Certot

Adiwira Kesayangan

Hasil nukilan Nurul Hazirah 2 years agoSuperhero 19

           

Hanie duduk di tepi kubur ayahnya. Seusai membaca Yassin, Hanie yang kini berusia 21 tahun menyentuh batu nisan ayahnya. 

“Ayah, Hanie dah datang. Mesti ayah tenang dekat sana, kan?” ujar Hanie, sendu. Air matanya mengalir keluar. Dia terimbau peristiwa yang berlaku 10 tahun lalu.

*****

 

10 tahun yang lalu.

“Ayah!” jerit Hanie kegembiraan lalu memeluk ayahnya. 

ncik Zafrul, bapa kepada Hanie tersenyum. “Ayah, hari ini Hanie buat origami. Tengok ini,” tunjuk Hanie.

“Wah, bunga ros. Pandai anak ayah,” ujar Encik Zafrul, mengusap lembut kepala anaknya. 

“Ayah, jom makan sama-sama. Mak Sal dah siapkan makanan itu,” ajak Hanie lalu menarik perlahan tangan ayahnya. 

“Hanie tunggu di meja makan dahulu. Ayah nak pergi mandi sekejap,” suruh Encik Zafrul. 

Hanie, seorang kanak-kanak berumur 10 tahun. Dia sangat rapat dengan ayahnya memandangkan ibunya, Puan Laily sering pulang ke kampung untuk menjenguk neneknya yang sakit tenat.

 

“Hanie, esok tak payah naik van lepas balik sekolah tau,” kata Encik Zafrul ketika mereka sedang menonton televisyen di ruang tamu. 

“Kenapa pula?” tanya Hanie, kehairanan. 

“Sebab esok ayah kerja sekerat hari saja. Jadi tengah hari esok ayah boleh ambil Hanie,” jawab Encik Zafrul tersenyum memandang anaknya. 

“Yeay! Esok ayah boleh bawa Hanie pergi Buskin Robin? Dah lama Hanie tak makan aiskrim dekat situ,” ujar Hanie, menunjuk muka kasihan. 

“Boleh saja untuk puteri ayah seorang ini,” kata Encik Zafrul lantas menarik lembut hidung kecil anaknya itu. Encik Zafrul menyedari bahawa Hanie kekurangan kasih sayang dari seorang ibu. Oleh itu, menjadi tanggungjawab beliau untuk memberikan kasih sayang secukupnya kepada anak tunggalnya itu.

 

“Ayah, cepatlah sikit. Dah nak lambat ini,” rungut Hanie yang sudah siap memakai kasut. 

“Ya, sekejap.” Encik Zafrul membetulkan tali lehernya lantas mencapai beg bimbitnya. 

Mereka berdua berlalu ke kereta dan menuju ke sekolah. “Hanie, belajar betul-betul. Jangan hampakan ayah dan ibu,” pesan Encik Zafrul selepas mereka sampai di depan pintu pagar sekolah. 

“Insya Allah, ayah,” balas Hanie lalu bersalaman dengan ayahnya. 

“Jalan elok-elok,” pesan Encik Zafrul lagi setelah Hanie keluar dari kereta. 

Hanie hanya tersenyum dan melangkah masuk ke dalam sekolah sementara Encik Zafrul telah meluncur laju menuju ke pejabatnya.

 

Tengah hari itu, Encik Zafrul memandu pulang untuk menjemput Hanie dari sekolah. Hatinya seakan-akan tidak berasa selesa. Segera beliau ketepikan perasaan itu. Sesampainya beliau di sekolah, beliau ternampak api yang menjulang dari bangunan sekolah. Beliau bergegas masuk dan ternampak pihak bomba sedang cuba untuk memadamkan kebakaran. 

“Puan Azura, Hanie mana?” tanya Encik Zafrul kepada guru kelas Hanie yang kebetulan terserempak dengannya. 

“Maaf, encik. Ramai murid yang terperangkap di dalam. Ahli bomba sedang cuba menyelamatkan mereka,” jawab Puan Azura, resah. 

“Ayah!” Encik Zafrul menoleh dan ternampak Hanie sedang berdiri lemah di tepi tingkap aras dua. 

“Hanie!” Encik Zafrul terus berlari masuk ke dalam sekolah yang sedang terbakar itu. Pihak bomba terkejut dengan tindakan berani Encik Zafrul itu. 

“Hanie!” laung Encik Zafrul setelah sampai ke aras dua. 

“Ayah….” Sayup-sayup suara Hanie kedengaran. 

Akhirnya, Encik Zafrul berjaya menemui Hanie dan mendukungnya untuk mencari jalan keluar. Sebaik sahaja menuruni tangga di aras satu, Encik Zafrul menyuruh Hanie keluar dahulu. Hanie akur dan Berjaya keluar dari kebakaran itu. Tetapi, setelah lama menunggu ayahnya tidak keluar lagi. Dia ingin masuk semula untuk mencari ayahnya, tetapi dihalang oleh pihak bomba.

Setelah setengah jam, keseluruhan api berjaya dipadamkan. Pihak bomba mencari mayat mangsa yang terperangkap. Mereka menjumpai mayat Encik Zafrul yang berpakaian kemeja di aras satu. 

“Ayah!” jerit Hanie lalu menerpa ke arah mayat ayahnya. Dia meraung sekuat-kuatnya.

 

“Hanie….”  Hanie tersedar dari lamunan dan mendapati ibunya, Puan Laily berada di sebelahnya. 

“Mari balik,” ajak ibunya, perlahan nada suaranya. 

“Ibu, semua ini salah Hanie kan? Kalau Hanie dapat selamatkan diri Hanie sendiri, mesti ayah tak mati kan?” Hanie bersuara tiba-tiba. 

“Hanie… apa ini? Tak baik cakap macam itu, sayang. Allah lebih menyayangi ayah. Kasihan ayah bila dengar Hanie cakap macam ini,” ujar Puan Laily sambil memeluk anaknya itu. 

Hanie menangis teresak-esak dalam pelukan ibunya. “Dah sayang. Jom kita balik. Hari dah nak hujan dah.” Puan Laily meleraikan pelukannya. 

“Ibu pergi dulu. Nanti Hanie menyusul.” Hanie mengelap air matanya. 

“Ayah, terima kasih sebab selamatkan Hanie. Ayah, ayah adiwira Hanie yang paling Hanie sayang. Semoga ayah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Hanie balik dulu. Assalamualaikum.” Hanie mengusap kembali batu nisan ayahnya. 

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: