Certot

Akibat Suka Meniru dan Membuli

Hasil nukilan Nana Hanis 2 years agoFiksyen

Nur Maisarah Amnah dan kawan baiknya, Nurin Safiyah berjalan beriringan ke kelas. Banyak mata yang memandang mereka secara curi-curi. Maklumlah, mereka adalah sahabat rapat dan sangat cemerlang dalam pelajaran. 

Tiba-tiba, langkah mereka dihalang oleh seseorang yang membenci mereka. Di samping budak perempuan itu, terdapat beberapa orang pengikut setia yang juga membenci mereka. Nur tidak terkesan dengan tindakan mereka dan menarik tangan Nurin ke tempat lain. Dengan segera, tangan panjang milik Qisha memberhentikan mereka. 

“Apa yang awak mahu? Qisha, hentikan!” kata Nur. Matanya memandang tepat ke arah mata Qisha. Terbukti, beberapa makian lagi bakal membuat amarahnya meletup. Namun, dia selalu melembutkan hatinya dengan berkata bahawa sabar itu adalah separuh daripada iman. 

“Tidak! Aku tidak akan berhenti selagi kau dan kawan kau ini berjaya. Kalau kau tidak bagi aku tiru peperiksaan nanti, siap kau!” kata Qisha lalu berlalu pergi. 

“Nur, jangan ikut cakap dia! Kalau kita tertangkap, pihak sekolah akan menyalahkan kita,” pesan Nurin. Kata-katanya jelas terbukti bahawa dia mempunyai perasaan bimbang yang terbuku dalam hati.

*****

“Psst… psst… Nur, apa jawapan muka surat 8 soalan 29?” soal Qisha dengan berhati-hati. 

Nur masih kaku menghadap kertasnya. Langsung tidak mahu memberi peluang bagi Qisha untuk meniru. 

“Nur!” kata Qisha. Suaranya masih perlahan, tetapi kedengaran tegas. 

“Awak fikirlah sendiri!” Akhirnya, Nur bersuara selepas beberapa kali mendengar kemarahan Qisha. 

“Berani kau? Siap kau!” marah Qisha. 

Nurin sejak tadi hanya mendengar perbualan yang langsung tidak mesra antara Qisha dan Nur. Dia tahu, sesuatu yang buruk bakal berlaku. 

******

“Berani kau buat aku macam tu, ya!” marah Qisha sambil menolak badan Nur. 

“Kau mahu aku tumbuk kau sekarang?” marah Qisha lagi. 

Tanpa sebarang 1arangan, satu penumbuk sampai ke perut Nur. Nur mengerang kesakitan. Selepas itu, Qisha menendang pula Nur sehingga Nur terjatuh. 

Nurin memerhati dari jauh. Dia harus berbuat sesuatu! Sekiranya tidak, sahabatnya akan cedera parah akibat menjadi mangsa buli si Aliah Aqisha binti Tan Sri Khairul, anak pengerusi PIBG sekolah mereka. 

“Cikgu!” Nurin tercungap-cungap setelah berlari mendapatkan Cikgu Mia. 

“Oh, Nurin. Apa saya boleh bantu?” soal Cikgu Mia yang merupakan guru disiplin sekolah mereka. 

“Cikgu… Nur… Dia kena buli, cikgu! Dia kena buli oleh Qisha, cikgu! Cepat ikut saya!” kata Nurin. 

Dengan tergesa-gesa, Cikgu Mia berlari-lari anak mengikut langkah Nurin. Sampai di tempat kejadian, mereka berdua melihat aksi tendang-menendang dan tumbuk-menumbuk oleh Qisha. Nur terbaring di tepi tidak bermaya. Tidak mampu menahan apatah lagi melawan. 

“Aliah Aqisha! Ikut saya ke bilik pengetua sekarang!” marah Cikgu Mia. 

Qisha dengan penuh keterpaksaan, mengikut langkah guru itu. Nurin mengalirkan air mata tatkala melihat rakannya yang cedera. Sah! Nur pengsan.

******

Hati Qisha berdebar tatkala melihat wajah kedua-dua ibu bapanya muncul di dalam bilik pengetua.  

“Encik Khairul, Puan Kamariah, dipersilakan duduk,” kata Puan Hamidah. “Saya mahu melaporkan tentang kesalahan yang anak puan dan encik telah lakukan.” Puan Hamidah berhenti sebentar sebelum meneruskan perbincangan mereka. 

Kesalahan pertama ialah dia meniru dalam peperiksaan. Kesalahan kedua pula ialah dia membuli rakannya iaitu Nur Maisarah Amnah kerana tidak memberinya meniru. Kini, dia berada di dalam bilik sakit sekolah. Pihak sekolah tidak mahu mengambil apa-apa tindakan kerana ia merupakan kesalahan buat kali pertama. Aqisha mempunyai rekod yang baik dalam pelajaran dan adabnya. Saya tidak percaya Aqisha akan berbuat begitu. Harap puan dan encik dapat berbuat sesuatu tentang dirinya,” jelas Puan Hamidah panjang lebar. 

Tan Sri Khairul memandang anak tunggalnya dengan jelingan setajam pisau. Dia langsung tidak sangka bahawa anak daranya yang dilayan bagai menatang minyak yang penuh sanggup berbuat begitu. Dia akan menjatuhkan hukuman yang paling berat buatnya.

*****

 Suasana di dalam kereta Tan Sri Khairul sunyi sepi tanpa bicara. Mereka hanya ditemani  oleh dendangan lagu radio. Dia tahu yang dia bakal dimarahi oleh ibu bapanya. Sesampainya di rumah, Tan Sri Khairul menghempas pintu dengan kuat. 

“Aliah Aqisha! Papa akan sekat duit belanja kamu bulan ini! Papa akan rampas telefon bimbit kamu! Papa juga akan sembunyikan kunci kereta mini cooper kamu itu! Esok, minta maaf kepada Nur. Kalau kamu tidak mahu, papa akan kurung kamu di dalam bilik. Hanya keluar sewaktu pergi ke sekolah dan makan. Berani kamu meniru? Kamu tahu tidak betapa hancurnya hati papa? Papa dan mama tidak ajar kamu buat begini!” tengking Tan Sri Khairul. 

Mamanya, Puan Sri Kamariah juga tidak mahu membela anaknya. Hatinya begitu sedih. Hatinya begitu luluh. Qisha sedar kesalahan yang dilakukan olehnya. Dia berjanji tidak akan lakukannya lagi.

*****

Keesokan harinya, pagi-pagi lagi Qisha sudah meminta maaf kepada Nur. Mereka menjadi semakin rapat. Akhirnya, Nur, Nurin, dan Qisha menjadi kawan baik selamanya. Tidak kira betapa jahatnya Qisha, dia sudah berubah. Bak kata orang tua, manusia boleh berubah.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: