Chapter

#2: Persembahan

Hasil nukilan Alia Irdina 2 years ago Novel: Tari Impian

             

Qaseh memandang ke arah langit yang membiru. Cantik sungguh alam ciptaan Tuhan ini. Suasana petang itu sungguh nyaman. Sinaran matahari yang semakin condong ke barat terlindung di sebalik awan yang bergerak perlahan. Qaseh membelek bunga-bunga orkid yang ditanam oleh mamanya. Mamanya memang seorang peminat tegar bunga itu. Pernah sekali dia menemani mamanya ke nurseri bunga ketika pulang ke kampung.

Namun, bagi Qaseh itulah kali terakhir dia menemani ibunya ke nurseri bunga kerana ketika itu, hampir tiga jam dia melihat ibunya begitu ralit dengan bunga-bunga yang ada di situ. Apabila diceritakan kepada papanya, papanya hanya ketawa dan berkata kini giliran Qaseh melayan kegilaan ibunya pula kerana papanya hampir lima tahun terpaksa menahan sabar dengan hobi isteri kesayangannya itu.

Qaseh berpaling ke arah pondok kecil tatkala namanya dipanggil. Puan Saleha menatang dulang yang berisi air teh dan biskut lemak kegemaran Qaseh. Begitulah mereka setiap petang, menghabiskan masa bersama-sama duduk di pondok sambil minum petang. Encik Fauzan pula leka membaca buku motivasi kegemarannya berhenti seketika apabila cawan teh dihulur kepadanya.

“Qaseh, bagaimana dengan kelab tarian yang kamu sertai itu? Seronok?” Puan Saleha, ibu Qaseh menghirup teh ditemani angin sempoi di pondok luar rumah.

“Seronok! Qaseh dapat ramai rakan baru. Ada yang lebih tua daripada Qaseh,” jawab Qaseh sambil mencelup biskut ke dalam teh.

“Oh, ya. Ayah, nanti ayah boleh tolong isikan borang kebenaran untuk persembahan di Taman Citra? Esok Qaseh perlu menghantarnya.” Qaseh menyuap biskut yang hampir lembut itu ke dalam mulut. Memang menjadi kegemarannya biskut lemak yang dicelup bersama teh. Sekiranya diberikan satu peket besar pun boleh dihabiskannya.

Ayahnya mengangguk kecil. “Hari apa latihan kamu, setiap harikah?” Puan Saleha bertanya.

“Pagi Sabtu dan Ahad sahaja, mama. Tetapi, sekiranya perlu latihan tambahan, Kak Balqis akan telefon.” Qaseh mencapai lagi sekeping biskut lalu mencelupnya ke dalam teh yang masih panas.

“Siapa Kak Balqis?” Puan Saleha memandang satu-satunya anak perempuannya itu.

“Dialah pemilik kelas tarian itu. Dia juga yang melatih kami semua.” Qaseh tersenyum apabila teringatkan Balqis. Sememangnya Balqis amat disenanginya.

Kedua-dua orang tua Qaseh tersenyum melihat anak gadisnya itu. Mereka memang sentiasa menyokong minat anaknya itu. Biarpun mereka sendiri tidak begitu mahir dalam seni tarian tradisional, mereka tetap gembira kerana Qaseh tidak seperti gadis-gadis lain di luar sana yang meminati adat luar seperti K-Pop. Sekiranya Qaseh meminati perkara sebegitu, memang tidak akan dilayan oleh kedua-dua ibu bapanya.

“Qaseh mahu tahu bagaimana mama dan papa boleh kenal?” Encik Fauzan yang sedari tadi leka menikmati teh membuka cerita.

“Tentulah, mama tidak pernah cerita pun. Papa ceritalah, mesti romantik seperti dalam novel.” Qaseh teruja untuk mendengar cerita dari papanya. Puan Saleha mencubit manja suaminya.

“Kalau Qaseh mahu tahu, papa jatuh cinta dengan mama sejak pertama kali papa lihat mama buat persembahan tarian ketika di universiti,” sambung Encik Fauzan.

“Masa itu, sebab terlalu terpesona dengan mama….” Encik Fauzan ketawa kecil apabila teringatkan kisah lamanya.

“Mengapa papa, mengapa?“ Qaseh teruja dan tidak sabar menanti cerita selanjutnya daripada papanya.

“Papa tertuang air minuman ke dalam pinggan kawan papa. Hahaha… sudahlah masa itu kawan papa belum habis makan lagi. Kasihan dia.” Qaseh turut ketawa, begitu juga Puan Saleha.

“Masa itu, papa kamu ada majlis makan malam sempena meraikan kemenangan pasukan bola sepak universiti. Papa kamu pemain bola sepak ketika itu. Mama dan kumpulan tarian fakulti mama diundang membuat persembahan,“ jelas Puan Saleha.

“Papa tidak tunggu lama untuk kenal mama. Tidak sangka mama kamu ini pandai menari. Mujurlah ada kawan papa yang kenalkan papa pada mama,” sambung Encik Fauzan lagi.

“Oh, jadi sekarang barulah Qaseh faham. Qaseh dapat juga sedikit tempias bakat mama rupanya,” Qaseh cuba membuat kesimpulan atas minatnya dalam bidang tarian.

“Betul itu, Qaseh. Bakat seni yang ada pada kita ini mungkin warisan daripada nenek moyang kita. Moyang mama dahulu penari istana tahu,” jelas Puan Saleha. Puan Saleha juga aktif dalam bidang keseniaan ketika di menara gading. Namun minatnya terhenti apabila dia telah berkahwin. Jadi sekarang dia mahu Qaseh pula menyambung minatnya itu. Itulah sebabnya dia bersetuju Qaseh mengikuti kelas tarian tersebut.

“Satu sahaja yang papa hendak ingatkan.  Menari, menari juga. Tetapi pelajaran jangan diabaikan. Janji?” Encik Fauzan memberi penegasan kepada anak perempuan kesayangan itu. Qaseh mengangguk faham. Mereka bertiga terus berbual mesra sehingga matahari hampir tenggelam di ufuk barat.

*****

Di satu sudut lain, di sebuah rumah yang agak usang kelihatan seorang budak lelaki duduk di tepi tingkap. Wajahnya agak suram sesuram suasana petang yang semakin mendung itu. Fikirannya sangat berat. Bebanan yang dihadapi tidak tertanggung rasanya. Matanya tertancap pada sekujur tubuh yang terbaring lesu di atas katil yang agak usang itu. Katil tua yang hanya beralaskan tilam nipis itu menjadi tempat pembaringan tubuh yang sedang menanggung kesakitan.

Airil mundar-mandir di dalam biliknya. Hujan yang tadinya renyai mulai melebat. Rentak titisan air daripada bumbung yang bocor berlaga dengan baldi menjadi mainan di telinga. Airil perlu memikirkan cara untuk menghantar ibunya ke hospital.

Sudah seminggu ibunya menahan sakit dada. Selama ini ibunya menjual kuih di luar rumah bagi menyara hidup. Namun sejak ibunya menghidapi sakit dada secara tiba-tiba, Airil terpaksa bekerja sambilan di kedai makan berdekatan rumahnya. Setiap petang, bajunya akan lecun kerana membasuh pinggan. Itu sahajalah kerja yang dapat menampung perbelanjaan sekolahnya serta keluarganya sekarang.

Selama ini tiada siapa tahu Airil adalah orang miskin. Tinggal di teratak buruk di pinggir kota. Airil ke sekolah menaiki basikal. Sekiranya mahu ke studio tarian untuk latihan, Airil akan menumpang Nazmie dengan alasan tiada siapa mahu menghantarnya. Nazmie memang tidak kisah kerana dia adalah anak kepada ahli perniagaan terkenal. Yang menghantarnya juga adalah pemandu peribadi yang dibayar sendiri oleh ayahnya.

Airil bersiap. Jam sudah menunjukkan tepat pukul 3.00 petang.  Dia perlu bekerja sekarang. Kemeja-T lusuh di sarung bersama seluar sukan. Sebelum keluar, dia mencium tangan ibunya. Kemudian segelas air di letakkan di sebelah katil ibunya. Dia tidak mahu ibunya bersusah payah mencari air jika kehausan.

Airil mengayuh basikalnya ke gerai makan tempatnya bekerja. Itulah hidup Airil bin Rahman. Harus bekerja demi menyara hidupnya.

******

“Airil, kamu mahu ke mana?” tanya Irfan, abang sulung Airil. Irfan baru sahaja tamat sekolah duduk di ruang tamu setelah pulang dari bekerja.

“Airil hendak ke sekolah sekejap,” balas Airil.

“Kau jangan nak tipu. Kau pergi kelas menari itu, bukan?” Pertanyaan itu mengejutkan Airil.

 Emak sakit, kau boleh lagi mahu menari.” Suara Irfan mula meninggi. Airil hanya berdiam diri sahaja.

“Apa yang bising-bising itu?“ tanya Puan Laila. Airil dan Irfan, bukan boleh bersua muka, pasti berbalah seperti anjing dengan kucing.

“Airil ini, emak. Irfan bersusah payah kerja. Dia dekat rumah ini, bersenang-lenang sahaja,” adu Irfan. Muka Airil mencuka mendengar tuduhan abangnya itu.

“Irfan, emak faham. Kamu kena tanggung keluarga kita sekarang. Kalau mak sihat, emak tidak akan susahkan kamu.” Suara Puan Laila sayu. 

Sejak pemergian suaminya, anak-anak Puan Lailalah yang menanggung segala keperluan sekolah. Dia sendiri tidak mampu bekerja memandangkan kesihatannya sentiasa terganggu.

“Airil bantu juga. Emak tahu lepas sekolah dia pergi bekerja di kedai makan Pak Harun itu. Irfan, kamu janganlah marahkan adik kamu. Dia pun sudah minta kebenaran emak untuk sertai kumpulan tarian itu. Emak tidak mahu, hanya kerana kesihatan emak, anak-anak emak berbalah pula,” jelas Puan Laila sambil terbatuk-batuk.

Melihat keadaan ibunya itu, Airil segera memapah ibunya ke kerusi. Segelas air suam dihulurkan kepada ibunya.

“Maafkan Airil, emak. Kalau emak tidak izinkan Airil ke kelas itu, Airil tidak akan pergi lagi,” Airil berasa serba salah apabila abangnya menyalahkannya dalam hal itu.

“Tidak mengapa, itu minat Airil. Emak tidak halang,” balas Puan Laila.

“Airil, maafkan abang. Abang bukan mahu halang kamu, tetapi kamu kena faham keadaan kita sekarang,” celah Irfan.

“Abang, Airil bukan sahaja-sahaja ikut kelas itu. Selain daripada belajar menari, Kak Balqis beri kami elaun apabila kami dapat jemputan untuk buat persembahan. Walaupun tidak banyak, cukuplah untuk tampung belanja sekolah Airil. Airil tidak mahu susahkan abang,” jelas Airil.

Irfan memandang sayu wajah adiknya. Rasa bersalah bersarang dalam diri. Tidak terniat di hatinya untuk memarahi Airil. Namun tekanan yang dihadapinya membuatkan dia rasa tertekan. Setelah pemergian ayahnya dialah yang mengambil tempat menjaga dan menyara keluarga. Walaupun terasa beban, dia tetap nekad atas rasa tanggungjawab. 

Dengan berbekalkan sijil SPM, Irfan bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat. Pada waktu malam, dia bekerja di kedai serbaneka. Begitulah kehidupannya. Sekiranya anak muda sepertinya pada waktu ini sibuk dengan tugasan di kolej atau universiti, dia terpaksa melupakan semua itu. Walaupun antara pelajar cemerlang, Irfan terpaksa bekorban.

*****

“Assalamualaikum! Kakak Balqis, oh Kakak Balqis,” Qaseh memberi salam dari luar studio tarian.

“Waalaikumusalam, Qaseh rupanya. Marilah masuk.”  Balqis melebarkan bukaan pintu untuk memberi lalu kepada Qaseh untuk masuk. Qaseh menundukkan sedikit kepala ketika melalui depan Balqis.  Memang itulah yang diajar ibu bapa Qaseh sedari kecil lagi.

Selepas menyusun kasut di rak tepi pintu studio, Qaseh melangkah masuk ke dalam. Kelihatan hanya beberapa orang ahli sahaja yang baru sampai. Qaseh meletakkan beg di atas rak di penjuru studio. Selepas memerhatikan dirinya di dalam cermin besar buat seketika, Qaseh berjalan menuju ke arah rakan-rakannya.

Selepas beberapa minit, seorang demi seorang ahli lain melangkah masuk ke dalam studio dan menyertai perbualan mereka. Usai semua ahli tiba,  Balqis masuk ke dalam studio.

“Kakak mahu beritahu berita gembira!” Mukanya bersinar-sinar seperti disuluh spotlight.

“Berita gembira apa, kakak? Berilah tahu kami.” Zirhan tersenyum hingga nampak gigi. Perkataan ‘gembira’ adalah kata kunci bagi membuatkannya terlebih teruja hingga terpampang gigi gongaknya.

“Kita menerima tawaran menari di Sekolah Kebangsaan Puteri bulan hadapan!” Semua bertepuk tampar sebaik sahaja mendengar nama sekolah itu. Sekolah Kebangsaan Puteri adalah sekolah berasrama penuh yang sangat terkenal dimana semua pelajar di sana pandai-pandai belaka. Mereka yang belajar di situ adalah mereka yang terpilih dan berbakat dalam pelbagai bidang. Memang menjadi idaman ramai murid untuk belajar di sekolah itu.

“Wah, seperti tidak percaya saya dapat menjejakkan kaki ke sekolah sebegitu! Sekiranya tidak dapat belajar di sana, buat persembahan pun sudah cukup.” Qaseh sudah bertepuk tangan, tanda teruja dengan tempat dia bakal melakukan persembahan.

“Kita akan melakukan persembahan di sana bersempena Majlis Pelancaran Program Permata Seni peringkat negeri. Ramai tetamu kehormat akan hadir nanti.” Balqis tersenyum melihat semua yang bersemangat mahu membuat persembahan.

“Kakak fikir mahu buat persembahan tarian endang.” Semua terlopong mendengar nama tarian itu.

“Itu adalah tarian tradisional Negeri Sembilan. Nama lainnya untuk tarian ini ialah Badindin. Kakak sengaja memilih tarian itu kerana ia kurang popular dan jarang dibuat persembahan. Jadi dapatlah kita tonjolkan kelainan.” Semua mengangguk mendengar penjelasan Kakak Balqis. Maklumlah, mereka bukanlah orang Negeri Sembilan. Mereka tinggal di Kuala Lumpur.

“Baiklah, mari kita panaskan badan sebelum membuat latihan,” semua berdiri sebaik sahaja mendengar arahan Balqis.

****

     Hari ini merupakan persembahan kedua Kumpulan Tari Cempaka Sari membuat persembahan selepas persembahan pertama mereka di Taman Citra. Persembahan pertama itu mendapat bayak pujian malahan ada tetamu di taman tersebut sudah mula menawarkan mereka membuat persembahan di majlis-majlis perkahwinan. Namun demikian Balqis masih mempertimbangkan tawaran mereka memandangkan masa yang tidak begitu mengizinkan.

“Aduh, gementarnya! Tak sangka pula VVIP hari ini isteri menteri.” Qaseh mengipas-ngipas mukanya ketika Balqis menyiapkan solekannya.

“Qaseh gementar? Tidak perlulah gementar. Siapa pun penonton kita,kita kena yakin dan berani. Lagipun Qaseh ada sesuatu yang istimewa di dalam diri Qaseh tau” Balqis cuba menenangkan mereka.

“Apakah itu?”

“Bakat.” Balqis tersenyum sebelum menyiapkan sentuhan terakhir solekan muka Qaseh.

“Qaseh ambil rantai itu dan pakai, ya.” Balqis menunding jari pada rantai bunga yang besar baginya yang masih berada di dalam kotak.

Qaseh menyarungkan rantai itu lalu membiaskan dirinya di cermin besar. Baju kebaya bewarna kuning elok terletak. Wajahnya pula cantik disolek. Sanggulnya pula disisip bersama bunga melur putih. Sekali pandang sudah seperti Puteri Melur pula.

“Baiklah semua, persembahan akan bermula dalam masa lima minit, bersiap sedia ya.” Balqis menepuk-nepuk tangan bagi mangambil perhatian.

Qaseh meninjau dari pintu belakang pentas. “Ramainya orang! Pakaian mereka juga kelihatan mahal. Sudah pula itu, pentas ini pun sudah dihias cantik. Bertuahnya dapat membuat persembahan di sini!”

Qaseh berada di depan barisan sambil memegang sejambak bunga. Sebaik sahaja muzik kedengaran, Qaseh memasuki pentas dengan iringan tepukan. Jantungnya mengepam sepantas kilat. Langkah-langkah tarian juga berada dalam ambang di antara ingat dan lupa.

Penari-penari Kumpulan tarian Cempaka Sari terus menari mengikut lenggok lagu. Balqis memerhati dari bawah pentas. Tidak sangka persembahan pertama kelabnya begitu memuaskan. Memang dia tahu mereka semua berbakat. Tidak sia-sia mereka dipilih.

Sebaik sahaja persembahan tamat, Balqis terus menghampiri mereka. “Tahniah! Kamu sudah lakukan yang terbaik. Mari kita tanggalkam semua aksesori ini, ya.” Seorang demi seorang menghampiri Kakak Balqis untuk menanggalkan segala aksesori.

“Fuh, ringan badan rasanya.” Qaseh mendepakan tangan sebaik sahaja Kakak Balqis menanggalkan rantainya.

“Kalian bersiar-siarlah dahulu di sekolah ini. Bukan selalu dapat dapat ke sini.” Balqis mempamerkan senyuman.

“Yeah! Wani, marilah!” Qaseh adalah orang pertama yang keluar dari belakang pentas. Begitu teruja mahu menjelajahi sekolah idamannya itu.

Seorang lelaki mendekatinya. “Cik ini Cik Balqiskah?”

“Ya, saya. Encik ini siapa, ya?” Balqis memandang lelaki itu.

 “Saya adalah salah seorang ibu bapa pelajar di sini. Saya adalah perancang majlis bagi syarikat Majlis Indah. Pelanggan saya ingin membuat majlis bertemakan tradisional dan inginkan persembahan tarian tradisional. Bolehkah saya menjemput kelab tarian Cik Balqis untuk menari di persembahannya?” Mata Balqis bersinar.

“Tentulah! Jikalau begitu encik ambil kad saya, sekiranya ada apa-apa telefon sahaja melalui nombor ini.” Balqis menghulurkan sekeping kad kecil kepada lelaki itu.

“Terima kasih, ya. Saya pergi dahulu.” Lelaki itu meninggalkan Balqis. Tidak sampai beberapa saat seorang wanita pula menghampirinya.

“Saya ingin menjemput kelab tarian cik untuk membuat persembahan di majlis perasmian syarikat suami saya.” Sekali lagi mata Balqis bersinar. Kelas Seni Tari Cempaka Sari nampaknya semakin dikenali.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: