Certot

Acromatic Achillea

Hasil nukilan *PASTELL49 2 years agoKembara

“Baiklah. Kamu semua ditugaskan untuk membawa anak benih bunga untuk kajian sains esok. Faham?” Suara lantang Cikgu Asrina memecahkan kesunyian di dalam kelas 6 Biru.

“Faham.”

Seorang gadis dengan kaca mata berbingkai hitam memandang tajam ke arah seorang pelajar lain.

Hana Wadriah namanya. Seorang pelajar yang misteri di dalam kelas 6 Biru.

“Apa tengok-tengok??”

“….” Hana hanya mendiamkan diri
sambil membetulkan cermin matanya.


 


Pukul 6.00 petang.

Hana menyarung tudung yang seringkali dipakainya. Setelah meminta kebenaran daripada ibu bapanya, dia pun bersiap sedia untuk keluar ke kedai yang berdekatan rumahnya dengan tujuan membeli anak benih yang dipinta cikgunya.  

“Benih achillea?” katanya perlahan sambil membelek-belek plastik anak benih itu. Dia berasa agak hairan. Achillea itu apa? Berwarna apa?

Tanpa banyak membazir masa, dia membeli anak benih tersebut dan membawanya pulang. Sambil menunggang basikalnya ke rumah, dia sesekali berfikir panjang tentang bunga tersebut.

“Benih apa yang kamu beli?” tanya ibunya. Adiknya yang berumur empat tahun itu terkinja-kinja sebaik saja kakaknya balik.

“Entahlah. Katanya bunga achillea..”

“A… apa?” Ibunya terpinga-pinga. Hana tersengih.

“A-chill-ea lah.”

“Oh. Tak pernah dengar nama bunga itu,” kata ibunya.

“Memang pun. Nanti kita
tengoklah bagaimana rupanya,” balas Hana.


 


Keesokkan harinya, Hana pun datang ke kelasnya dengan anak benih yang dibelinya.  Kelasnya amat riuh rendah sekali, seperti biasa. Budak lelaki sedang bermain bola kertas dan budak perempuan sedang sibuk bergosip. Tidak berubah sama sekali..

TUP TUP TUP

Ah, ianya Cikgu Asrina. Semua pelajar kelas 6 Biru terus ke tempat masing-masing sebaik sahaja mendengar detapan kasut cikgunya. Manalah tidak tahu, semua orang sudah mengecam bunyi detapan kasut tumit tingginya.

“Assalamualaikum semua.”

“Waalaikumussalam, cikgu.”

“Baik, semua duduk. Bawa tidak anak benih yang cikgu suru?”

“Bawa.” Satu kelas berseloroh.

Mata Hana memandang ke kiri dan ke kanan. Semua orang lain membawa anak benih bunga yang telah diketahuinya. Mawar, keembung, bunga matahari. Dia memandang ke arah anak benihnya yang ada di atas mejanya. Amat berbeza sekali.

“Kamu semua ambil tanah dan bekas ini masing-masing. Lepas itu semai seperti biasa. Jangan lupa siram setiap hari. Lepas tujuh minggu, lihat apa yang tumbuh. Lakarkan apa yang kamu lihat dan persembahkan di hadapan kelas.”

“Baik!”

Kelas mulai riuh kembali. Tiba-tiba seseorang menyapa Hana.

“Hai. Awak bawa anak benih apa?” sapanya denn senyuman. Ia Rossa Mira. Pelajar paling cantik dan popular dikelasnya.

“Benih achillea.”

“Eh? Achila? Apa tu?”

“Achillea.  Bungalah. Takkanlah pokok buah-buahan pula.”

“Oh… janganlah marah,” ujar Rossa.

Tanpa memanjangkan lagi
perbualan, Hana terus ke hadapan meja gurunya untuk mengambil bekas dan tanah
yang diperlukannya. Lalu disemaikan anak-anak benihnya.


 


7 minggu kemudian….

Rossa ke bekasnya dan amat gembira sekali. Bunga ros merahnya amat mekar bertumbuh. Lantas diambilnya sekeping kertas A3 dan lakarkan bunganya. Setelah selesai, dia berjalan dan melihat bunga Hana.

Bunganya tidak seperti orang lain. Semua bunga orang lain berwarna warni, mekar, dan menarik perhatian. Namun bunganya berwarna putih, dan agak kecil berbanding dengan bunga-bungaan pelajar-pelajar lain.

“Kenapalah kecil sangat kau ni? Orang rabun pun tak nampak begini,” ujar Rossa sendirian.

Makin lama, makin ramai pelajar-pelajar yang masuk dan melakar bunga mereka.

Beberapa lama kemudian, Hana pun
datang. Sebaik saja dia melihat bunganya, dia tersenyum. Akhirnya dapat juga
dia melihat bagaimana rupa bunga achillea itu. Dia mahu melakar bunganya, tetapi
apakan daya, kertas yang disediakan sudah habis. 


 


Saatnya telah tiba. Masa untuk membentangkan lakaran bunga mereka.

“Baiklah. Saya mahu Nur Rossa Mira yang pertama. Sila ke hadapan dan beritahu tentang bunga kamu.”

“Baiklah cikgu!” Dengan semangat yang membara, dia pun ke hadapan dengan lakarannya.

“Saya telah menyemai bunga ros ini. Cantik, bukan? Di batang bunga ini, terdapat banyak duri yang tajam tapi bunganya sangat cantik. Nama saintifik untuk bunga ini sama seperti nama saya, iaitu Rosa. Saya pilih bunga ini sebab ia cantik dan ia boleh melambangkan satu ayat  iaitu ‘cantik itu merbahaya.’ Itu sahaja daripada saya. Sekian.”

Tepukan bergemuruh dari kelas itu.

“Pementasan yang baik, Rossa! Seterusny… Hana Wadriah.”

Hana mengambil bunganya dan pergi ke hadapan. Si cikgu berasa pelik.

“Kenapa kamu tidak lakar?”

“Kertas sudah habis, cikgu.”

“Oh… okey, teruskan.”

“Bunga yang telah dipilih oleh saya ialah bunga dengan nama saintifiknya, ‘achillea’. Ini ialah kali pertama saya melihat bunga ini. Saya tidak sangka yang ia amat cantik. Ia berwarna putih dan kecil. Tapi ia melambangkan sesuatu yang besar bagi saya. Saya akan menamakan pementasan bunga ini sebagai….”

Semua pelajar tekun mendengar cerita tentang bunga itu. Ia amat menarik. Hana terdiam sebentar, memikirkan nama yang bagus untuk tajuk pementasan bunganya itu.

Walau tidak mempunyai warna, namun ia tetap bertumbuh. Walau kecil, namun baunya amat wangi.

Masa seperti terhenti. Adrenalin menyambar di dalam badan Hana. Hana menarik nafasnya dengan dalam dan menyambung kata-katanya dengan, “Acromatic Achillea.”


-END-

‘Bukan semua orang berfikir dengan cara yang sama.

Walau ia hanya perkara remeh pada mereka…

Mekarlah wahai achilleaku,

Walau tanpa warna menemanimu.’

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: