Certot

Afiq

Hasil nukilan Syifa’ Zulkifli about 3 years agoSukan 33

“Afiq!”  

Afiq memalingkan kepala dengan kerutan dahi, mencari-cari arah bunyi suara yang jelas memecah sunyi. Sekejap mata meliar mencari gerangan manusia yang mengganggu perjalanannya ke perpustakaan.

“Oh, Aryan rupanya. Ada apa?” tanya Afiq setelah mengenal pasti orang yang memanggil namanya sebentar tadi.

“Cikgu… Cikgu Nazri panggil awak pergi ke bilik guru.” Termengah-mengah Aryan berkata. Mana tidaknya, dia berlari mengelilingi sekolah seperti dikejar anjing untuk mencari sahabatnya itu.

“Sekarang?”

“Ya,” jawab Aryan ringkas.

Setelah sampai di bilik guru, Afiq pun bergegas mencari kelibat guru yang ingin berjumpa dengannya itu.

“Cikgu panggil saya?”

“Ya, saya panggil kamu,” balas Cikgu Nazri sambil menyerahkan sepucuk surat kepada Afiq.

“Kamu terpilih untuk mewakili sekolah bersama-sama pasukan hoki sekolah kita dalam pertandingan hoki peringkat sekolah yang akan diadakan pada 25 Oktober ini bertempat di Sekolah Kebangsaan Pokok Sena. Jadi, kamu dikehendaki untuk menghadiri kelas latihan hoki pada setiap hari Selasa hingga Khamis bermula jam 4.00 petang.” Panjang lebar gurunya itu memberitahu tujuan dirinya memanggil Afiq. Kelihatan seperti seorang pensyarah yang bersyarah di hadapan kelas kepada mahasiswa dan mahasiswi di universiti pula.

“Baiklah,  cikgu,” balas Afiq sebelum berlalu ke kelas 5 Karisma.

*****

Pada keesokan harinya, setelah pulang dari sekolah, Afiq bersiap-siap untuk pergi ke kelas latihan hoki. Setelah mengenakan pakaian yang sesuai, Afiq dan keluarganya solat zohor berjemaah terlebih dahulu sebelum makan tengah hari.

“Eh, awalnya kamu siap, Afiq. Bukankah latihan bermula pada pukul 4.00 petang? Sekarang baru pukul 2.30 petang? Masih ada masa lebih kurang satu jam lima belas minit lagi.” Puan Khadijah kehairanan melihat anaknya yang terlebih bersemangat itu.

“Memang benar, ibu. Afiq sengaja mahu pergi awal. Afiq sudah berjanji mahu buat ulang kaji bersama kawan-kawan di sekolah. Itulah sebabnya mengapa Afiq bersiap awal. Baiklah, ibu. Afiq mahu pergi sekarang,” jelas Afiq lalu bersalaman dan mengucup pipi ibunya.

Afiq memang begitu. Tidak hairanlah di sekolah, dia dikenali ramai disebabkan kepandaian dan keaktifannya dalam bidang akademik mahupun sukan. Afiq tidak suka membazirkan masa terluangnya dengan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah. Dia suka meluangkan masa lapangnya dengan membaca buku, bersukan, mengulangkaji pelajaran, dan menolong ibu dan ayahnya dengan membuat kerja-kerja rumah.

“Baiklah,  murid-murid. Kita mulakan latihan hari ini dengan senaman ringan untuk mengelakkan berlakunya kecederaan seperti terseliuh semasa latihan diadakan. Satu… dua… tiga… mulakan sekarang!”  Cikgu Nazri memberi arahan kepada murid-muridnya seperti seorang doktor yang berkarisma!

Sesi latihan yang diadakan pada hari itu berjalan dengan lancar. Semua murid yang terlibat termasuklah Afiq, menumpukan sepenuh perhatian semasa latihan. Latihan itu tamat pada pukul 6.00 petang.

Semakin hari, semakin dekat tarikh perlawanan hoki. Afiq juga dikejutkan oleh gurunya tentang tarikh peperiksaan yang akan berlangsung dua hari selepas hari perlawanan. Namun begitu, Afiq tidak berasa gementar kerana dia yakin yang dirinya mampu fokus pada pelajaran mahupun sukan kerana dia telah membuat jadual untuk membahagikan masa kepada pelajaran dan sukan.

*****

Hari yang dinanti-nantikan oleh Afiq sudah pun tiba. Kelihatan ramai peserta dari tujuh buah sekolah yang turut menghadiri perlawanan pada hari itu.

Kini, tibalah giliran pasukan sekolah Afiq, Sekolah Kebangsaan Wan Abdul Samad. Afiq berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi pertandingan itu.

Pasukan dari sekolah Afiq berjaya sampai ke peringkat akhir. Mereka bersungguh-sungguh menentang pasukan lawan dari Sekolah Kebangsaan Pokok Sena.

Mata kedua-dua pasukan adalah seri. Sekarang adalah masa untuk menentukan pasukan dari sekolah mana yang akan dinobatkan sebagai pemenang.

Keputusan telah pun diumumkan. Pasukan dari Sekolah Kebangsaan Wan Abdul Samad berjaya meraih tempat pertama dan layak untuk ke peringkat daerah.

Akhirnya, pasukan dari sekolah Afiq berjaya hingga ke peringkat kebangsaan. Mulai hari itu,  Afiq menjadikan pasukan hoki Malaysia sebagai idolanya. Afiq bercita-cita untuk menjadi atlet negara yang terkenal suatu hari nanti.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: