Chapter

#3: Siapakah Dia?

Hasil nukilan Arissa Homura 1 year ago Novel: Jiwa dan Kita

“Nenek….” Suara Murni amat lemah, bererti tidak dapat mengawal tangisan yang sudah lama dibendung. 

Murni hanya memandang sayu wajah neneknya. Wajah yang selalu dilihat, ditenung, dan ditatap. Malangnya, ini adalah kali terakhir untuk dia melihat wajah suci Nek Zimah yang sedang tidur. Tidur buat selama-lamanya. Segala jasa yang ditabur kepada Murni pasti akan sentiasa dikenang. Kenangan yang indah, akan sentiasa berada di fikiran dan hati. Baginya, insan seperti Nek Zimah hanya datang sekali seumur hidup dalam dirinya.

Peristiwa yang berlaku petang semalam amat menghibakan. Sungguh Murni tidak percaya kemalangan semalam menyebabkan dia kehilangan insan yang tersayang. 

Atin yang berada di sebelahnya sekadar menumpang kesedihan serta melihat sahabat karibnya menahan duka. Dia tidak boleh fokus untuk meneruskan bacaan surah Yasiin apabila melihat Murni asyik menatap wajah neneknya buat kali terakhir. Mana tidaknya, mereka berdua hampir sembilan tahun berkawan. Penduduk kampung yang hadir untuk upacara pengebumian Nek Zimah hanya bersimpati dengan nasib yang menimpa Murni pada hari semalam.

*****

Semalam….

“Murni, hati-hati! Jalan ini semakin licin kerana terjahan air hujan,” pesan Atin sambil sebelah tangannya memegang sekaki payung.

Murni yang kelihatan panik itu hanya mengangguk. Kayuhannya semakin laju seperti kipas meja yang berputar pada tahap kelajuan tertinggi. Hmm… tidak gunanya Atin memesan banyak kali, basikalnya tetap bergerak lebih pantas berbandingnya.

“Saya tidak kisah sekiranya saya tercedera, asalkan tiada apa yang berlaku pada nenek!” sahut Murni dengan nada yang tinggi. 

“Itulah tempat kejadian yang saya maksudkan!” jelas Atin sambil menuding ke arah sebatang jalan besar. Dia segera memperlahan kayuhan basikalnya. Kemudian turun daripada basikal diikuti dengan Murni.

Kelihatan beberapa orang sibuk menyaksikan seorang mangsa sambil memegang sekaki payung. Ada juga beberapa buah kenderaan yang sengaja diberhentikan di tengah jalan. Menjadikan jalan semakin sesak dengan kenderaan pancuan empat roda mahupun motosikal. Nasib baik ada empat orang anggota polis yang bertugas untuk mengawal kesesakan jalan supaya perjalanan pemandu tidak terganggu.

Tanpa menongkat basikal terlebih dahulu, Murni segera meluru ke arah sekumpulan orang yang berkumpul di sekeliling mangsa bagi melihat siapa mangsa. Walaupun sukar untuk melalui celah-celah orang ramai, tetapi akhirnya dia berjaya melihat mangsa itu kerana tubuhnya yang kecil. 

Apabila melihat sekujur badan yang terbaring dengan berlumuran darah di atas jalan, Murni terus jatuh rebah. Ternyata, mangsa itu ialah Nek Zimah! Beberapa saat kemudian, ambulans tiba bagi menghantar mangsa ke hospital berdekatan. Dalam pada itu, Murni menghadap Nek Zimah tanpa mengendahkan terjahan air hujan pada tubuhnya. Kelihatan basikal yang dikayuh oleh neneknya berada di dalam longkang. 

Dengan segera, Atin cepat-cepat membuka payung untuk melindungi dirinya daripada terjahan air hujan yang semakin lebat. Dia memayungi Murni yang hampir seluruh pakaian serta tubuhnya basah kuyup. 

Kata Atin, pemandu kenderaan yang melanggar Nek Zimah sudah pun dibawa ke balai polis untuk disoal siasat. Dia mengetahui khabar angin itu melalui orang yang berada di situ. Pemandu yang cuai memang sepatutnya dijatuhkan hukuman atas kesalahan melibatkan nyawa insan yang tidak bersalah!

Selepas memasukkan mangsa ke dalam ambulans, Murni, Atin, dan seorang wanita diarahkan masuk ke dalam ambulans untuk mendampingi mangsa yang masih tidak sedarkan diri. Wanita itu dipanggil masuk kerana dialah yang membuat panggilan kecemasan sebentar tadi. Sepanjang perjalanan, Murni tidak berhenti berzikir dan beristighfar supaya dipanjangkan hayat Nek Zimah. 

*****

Apabila tiba di hospital, Nek Zimah dikejarkan ke bilik rawatan. Semua yang terlibat diselubungi rasa cemas, termasuklah Atin. Mulut Murni berkumat-kamit menyebut kalimah Allahuakbar. Malangnya, takdir datang menimpa. Degupan jantung Nek Zimah sudah terhenti, nafasnya dihembus buat kali terakhirnya.

Saat itu, Murni tidak dapat berkata apa-apa. Kehilangan nenda tersayang membuatkan dirinya seperti mahu melayang. Namun, apakan daya. Dia tidak boleh menolak apa yang Allah s.w.t. tentukan.

Titisan air mata akhirnya jatuh ke pipi. Di saat dia menatap wajah Nek Zimah, segala kenangan bersamanya mula diputar kembali. Walaupun Atin dan wanita itu cuba memujuk, namun hati Murni masih meronta untuk merasai kasih sayang yang paling istimewa.

“Ibu!” Tiba-tiba satu suara menyahut. Membuatkan lamunannya terhenti secara tiba-tiba.

“Ibu! Ini Husna, ibu!” Seorang wanita yang jarang dilihatnya, mendekati jenazah Nek Zimah. Wanita berbadan gempal itu seperti cuba menahan sebak di dada. 

Murni dan Atin melihat wajah wanita tersebut dengan 1001 persoalan. Ibu? Sekiranya dia anak kepada Nek Zimah, tetapi mengapa seperti jarang dilihat? Adakah dia orangnya yang sering diceritakan oleh Nek Zimah setiap kali Murni bertanya tentang dirinya sewaktu kecil? Adakah wanita itu merupakan ibu kepada Murni, yang sekian lama menanti kedatangannya? Bagaimanakah terbuka hatinya untuk datang ke sini?

Kelihatan seorang lelaki berkumis nipis dan memakai baju melayu berdiri di hadapan pintu sambil melihat jam di pergelangan tangannya. Lelaki itu menggeleng beberapa kali apabila melihat perbuatan isterinya yang cuba untuk meminta kemaafan daripada insan yang sudah tidak bernyawa. Semua penduduk kampung yang baru selesai menamatkan bacaan Yasin cuba  menegah wanita bernama Husna itu daripada mengganggu ketenteraman majlis. Seperti dalam beberapa buah drama yang ditayangkan, dia masih meronta sambil memeluk tubuh arwah ibunya. 

“Jangan buat begini! Tolonglah,” arah Atin sambil menepis tangan Puan Husna. Dia melakukan sebegitu kerana tidak sanggup melihat tangisan sahabatnya, Murni semakin teruk.

“Sudahlah!” Suaminya segera menarik tubuh gempal isterinya itu. Tidak sanggup menahan rasa malu yang menebal. 

Tidak henti-henti Puan Husna merayu, tetapi semuanya sudah terlambat. Dia hanya mampu menangis, tetapi tidak mungkin dia akan mendengar suara ibunya buat kali terakhir.

Atin segera memeluk erat tubuh Murni bagi menghilangkan rasa duka yang menyelubungi sahabatnya itu. Matanya ditutup rapat, supaya dia tidak akan melihat kesedihan yang dialami oleh orang lain sama seperti dirinya.

*****

“Sadakallahul’azim…” 

Seluruh penduduk kampung yang berada di keliling kubur sejak tadi segera beredar pulang ke rumah masing-masing selepas menamatkan bacaan Yasin. Hanya Murni, Atin dan, Puan Husna yang masih berada di situ. Murni menuang air bunga mawar ke atas kubur arwah Nek Zimah. Kemudian, dia menarik tangan Atin untuk melangkah pulang sambil mengesat air mata yang masih bersisa di tubir matanya. Dengan penuh simpati, Atin bersuara. 

“Apa yang sudah terjadi, jangan dikenang. Walaupun orang yang sudah berada di alam berbeza itu orang yang awak sayang,” katanya dengan suara yang lembut. 

Murni hanya membisu. Ada benarnya juga kata-kata daripada sahabatnya itu. Sebelum langkahnya diteruskan, Murni memandang sekilas kepada wanita di belakangnya yang masih tidak berganjak dari situ. Sebaliknya, dia hanya termenung sambil menggenggam tanah yang masih merah pada kubur arwah Nek Zimah. Tahulah dia akan perasaan yang dialami oleh wanita itu, kerana dia turut merasainya.

“Marilah,” ajak Atin sambil merangkul bahu Murni. 

“Baiklah,” balas Murni dengan nada sedikit kendur. 

Langkah demi langkah terasa seperti terlalu lama baginya untuk meninggalkan arwah Nek Zimah. Namun begitu, Murni redha dengan ketentuan Ilahi. Selepas ini, di mana hala tujunya? Adakah dia akan ditempatkan di rumah kebajikan? Ataupun dijaga dan dibiayai sepenuhnya oleh ibu bapanya? Hmm… tetapi, betulkah Puan Husna itu ibu kepada Murni?

Siapakah dia? Adakah ibu Murni tidak ada rasa teringin untuk pulang menjenguk Nek Zimah? Ah, Nek Zimah ada seorang anak sahaja! 

Sekarang fikirannya sudah bertambah kusut, pelbagai soalan timbul dalam fikiran. Siapakah sebenarnya dia? 

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: