Certot

Abi & Papa, Tiada Bezanya

Hasil nukilan Engku Afiq 2 years agoSuperhero 81

           

Assalamualaikum dan salam perkenalan!

Nama saya Wan Zhariff bin Wan Naqib, tetapi boleh panggil saya Zhariff sahaja. Minggu hadapan, usia saya akan mencecah 11 tahun. Kebetulan, tarikh lahir saya tahun ini jatuh pada tarikh yang sama dengan tarikh akhir peperiksaan akhir tahun ini.

Saya merupakan anak tunggal. Walaupun begitu, saya tidak pernah berasa kesunyian. Saya mempunyai umi dan abi yang akan selalu menceriakan hari-hari saya. Umi saya seorang yang lemah lembut dan baik hati. Abi saya pula seorang yang berani dan tegas tetapi dia tetap seorang yang penyayang. I love my umi and abi very much. I hope they will always with me until my last breath.

*****

Hari ini hari paling mendebarkan. Hari ini akan bermulanya peperiksaan akhir tahun. Jantung berdegup kencang, hati pula terasa gusar, dahi pula berpeluh. Takutnya!

Namun begitu, saya kembali tenang apabila mendengar abi berkata-kata. Walaupun saya hampir tidak memahami kata-kata abi itu tetapi kata-kata abi itu tetap dapat menenangkan saya. Kata abi, “If you fail, never give up because F.A.I.L. means ‘First attempt in learning’. End is not the end, in fact, E.N.D. means ‘Effort never dies’. If you get no as an answer, remember N.O. means ‘Next opportunity’. So let’s be positive.

Kata-kata abi itu memberi kesan kepada saya untuk tidak perlu risau yang teramat. Jadi, saya yakin, saya dapat menjawab peperiksaan akhir tahun dengan tenang. Semuanya disebabkan abi! Thanks a lot, abi.

Eh, saya sudah terlambat mahu ke sekolah! Jadi, saya pergi dahulu, ya.

*****

Akhirnya, tamat juga peperiksaan akhir tahun! Sudahlah hari ini hari lahir saya yang ke-11. Makin gembiralah saya pada hari ini.

Pada petang ini, saya akan adakan majlis hari lahir di rumah saya. Semua kawan dan saudara-mara saya akan datang bagi meraikannya. Pasti mereka akan membawa hadiah yang banyak untuk saya. Tidak sabar mahu menantinya.

Paling saya tidak sabar ialah hadiah istimewa daripada abi. Pada setiap majlis hari lahir saya, abi tidak pernah mengecewakan saya dalam hal hadiah. Selalunya, hadiah abilah yang paling terbaik kerana selalu tepat dengan keinginan saya pada masa itu. Abi macam boleh sahaja apa yang saya mahu dan hendak. Abi memang terbaik!

*****

Sudah dua jam majlis berlangsung. Lagu selamat hari lahir sudah dinyanyikan dengan penuh semangat. Lilin telah ditiup dengan penuh gembira. Kek juga telah dipotong dan dibahagikan kepada para hadirin. Nampaknya, majlis ini sudah hampir tamat. Kawan-kawan dan saudara mara juga sudah ramai yang bergerak pulang.

Namun begitu, kelibat abi tetap tidak kelihatan. Abi langsung tidak memunculkan diri sepanjang majlis. Pagi tadi, abi sudah kata yang abi kerja separuh hari ini. Abi sanggup ambil cuti demi meraikan hari lahir saya ini. Jadi, ke manakah hilangnya abi?

Saya rasa, mungkin abi masih memilih hadiah untuk saya di bandar. Well, abi is the best. Jadi, pasti mengambil masa untuk mencari hadiah yang terbaik, bukan? Demi hadiah yang terbaik, saya sanggup tunggu. Abi, pulanglah cepat. Saya tidak sabar ini.

Eh, saya terdengar sesuatulah dari luar! Kejap, biar saya teliti dahulu bunyi itu. Hmm… bunyi telefon rumah rupa-rupanya. Nampaknya, saya perlu angkat telefon kerana umi sedang sibuk mengemas. Jadi, saya pergi angkat telefon dahulu, ya.

*****

Saya sekarang berada di hospital. Saya bersama umi saya sedang menunggu abi yang sedang cuba untuk diselamatkan. Baru sahaja tadi, pihak hospital menelefon rumah dan mengkhabarkan bahawa abi telah terlibat dalam kemalangan. Saya segera memberitahu umi dan kami berdua segera ke hospital.

Doakanlah agar abi dapat meneruskan kehidupannya, ya.

*****

Kenapakah ini berlaku? Why and why? Silalah jawab soalan saya.

Hmm… beribu kali saya soalkan sekalipun, segalanya telah pun berlaku dan menjadi sebuah kisah yang akan kekal buat selamanya. Namun begitu, saya tetap tidak dapat menerimanya! I cannot take this! Abi sudah pergi buat selamanya! Begitu hancur hati saya apabila terkenangkan perkara itu.

Walau bagaimanapun, saya tetap berdoa agar roh abi akan tempat ditempatkan bersama roh-roh yang beriman. Insya Allah.

*****

Tepat pukul 9.00 pagi tadi, saya secara rasminya mempunyai seorang ayah tiri! Paling saya tidak suka, ayah tiri saya itu ialah Encik Rizal, lelaki yang menyebabkan abi meninggal! Disebabkan kecuaian Encik Rizal, abi sanggup menggadaikan nyawanya demi keselamatan orang lain.

Berdasarkan saksi yang melihat kejadian itu, ceritanya begini. Ketika itu, abi baru sahaja keluar dari sebuah kedai selepas membeli hadiah hari lahir saya. Pada masa yang sama, Encik Rizal sedang melintas jalan dan hampir-hampir sahaja dilanggar sebuah kereta yang memecut laju. Sungguhpun begitu, Encik Rizal tetap terselamat apabila abi bertindak pantas dengan menolak Encik Rizal ke tepi jalan. Namun begitu, abi pula yang tidak bernasib baik. Abi telah dilanggar kereta dan kehilangan darah yang banyak ketika itu. Dengan kadar paling segera, abi dikejarkan ke hospital. Menambah kesedihan, hadiah hari lahir saya yang patutnya membawa kebahagiaan telah diselaputi darah abi.

Apa pun, saya tidak suka Encik Rizal menjadi ayah tiri saya. Kisah bagaimana Encik Rizal menjadi ayah tiri saya, akan saya ceritakan kerana saya turut bersama ketika situasi berlaku.

Beberapa hari selepas pemergian abi, hadir seorang tetamu tidak diundang ke rumah saya. Namanya Encik Rizal, lelaki yang menjadi punca segalanya! Encik Rizal memohon maaf berbanyak kali kepada saya dan umi atas kecuaiannya. Dia juga bersimpati akan kami kerana satu-satunya pencari rezeki kami telah tiada. Jadi, bagi memohon maaf, dia menawarkan dirinya untuk menjadi suami kepada umi agar dia dapat menanggung kehidupan kami. Pada mulanya, umi tidak setuju tetapi Encik Rizal tetap memberikan umi tempoh seminggu bagi berfikir. Selepas seminggu, Encik Rizal datang kembali dan saya hairan, umi mengangguk tanda setuju.

Setelah Encik Rizal pulang, saya tanya kepada umi, kenapa umi setuju. Umi balas, “Umi setuju kerana umi sayang akan Zhariff. Umi tidak dapat bayangkan masa hadapan Zhariff jika Zhariff tidak mempunyai seorang ayah. Umi tidak mahu Zhariff kehausan kasih sayang seorang ayah,” Umi segera memeluk saya sambil mengalirkan air mata.

Walau bagaimanapun, saya tidak salahkan umi. Saya salahkan Encik Rizal! Disebabkan dia, abi sudah tiada, tetapi ada hati pula mahu jadi sebahagian daripada keluarga saya. Huh, saya tidak akan pernah terima Encik Rizal sebagai ayah saya!

*****

Sarapan pada pagi itu agak hambar. Semuanya kerana ini Encik Rizal ada bersama untuk bersarapan. Namun begitu, umi cuba untuk ceriakan suasana. Umi kata, Encik Rizal masih belum ada gelaran. Jadi, umi segera mencadangkan gelaran abi.

Tatkala itu, saya mencebik tanda tidak suka. Muka saya memang masam seperti dicurah asam jawa. Dalam fikiran saya, gelaran abi? Tiada sesiapa yang akan dapat gelaran abi selain Wan Naqib, abi saya yang terbaik. Lagipun, buat apa mahu panggil Encik Rizal sebagai abi? Saya tetap tidak akan terima Encik Rizal sebagai ayah saya.

Umi faham dengan riak wajah saya dan segera mencadangkan gelaran papa pula. Saya membuat reaksi yang sama seperti tadi, tetapi umi seakan-akan tidak nampak reaksi saya kali ini lalu segera merasmikan gelaran papa untuk Encik Rizal yang saya tidak sukai itu.

Apa pun, saya tetap tidak akan panggil Encik Rizal sebagai papa walaupun itulah gelaran yang telah dipersetujui oleh umi.

*****

Hari-hari demi hari berlalu. Kini, genap sebulan saya tinggal sebumbung bersama Encik Rizal. Sepanjang kami tinggal bersama, pelbagai perubahan yang berlaku terhadap kehidupan saya. Oleh sebab Encik Rizal ini seorang ahli perniagaan, kehidupan saya sudah berubah seratus peratus. Rumah telah menjadi semakin luas dan cantik serta 1001 lagi perkara yang tidak dapat saya jelaskan.

Walau bagaimanapun, saya tetap berperangai agak dingin terhadap Encik Rizal. Apabila minta diambilkan surat khabar, saya seakan tidak peduli. Tatkala diajak keluar jalan-jalan, saya beri banyak alasan. Ketika dihulurkan makanan ringan, saya menolak kasar. Saya akan menurut jika umi yang minta kerana buat apa saya mematuhi arahan orang yang saya rasa tiada apa-apa kaitan dengan saya. Buat kali keberapa saya hendak tekankan, saya tidak akan menerima Encik Rizal sebagai papa saya. Walaupun sudah sebulan, hati saya ini tidak akan pernah terbuka hati untuk menyukai Encik Rizal. Jangan haraplah!

*****

Sudah 1 Januari! Hari ini, umur saya bertambah setahun. Maknanya, saya kini berusia 18 tahun. Tidak sangka sudah 18 tahun saya bernafas di atas muka bumi ciptaan-Nya. Alhamdulillah!

Pada tahun ini, saya berharap agar saya dan umi akan sentiasa sihat sejahtera. Tidak dilupakan, arwah abi yang berada di ‘sana’. Semoga kekal dirahmati-Nya, insya Allah.

Pada hari ini juga, saya akan bertemu dengan rakan-rakan sekolah menengah saya kembali. Walaupun tidak sampai sebulan kami tidak bertemu, rasa rindu memang menguasai. Jadi, rindu itu akan terubat hari ini. Tidak sabar mahu bertemu mereka!

*****

Semalam, saya mengalami saat paling mengejutkan! Lebih mengejutkan, kisah ini seakan-akan sejarah yang berulang kembali, tetapi dalam versi lain pula!

Ketika itu, saya dalam perjalanan ke Tutti Frutti, tempat semua rakan sekelas saya berkumpul. Oleh sebab lokasi Tutti Frutti itu berada di seberang jalan, saya pun segera melintas jalan. Saya langsung tidak fokus terhadap jalan, tetapi saya hanya melihat kedai Tutti Frutti kerana saya ternampak beberapa orang rakan saya sedang melambaikan tangan ke arah saya dari jauh.

Pada masa yang sama, ada sebuah kereta yang laju memecut di atas jalan raya. Saya langsung tidak menyedarinya sehinggalah saya terdengar bunyi rempuhan dari arah kanan saya. Saya segera menoleh ke kanan dan kelihatan kemalangan yang agak tragis di sebelah saya. Entah bagaimana boleh berlaku pun saya tidak tahu.

Saya terkejut buat seketika sebelum kelihatan beberapa orang kawan saya datang menghampiri saya. Mereka bertanya keadaan saya kerana saya hampir-hampir terlibat dalam kemalangan itu. Oleh sebab itulah mereka melambaikan tangan mereka dari Tutti Frutti bagi memaklumkan hal itu.

Kawan-kawan saya agak bersyukur kerana saya selamat. Mereka juga memberitahu bahawa tadi saya hampir-hampir dilanggar oleh sebuah kereta, tetapi kereta itu sempat berhenti sebelum terlanggar saya. Selepas itu, beberapa buah kereta secara tidak sengaja telah terlanggar kereta yang hampir melanggar saya itu kerana tidak sempat menekan brek, lalu terjadilah kemalangan itu.

Kemudian, siren ambulans kedengaran. Saya bersama-sama kawan saya segera beredar dari tempat kejadian. Buat seketika, saya menoleh ke arah kereta yang hampir melanggar saya tadi. Saya amat berterima kasih kepada pemandu kereta itu kerana sempat berhenti, sekali gus menyelamatkan saya. Secara tiba-tiba, saya begitu terkejut bahawa pemandu kereta itu ialah Encik Rizal, papa saya! Entah bagaimana, secara tiba-tiba saya mengaku Encik Rizal ialah papa saya.

*****

“Kita sudah sampai,” beritahu pemandu teksi kepada Zhariff.

Zhariff segera menyimpan telefonnya. Sepanjang perjalanan, dia asyik meneliti entri-entri lama blognya sehingga tidak sedar bahawa dia telah pun tiba di tanah perkuburan. Sebelum keluar, dia berkata kepada pemandu teksi itu, “Tunggu sekejap, ya. Nanti saya datang balik.” Tanpa berlengah, dia segera keluar dari teksi itu dan memasuki kawasan tanah perkuburan.

Dia duduk di sebelah sebuah kubur dengan batu nisan yang tertera nama ‘Wan Naqib bin Wan Ahmad’. Dia membaca surah Al-Fatihah dan Yasin buat arwah abinya. Walaupun sudah lapan tahun arwah abinya meninggalkannya, arwah abinya akan sentiasa segar dalam ingatan. Disebabkan semangat yang selalu diberikan oleh arwah abinya, dia masih dapat meneruskan kehidupan sehinggalah usianya tahun ini ialah 19 tahun.

Setelah habis membaca surah-surah yang sepatutnya, Zhariff segera bangun dan masuk ke dalam teksi. “Bawa saya ke alamat ini,” minta Zhariff sambil menghulurkan sehelai kertas kepada pemandu teksi itu. Kemudian, teksi itu segera membawa Zhariff mengikut alamat yang tertulis pada kertas itu.

Dalam perjalanan, Zhariff tersenyum kerana inilah harinya dia akan bertemu kembali dengan orang yang dirinduinya. Sejak dia menyambung pelajarannya ke luar negara pada tahun lalu, inilah kali pertama dia pulang ke Malaysia, itu pun hanya untuk dua minggu.

‘Tidak sabarnya!’ bisik hati Zhariff. Sepanjang hari, dia berasa teruja. Dari KLIA ke tanah perkuburan hinggalah dalam perjalanan ke rumah orang yang dirindui, hatinya begitu berbunga-bunga.

Sesekali, dia teringat akan kenangan lampau. Dahulu, dia begitu benci akan Encik Rizal. Semuanya kerana dia tidak dapat melupakan kisah lapan tahun lalu. Memang Encik Rizal menjadi punca arwah abinya terlibat dalam kemalangan. Disebabkan perkara itulah, hubungannya dengan Encik Rizal tidak pernah baik selama bertahun-tahun lamanya.

Namun begitu, sejak Encik Rizal ditimpa kemalangan pada tahun lepas, Zhariff mula sedar akan sesuatu. Selama ini, dia tidak pernah percaya kepada qadak dan qadar Allah. Oleh sebab rukun iman tidak cukup enam, hatinya gelap dan dia begitu sukar menerima takdir bahawa arwah abinya telah pun meninggalkannya. Dia sepatutnya dapat menerima segala-galanya dan bukannya sewenang-wenangnya menjatuhkan kesalahan kepada Encik Rizal.

Sejak peristiwa itu juga, dia mula sedar akan kesalahannya iaitu membenci Encik Rizal. Tentang kemalangan lapan tahun lalu, bukanlah perkara yang disengajakan oleh Encik Rizal. Lagipun, Encik Rizal tidak pernah melayannya dengan cara yang tidak baik. Encik Rizal begitu menyayanginya seolah-olah anak kandung sendiri.

Pada hari itu juga, hubungan Zhariff dan Encik Rizal kembali baik. Sejak hari itu, dia dapat kembali apa yang dia hilang selama ini iaitu kasih sayang seorang ayah. Selama ini, kasih sayang itu terbentang di hadapan matanya, tetapi dia sahaja yang tidak menghargainya. Baru dia tahu, seorang ayah ialah seorang ayah. Tidak kiralah ayah kandung atau tiri, mereka tetap seorang ayah. Abi dan encik, eh, silap! Abi dan papa sama sahaja, kedua-duanya tiada perbezaan. Kedua-duanya pun menyayangi Zhariff sepenuh jiwa, begitu jugalah tahap Zhariff menyayangi mereka.

“Kita sudah sampai,” pesan pemandu teksi itu lalu menyedarkan Zhariff daripada lamanunannya.

Dari dalam teksi, Zhariff dapat melihat dua orang insan yang setia menanti kehadirannya di hadapan rumah. ‘Umi! Papa!’ bisik hati Zhariff dengan penuh keriangan. Walaupun tidak lama, sekurang-kurangnya, dia ada dua minggu untuk dihabiskan masa bersama-sama.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: