Certot

Aiskrim Strawberi

Hasil nukilan Dina Izzati 1 year agoFiksyen 26

Aiskrim. Sesiapa pun gemarkan makanan sejuk bernama aiskrim ini. Tidak kira tua ataupun muda, kanak-kanak ataupun dewasa. Lagi-lagi apabila dimakan ketika cuaca panas terik. Oh, bahagianya!

Aku juga sukakan aiskrim. Perisa kegemaranku pastinya coklat. Sekiranya aku perlu makan aiskrim selama seminggu, aku sanggup! Begitu hebat penangan aiskrim ini.

Namun, ada satu kenangan pahit yang berkait dengan makanan kegemaranku. Kenangan yang aku tidak mahu ingati ,tetapi sukar benar mahu memadamnya dari kotak memori.

****

Sabtu, 12 Disember, di Taman permainan.

“Kak Nia, nak aiskrim.” Aku yang sedang ralit bermain permainan Candy Crush di telefon pintarku berasa terganggu dengan permintaan adikku. Namun, aku sebagai kakak yang baik, melayan kehendaknya.

Aku memimpin tangan adikku yang berusia tujuh tahun itu ke arah penjual aiskrim yang terletak di seberang jalan. Sebelum kami melintas, aku melihat ke arah kiri dan kanan, memastikan tiada kenderaan yang lalu. Kami melintas dengan berhati-hati.

“Assalamualaikum, pak cik!” Aku menyapa pak cik penjual aiskrim itu. Pak cik itu membalas salamku dan tersenyum melihat kelibat kami berdua.

“Nak aiskrim strawberi!” pinta adikku tidak sabar. Aku pula meminta aiskrim coklat, seperti biasa.

Pak cik penjual aiskrim itu membalas dengan isyarat okey seraya menyiapkan pesanan kami. Aku menyambung semula permainan Candy Crush yang tergendala tadi. Adikku berada di sisiku.

Bang!

Aku terkejut mendengar satu bunyi yang kuat. Nasib baik tidak tercampak telefonku. Dan, aku baru menyedari adik tiada di sisiku.

Mataku melihat di jalan raya. Sekujur tubuh berlumuran darah terbaring di hadapan sebuah kereta Proton Wira. Aku seperti tahu siapa itu berdasarkan gaun yang dipakainya. Gaun berwarna putih itu seperti milik….

“Adik!” Aku menjerit lalu berlari ke arah jalan raya. Aku segera mendapatkan tubuh adik yang kaku. Aku meraung-raung meminta pertolongan. Beberapa orang yang kebetulan berada di situ cuba mengangkat badan adik ke tepi. Ada orang yang menelefon keluargaku dan ambulans.

Aku masih memangku kepala adik. Aku tidak menghiraukan bajuku yang kotor dengan darah. Adik yang nyawa-nyawa ikan menggenggam tanganku.

“Adik… sayang kakak… dunia akhirat.” Aku terdengar kata-kata adikku. Perlahan, namun benar-benar buat hatiku sebak. Air mataku turun laju, seperti hujan yang lebat.

Tidak lama kemudian, ambulans datang bagi membawa adikku ke hospital. Mataku berpinar-pinar. Aku merasakan dunia ini seperti mengalami gempa bumi. Aku jatuh pengsan di situ.

Sedar-sedar sahaja, aku berada di hospital. Aku terus menanyakan keadaan adik. Ibu dan ayah seperti teragak-agak mahu menjawab soalanku. Setelah diasak dengan soalanku yang bertalu-talu, akhirnya ibu menjawab sambil menahan sebak di dada.

“Adik sudah tiada. Dia sudah pergi meninggalkan kita.” Aku seperti tidak percaya, namun itulah hakikatnya. Adik sudah tidak bernyawa lagi.

****

Aiskrim strawberi itu aku makan perlahan-lahan. Aku seperti teringat kembali kenangan dahulu ketika bersama adik. Sungguh indah saat itu. Aku terasa seperti mahu memutarkan kembali masa, walaupun ia memang mustahil.

‘Maafkan kakak, adik. Kakak tetap sayang adik sampai bila-bila,’ bisikku dalam hati sambil menahan sebak di dada.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: