolah dengan berjalan kaki. Kami sanggup meredah hujan atau panas terik demi mencapai kejayaan yang diingini. Teruknya keadaan diejek sekalipun, aku tidak pedulikannya. Dalam hati tersisip pesanan daripada ibu tercinta, jangan pedulikan kata-kata atau pandangan negatif seseorang kerana suatu hari nanti, Allah mampu membalasnya.

Aku mempunyai cita-cita dan keinginan, iaitu menjadi seorang atlet sukan. Aku amat meminati dan aktif dalam bidang sukan. Tidak kira apa-apa sukan sekalipun, aku tetap menyertai. Setiap tahun, sekolahku akan mengadakan Hari Sukan Tahunan di sekolah. 

Akan tetapi, ibu melarang aku untuk meneruskan minatku yang mendalam ini. Bagi ibu, aku lebih mementingkan sukan berbanding pelajaran. Perkara ini amat merisaukannya. Padahal kata-kata ibu itu tidak benar. Namun begitu, dia sering menjadikan keputusan peperiksaanku sebagai bukti bahawa aku tidak mementingkan pelajaran. Perkara ini membuatkan aku semakin tertekan dan keliru sama ada memilih sukan atau pelajaran. Sebagai seorang anak, aku terpaksa mendengar kata-katanya.

*****

Pada suatu hari di sekolah, aku dipanggil untuk berjumpa Cikgu Zaizul di bilik guru. Cikgu Zaizul merupakan seorang guru matapelajaran sukan yang popular di sekolah. 

Sewaktu tiba di meja beliau, aku disambut dengan senyuman. Tujuan beliau memanggilku ialah untuk bertanyakan persetujuan menyertai pertandingan Badminton Peringkat Antarabangsa. Namun begitu, aku hanya menunduk. Betapa ruginya aku kerana tidak dapat turut serta dalam pertandingan tersebut. Akhirnya, aku menolak pelawaan beliau. Cikgu Zaizul terkejut dengan keputusanku. Aku menceritakan segalanya kepada beliau. Kemudian, beliau mengangguk faham.

Aku berasa amat kecewa kerana tidak dapat menunjukkan bakat dalam pertandingan tersebut. Perkara ini sering bermain dalam fikiranku sehingga memakan diri sendiri. Aku termenung sendiri di dalam bilik selama seminggu tanpa makan, mandi, dan menonton televisyen serta tidak ke sekolah. Sehinggalah….

“Dina! Keluarlah dari bilik. Sudah seminggu kamu tidak makan, hanya minum susu sahaja. Seperti orang tidak betul!” ibu menjerit dari belakang pintu.

Aku biarkan kata-katanya tidak bersahut.

“Dina, kalau kamu mahu menyertai apa-apa pertandingan sukan, kamu sertailah. Jika itu membuatkan hati kamu senang.”

Aku terus keluar dari bilik lalu bersorak keriangan. Mulut tidak berhenti mengucapkan syukur dan terima kasih kepada ibu. Abang juga turut puas dengan keputusan ibu.

*****

Akhirnya, aku berjaya menyertai pertandingan Badminton Peringkat Antarabangsa yang diadakan pada 31 Julai di Ipoh. Aku berlatih dengan bersungguh-sungguh tanpa lelah. Tiba masa yang dinanti-nantikan, aku bertanding dengan sepenuh perhatian. Bakat yang ada di dada ditonjolkan habis-habisan. Alhamdulillah, aku berjaya merangkul juara untuk pertandingan itu. Cikgu Zaizul amat berbangga denganku kerana dapat mengharumkan nama sekolah.

Kejayaan ini amat berharga buatku serta keluarga. Setelah mendengar berita gembira ini, ibu mengerti tentang keinginan dan minatku selama ini. Rakan-rakan di sekolah pula berhenti mengejekku. Aku juga berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh demi keluarga. Insya-Allah.

*****

Pada suatu malam, sewaktu dibuai lena aku termimpi. Dalam mimpiku kelihatan wajah bapa terpancul dengan senyuman. Aku pula tercengang dengan kehadirannya. Kemudian, dia mengeluarkan kata-kata semangat bagiku iaitu, jangan jadikan dugaan sebagai penghalang untuk kita terus ke hadapan. Keiinginan yang kita ada jangan disia-siakan jika ia memberi faedah. 

Kata-kata bapa disimpan dalam hatiku, agar ia terus segar dalam ingatan sehingga akhir hayat. Aku inginkan, agar sukan menjadi ikutan pada remaja zaman kini.  


Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: