Chapter

#5: Kecewa di Konsert

Hasil nukilan Aisyah 2 years ago Novel: Misi K-Popku

Hyuna sungguh teruja apabila membaca whatsapp tersebut. Lantas dia membuat whatsapp calling terhadap nombor telefon yang dia tidak dikenali itu.

“Hello, saya Hyuna. Betulkah awak berminat mahu membeli kesemua barangan K-Pop saya? “ tanya Hyuna dengan rasa penuh keterujaan.

“Ya, saya Shima. Ingat lagi?” kata tuan punya suara di hujung talian.

Hyuna terdiam seketika, kotak fikirannya ligat berputar. Peristiwa dua minggu lepas terimbas kembali.

“Oh ya, sekarang baru saya ingat,” sahut Hyuna selepas senyap seketika.

Selepas beberapa minit berbual, Shima bersetuju untuk membeli barangan K-Pop yang dijual oleh Hyuna. Kebetulan barangan yang Hyuna jual memang dicari oleh Shima selama ini kerana koleksinya sudah hilang dicuri tempoh hari.

*****

“Alhamdulillah, syukur sasaran kita untuk mendapat duit RM300 itu sudah tercapai,” kata Maya sebaik sahaja pergi ke rumah Hyuna pada petang itu.

“Masalah seterusnya adalah mendapatkan kebenaran ayah awak,” kata Maya dalam nada sedikit risau. Hyuna pula sekadar membisu.

Malam itu, Hyuna berpeluang makan malam bersama dengan ayah dan ibunya, Tan Sri Mustaffar dan Puan Sri Malissa, selain dari kak Irene dan Aida. Hyuna merasakan itulah peluang terbaik untuk dia bercakap perihal niatnya hendak ke Konser K-Pop. Selepas makan malam selesai, Hyuna melihat ayahnya sedang berehat di ruang tamu.

“ Hyuna ada sesuatu mahu cakap dengan papa,” kata Hyuna perlahan sambil menonton televisyen.

“Cakapla,” jawab Tan Sri Mustaffar sambil membaca akhbar pada tabnya.

“Hyu… na… da,” baru sahaja Hyuna hendak menghabiskan kata-kata gagapnya tetapi papanya telah memotong.

“Hyuna, kamu itu bukannya gagap. Cakaplah elok elok,” tegur Tan Sri Mustaffar.

“Papa, Hyuna mahu pergi konsert K-Pop awal bulan depan,” kata Hyuna laju sekali.

“Mahu pergi konsert, tidak payah,” tegas papa Hyuna. Muktamad.

“Tetapi papa…,” kata Hyuna mencebik.

“Tidak ada tapi-tapi, Hyuna. Bahaya kamu pergi tempat tempat begitu waktu malam,” kata Tan Sri Mustaffar memberi peringatan kepada anak bongsunya yang terlalu obses dengan K-Pop.

“Tetapi papa, ini kali pertama Hyuna pergi, bayaran tiket dia murah sahaja,” pujuk Hyuna.

“Tentang harga itu papa tidak kisah sangat. Kamu pergi sana itu yang bahaya, nanti balik lewat malam,” ujar Tan Sri Mustaffar lagi.

Mendengar kata-kata ayahnya, Hyuna terdiam seketika. Puas dia menahan, tetapi manik air mata kelihatan gugur juga sedikit demi sedikit dari mata kirinya. Timbul rasa simpati di hati Tan Sri Mustaffar melihat keadaan anak bongsunya itu.

“Baiklah! Papa ada tiga syarat untuk Hyuna. Pertama Hyuna mesti mendapatkan A pada Ujian Matematik akan datang. Kedua, kamu pergi sana perlu berteman dan yang ketiga, papa cabar Hyuna kumpul duit RM 200 ringgit dalam masa 15 hari dari tarikh hari ini. Tidak boleh ambil dari akaun bank kamu atau pakai kad kredit, faham!”

“Faham, papa. Hyuna akan selesaikan tiga syarat yang papa beri, ”kata Hyuna dengan yakin.

“Baiklah, kita tengok nanti,” jawab Tan Sri Mustaffar tersenyum sinis.

Sebaik sahaja mendengar syarat itu, Hyuna berazam bersungguh-sungguh untuk lulus dengan cemerlang dalam ujian Matematiknya. Subjek itu merupakan satu-satunya subjek yang dia sering gagal untuk mendapatkan A walaupun dalam ujian bulanan. Biasanya dia hanya dapat cukup-cukup makan sahaja, sama ada C atau D. Setiap hari dia menelaah bersama Maya yang kebetulan pandai dalam pelajaran itu.

“Fahami formula, tengok contoh soalan dan banyakkan latihan,” itulah perkara yang sering diulang-ulang oleh Maya kepada Hyuna semasa mengulangkaji subjek itu.

*****

Dua minggu kemudian.

Hyuna melonjak kegembiraan dan hampir tidak percaya apabila keputusan dia akhirnya berjaya mendapatkan A dalam subjek matematiknya.

‘Alhamdulillah,’ bisik Hyuna dalam hati.

Hyuna seperti tidak sabar mahu memberitahu ayahnya tentang kejayaannya mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Papa, Hyuna sudah skor A. Ini keputusannya, “ kata Hyuna sambil menyuakan kepada papanya buku laporan ujiannya.

“Alhamdulilah, tahniah Hyuna. Ayah bangga dengan kamu,” kata Tan Sri Mustaffar tersenyum.

“Bagaimana pula dengan syarat kedua?”

Hyuna terkesima. Dia terlalu fokus untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang, tetapi terlupa tentang syarat kedua. Dia langsung tidak ingat tentang syarat kedua itu. Hakikatnya, duit elaun bulanan semuanya disimpan oleh papa. Yang ada cumalah duit sakunya yang kurang dari dua puluh ringgit.

“Ohh, tiada masalah papa. Lagipun, tempoh itu tamat esok. Hyuna masih ada satu hari lagi,” Hyuna membuat helah.

Sepanjang hari Hyuna berfikir bagaimana untuk mencari duit sebanyak RM200 ringgit dalam masa satu hari. Dia segan mahu menceritakan perkara itu kepada kak Aida. Dia semakin buntu dan masa semakin suntuk. Ada ketikanya, dia menangis sendirian.

“Nampaknya, kali ini aku terpaksa mengalah,” kata Hyuna perlahan sambil merenung ke luar jendela.

“Hyuna, ini duit RM200.” Tiba-tiba Hyuna terbaca satu nota pada kertas yang ada atas mejanya. Di bawah kertas putih itu, terselit dua duit kertas ungu yang bernilai RM100 setiap satu.

Dia kenal sangat tulisan itu. Itu tulisan kakaknya, Irene. Dia seperti tidak percaya. Dia pergi  mendapatkan Kak Irene di bilik sebelah.

“Kak, mengapa beri duit ini kepada saya?” tanya Hyuna sedikit pelik. Ketika itu, Kak Irene sedang rancak berbual dengan Aida di dalam bilik.

Sepanjang dia kenal Irene, dia masak benar perangai kakaknya itu. Kakaknya seorang yang agak kedekut. Amat jarang kakaknya belanja dia makan, apatah lagi untuk memberikan wang sebanyak itu.

“Walaupun kakak suka buli Hyuna, bukan bermakna kakak tidak sayang Hyuna. Hyunalah satu-satunya adik yang kakak ada. Kakak tengok Hyuna begitu bersungguh-sungguh membantu Maya, sebab itu kakak bantu Hyuna kali ini. Anggap sahaja sebagai hadiah daripada kakak sebab Hyuna skor A dalam Matematik kali ini,” kata Irene panjang lebar.

Hyuna terus memeluk Irene. Irene lantas terkedu. Dia tidak menjangka Hyuna akan memeluknya. Tetapi dibiarkannya sahaja. Tiba-tiba bahunya basah akibat linangan air mata dari Hyuna.

“Terima kasih, kakak,” kata Hyuna teresak-esak.

“Terima kasih kembali adik kesayanganku,” kata Irene seraya memeluk kembali adiknya. Aida turut terasa hiba sambil mengesat manik air matanya yang jatuh.

*****

Hyuna berasa cukup gembira kerana papanya membenarkan dia pergi ke konsert itu. Aida dan Irene bersetuju untuk ikut sekali ke konsert tersebut menemani Hyuna dan Maya.

“Tetapi Pak Din akan hantar kamu menggunakan kereta Toyota Hilux papa sebab kereta BMW papa masuk bengkel,” pesan Tan Sri Mustaffar.

“Baiklah papa,” kata Hyuna dan Irene serentak.

*****

Hari Sabtu yang ditunggu-tunggu kini tiba. Hari ini merupakan hari yang amat istimewa buat Hyuna dan sahabat akrabnya, Maya. Hari ini adalah hari konsert kumpulan K-Pop Korea yang mereka amat nanti-nantikan selama ini, iaitu Boys Junior dengan penyanyi utamanya Kyung Soo. Berita tentang kedatangan kumpulan ini ke sini telah mendapat liputan meluas media massa sejak sebulan lepas lagi. Itu belum lagi mengambil kira liputan media sosial seperti Whatsapp, Instagram, dan Facebook.

Hyuna dan Maya berasa cukup teruja. Sepanjang hari, Hyuna dan Maya berborak tentang perihal itu. Seharian, Hyuna dan Maya pening memilih pakaian yang sesuai untuk ke konsert tersebut. Irene dan Aida pula lebih santai. Mereka kelihatan tidak bersungguh. Tetapi sekadar menemankan Hyuna dan Maya. Antara cita-cita utama mereka adalah untuk selfie dengan penyanyi kesayangan mereka, iaitu Kyung Soo dan Kim Park. Konsert K-Pop itu dijadualkan dilangsungkan pada sekitar pukul 9.00 malam di Stadium Nusantara, yang merupakan stadium terbesar di daerah tiu.

Mereka sampai awal di Stadium Nusantara sekitar pukul 6.00 petang, tetapi tempat sudah hampir penuh. Nampaknya ada yang sudah sampai lebih awal daripada mereka, yakni dari petang tadi.

“Ramainya orang datang, sampai ada yang kena duduk luar stadium. Mujurlah kita sudah beli tiket awal. Kalau tidak, kita pun kena beratur panjang beli tiket,” bebel Irene kerana dia tidak selesa bersesak-sesak begini.

Semasa Irene sedang membebel sendirian, tiba tiba Hyuna memanggilnya.

“Kakak! Sini cepat, kami sudah jumpa tempat duduk.”

“Oh! Okey, kakak datang,” jawab Irene segera berlari anak ke arah mereka.

“Alhamdulillah, lega rasanya dapat tempat duduk,” kata Irene sambil melabuhkan dirinya untuk duduk.

Tempat duduk mereka betul-betul menghadap pentas utama yang berada di tengah stadium. Stadium itu sungguh unik. Bentuknya seakan-akan Stadium Sarang Burung di Beijing China, tetapi saiznya kecil sedikit. Stadium ini boleh memuatkan lebih kurang 60 ribu orang penonton dalam satu masa.

Orang semakin ramai masuk ke stadium. Panorama di dalam stadium penuh warna-warni. Terdapat pelbagai kain rentang dan poster kumpulan Boys Junior yang dibawa oleh para peminat. Ada yang lebih fanatik, menconteng muka dengan pelbagai warna terang menambahkan lagi kehangatan suasana. Dianggarkan lebih kurang 50 ribu orang sudah memenuhi ruang stadium. Semasa mereka sibuk mencari tempat duduk, Maya terserempak dengan Mohd Faris dan Nur Atiqah berjalan beriringan.

“Faris, awak buat apa di sini? Bukan awak anti K-Pop?” tanya Maya kepada Faris.

“Tidaklah, saya temankan Atiqah, dia kan sepupu saya,” terang Faris sambil tersenyum.

Atiqah sekadar tersenyum tawar tanpa menghiraukan perbualan antara Faris dan Maya. Dia sibuk mencari tempat duduknya. Irene dan Maya pula terus pergi mendapatkan Hyuna dan Aida.

“Hyuna, Aida, saya dan Maya pergi solat Maghrib dulu ye, kamu berdua tolong jaga tempat kami. Kamu berdua ‘cuti’ hari ini kan,” kata Irene kepada Hyuna dan Aida. Kedua-dua mereka tersenyum mengangguk tanda setuju.

*****

Semasa Irene dan Maya mencari-cari musolla untuk bersolat, tiba-tiba dia melihat kelibat seorang lelaki dan remaja perempuan tidak jauh dari mereka. Maya seakan-akan dapat mengecam mereka berdua.

‘Itu seperti Shima dan Fahim,’ detik Maya dalam hati.

‘Mengapa mereka berjalan tergesa-gesa ke belakang pentas itu?’ fikir Maya dalam hati lagi.

Maya cuba untuk memanggil Shima dan Fahim, tetapi memandangkan maghrib semakin hampir ke penghujungnya, dia membatalkan hasratnya itu.

“Mengapa Maya? Awak kenal mereka itu?” soal Irene ketika melihat Maya termangu-mangu.

Maya pun menceritakan secara ringkas kepada Irene peristiwa bagaimana Aida cuba mengejar peragut yang meragut beg Shima yang membawa kepada perkenalan mereka kepada Fahim dan adiknya.

“Tidak mengapalah. Selepas konsertlah jumpa mereka,” kata Irene kepada Maya.

Konsert dimulakan dengan persembahan oleh kumpulan penyanyi tempatan. Mengikut jadual, penyanyi Kyung Soo bersama dengan kumpulannya Boys Junior dijangka memulakan persembahan bila-bila masa sahaja dari sekarang. Penonton semakin kuat bersorak menantikan penyanyi kesayangan mereka muncul di pentas. Yang membuatkan penonton semakin teruja adalah kerana ini kali pertama, penyanyi dari Korea datang ke sini bagi membuat persembahan secara langsung di kalangan penonton tempatan.

Tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Suasana bertambah riuh. Para penonton semakin kuat menjerit. 

“Mengapa tiba-tiba tiada elektrik?” Irene mengeluh.

“Entahlah, kakak, ” sahut Hyuna.

Selepas 10 minit barulah bekalan elektrik pulih. Suasana gelap seketika itu kembali pulih. Mereka semua menarik nafas lega.

Tetapi kumpulan Boys Junior masih belum muncul untuk membuat persembahan. Penonton kembali resah. Selepas hampir sejam mereka menunggu, tiba-tiba pengumuman mengejut dibuat oleh pengacara majlis.

“Selamat malam dan salam sejahtera, saya bagi pihak penganjur dengan ini memohon maaf kepada semua peminat yang hadir pada malam ini. Kumpulan Boys Junior tidak dapat membuat persembahan kerana penyanyi utama kumpulan itu hilang dan tidak dapat dikesan. Pihak kami akan membuat siasatan selanjutnya dan kamu semua boleh menuntut kembali duit di kaunter tiket. Pihak kami meminta maaf sekali lagi,” kata pengacara majis itu sambil menundukkan kepalanya.

“Apa? Tidak!” jerit Hyuna seraya menangkup mukanya dengan kedua belah tangan seraya menangis teresak-esak.

Selepas pengumuman itu dibuat, bukan sahaja Hyuna, malah ramai peminat lain juga pulang dengan perasaan sedih dan kecewa. Ada juga yang meraung kerana gagal berjumpa dengan penyanyi kesayangan mereka. Mereka turut beratur semula untuk mengambil wang mereka di kaunter.

“Sabarlah Hyuna, bukan rezeki kita nampaknya kali ini,” pujuk Irene sambil mengusap bahu adiknya, Hyuna.

“Lain kali, mereka mesti buat konsert semula,” pujuk Aida pula.

“Mana pergi Kyung Soo?” kata Maya pula kehairanan.

Mereka semua terdiam, sambil menggeleng-geleng.

“Entahlah,” kata Hyuna dan Irene serentak.

Hampir satu jam juga mereka terpaksa menunggu Pak Din untuk datang mengambil mereka di stadium itu. Ini kerana jalan menjadi sesak. Mengikut perancangan awal, Pak Din hanya mengambil mereka semula sekitar pukul 11.30 malam. Memandangkan pada saat-saat akhir konsert ini dibatalkan, maka Pak Din terpaksa berpatah balik untuk mengambil mereka dan meredah kesesakan jalan raya di luar jangkaan.

“Maafkan Pak Din, Irene dan Hyuna, terlambat sikit. Jalan sesak betul,” kata Pak Din memohon maaf sebaik sahaja kereta Hilux itu sampai di tempat yang mereka janjikan sebelum itu.

“Tidak mengapa, bukan salah Pak Din pun,” jawab Hyuna.

“Pak Din hantar Maya pulang dahulu, ya, ” kata Hyuna.

“Baiklah.”

*****

Sesampai di rumah.

“Assalamualaikum,” kata mereka serentak.

“Waalaikumusalam, awal kamu semua balik. Hyuna kata petang tadi nak balik lewat malam,” kata Tan Sri Mustaffar.

Hyuna tidak menjawab pertanyaan ayahnya. Dia sekadar tersenyum.

“Abang tidak tengok berita jam 10.00 tadi? Penyanyi utama kumpulan itu telah hilang. Menurut siasatan awal pihak polis, Kyung Soo dipercayai mungkin diculik,” jelas Puan Sri Malissa.

“Diculik!” Mereka semua berasa sungguh terkejut.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: