Certot

Ain Mahu Kasih Sayang!

Hasil nukilan Ainin Kein 1 year agoFiksyen

“Bisinglah! Aku mahu belajar pun tidak senang!” Ain menutup telinganya. 

“Bagaimana aku mahu lulus UPSR jika begini? Jikalau aku hendak tidur di rumah nenek, ibu tidak akan membenarkannya.” Dia mengeluh. Namun, keluhannya sia-sia. 

Kakaknya, Iqa dan adiknya, Airin semakin bising. Bilik itu kepunyaannya, tetapi terpaksa dikongsi bersama kakaknya. Hendak mengulangkaji di ruang tamu, ayahnya memasang televisyen dengan kuat. Dua saat kemudian, Ain keluar kerana tidak selesa. Apabila diadu pada ibu, ibu hanya mengangguk tanpa melihat ke arahnya. Hish! Sudahlah ujian percubaan dia hanya mendapat 1A 4B. Keyakinan untuk mendapat kejayaan merudum.

*****

Beberapa bulan selepas itu, soalan UPSR selamat dijawab oleh Ain. Akhirnya, dia berjaya mendapat 5A dalam UPSR. Tiada lagi sakit kepala. Tiada lagi bebelan guru. Tiada lagi sekatan media. Ah, betapa amannya hidup. 

Malam itu, dia keluar makan untuk menyambut kejayaan kerana Ain mendapat 5A. Namun, tiada langsung ucapan tahniah oleh bonda tercinta, malah disuruh membasuh pinggan mangkuk bergunung pula. Sudahlah dia menanggung perit seminggu tanpa nasi. Hanya makan telur hancur bersama roti selama seminggu. Bukannya sekatan makanan, cuma Iqa selalu mengejeknya kerana dia makan terlalu banyak. 

“Ah biarlah. Sudahlah pendek. Nampak macam aku pula kakak kau!” omel Ain.

*****

Dan kini masuklah bulan 12. Tapi dia langsung tidak gembira. Oh, ini lebih teruk dari kelas tambahan Cikgu Halbi. Ibunya kini cuba memasukkannya ke sekolah menengah yang berprestasi tinggi iaitu Imtiaz. Dia terlalu sibuk dahulu hingga terlupa untuk membaca Al-Quran dengan kerap. Kesudahannya, dia hanya masuk sekolah menengah harian. Kadangkala, dia menangis seorang diri. Kerana ibu bapanya terlalu mahukan dia menjadi tempat keluarga menunjuk-nunjuk. Ah! Dia bencikan manusia yang suka menunjuk.

Ah~ Dia amat berharap yang semua ini akan berakhir.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: