Chapter

#4: Istana

Hasil nukilan Alia Irdina 2 years ago Novel: Tari Impian

             

“Wah, besarnya istana ini!” Semua terpegun melihat istana berkonsepkan tradisional itu. Qasehlah yang paling teruja kerana dia menyangka reka bentuk istana itu seperti dalam filem-filem barat. Ada dua menara di kiri dan kanan, kemudian ada tembok besar mengelilingi. Rupa-rupanya bentuknya hampir sama seperti rumah kampung, tetapi besar dan cantik.

“Kakak, kita boleh melawat kawasan istana?” Qaseh bertanya kepada Balqis. Dia sebenarnya teringin mahu melihat kamar diraja. Besarkah kamarnya? Cantikkah biliknya? Perlukah semuanya berwarna kuning?

“Ish, tidak boleh! Istana ini bukannya muzium mahu dilawat sesuka hati. Persembahan kita pun akan dibuat di dewan istana sahaja. Jadi kita semua sudah diingatkan supaya tidak sesuka hati merayau-rayau di dalam istana ini,” Balqis mengingatkan Qaseh dan yang lain-lain. Baginya, raja dan permaisuri juga mempunyai privasi mereka sendiri. Seperti rumah kita, tidak boleh diceroboh sesuka hati.

Sampai sahaja dipintu dewan, seorang pengiring bertanya kepada mereka, “Cik dari Cempaka Sari ataupun Kelab Tradisi Indah?”

Balqis sudah berkerut mendengar pertanyaan pengiring itu. “Kumpulan Campaka Sari.”

“Sila ikut saya, ya.” Pengiring tersebut membawa mereka semua ke bahagian belakang pentas. Kawasan belakang pentas ada dua bahagian, satu di sebelah kanan dan satu di sebelah kiri.

Dalam perjalanan, Qaseh berbisik kepada Wani, “Ahad lepas, saya ada terima mesej daripada seorang yang tidak dikenali. Saya rasa dia jugalah yang menghantar mesej kepada awak.”

“Jadi, adakah benar dia akan membuat persembahan di sini juga?” Wani memandang serius muka Qaseh.

“Rasanya.” Qaseh terus berjalan mengikuti rakan-rakannya.

“Semua ambil pakaian masing-masing dan bergilir-gilir tukar pakaian di bilik persalinan.” Balqis menghulurkan pakaian mengikut saiz kepada mereka semua. 

Sementara menunggu giliran menukar pakaian, Qaseh merenung pentas dari pintu keluar ke pentas. Dia dapat melihat kumpulan lain sedang bersiap. Seorang ahli kumpulan itu menjeling ke arah Balqis sambil membuat tanda bagus yang diterbalikkan. Qaseh hanya mengalihkan pandangan. Dia tahu itu hanya untuk meruntuhkan keyakinan dirinya. Baik buat tidak layan sahaja.

Selesai menukar baju, Qaseh bersolek pula. Kali ini bukan Balqisyang menyoleknya, tetapi jurusolek yang disediakan oleh pihak istana. Penganjur sudah menyediakan tiga jurusolek bagi setiap kelab.

“Qaseh, mari kakak pakaikan bunga dan rantai ini pada kamu,” Balqis memanggil Qaseh yang sedang termenung memandang kumpulan lain bersiap.

“Kakak,” Qaseh memanggil Balqis ketika dia sedang memakaikan bunga di sanggul Qaseh.

“Ada apa, Qaseh?” Balqis memandang Qaseh sebelum mencapai rantai berbentuk bunga Melur dan sebesar genggaman bayi itu.

“Qaseh takutlah. Mungkin selama ini kita buat persembahan di hadapan orang biasa, tetapi sekarang di hadapan permaisuri. Bagaimana sekiranya dia tidak suka persembahan kita? Ataupun saya terpelecok ketika sedang menari? Atau persembahan kumpulan lagi satu lebih hebat?” Qaseh rasa gemuruh hingga boleh menyenaraikan sebab-sebab kegagalan persembahan!

“Kamu memang sentiasa gemuruh. Namun, kamu tetap berikan persembahan yang terbaik, bukan? Semakin kamu gemuruh, semakin tinggi harapan kamu untuk melakukan persembahan yang terbaik. Jadi janganlah gemuruh, ya.” Balqis seperti biasa menjadi orang yang berjaya menenangkan Qaseh. Hubungan mereka sudah seperti kakak dan adik. Qaseh pula anak tunggal, jadi dia tidak dapatlah merasakan kasih sayang adik-beradik. Tetapi itu sebelum dia berkenalan dengan Balqis. Sekarang, hatinya rasa lebih terisi.

Kumpulan mereka akan melakukan persembahan selepas Kelab Tradisi Indah. Jadi mereka dibenarkan menonton persembahan mereka di tempat duduk yang disediakan. Sebaik sahaja muzik kedengaran, ahli Kelab Tradisi Indah bergilir-gilir keluar dari belakang pentas. Qaseh khusyuk menonton persebahan kelab itu. Mereka mengetengahkan tarian tradisional kontemporari iaitu gabungan tarian tradisional dan beberapa skill tarian moden. Bagi Qaseh, ia memang kreatif, menggabungkan kedua-dua genre tarian itu.

Sebaik sahaja tarian tamat, Qaseh bersama rakan-rakannya terus bergerak ke belakang dewan bagi memulakan persembahan. Mereka keluar sebelum muzik kedengaran. Sebaik sahaja muzik dipasang, mereka terus menari mengikut rentak. Piring di tangan terus menjadi tumpuan.

Semasa sedang menari, Qaseh terpandang ahli yang sama membuat tanda baik terbalik kepadanya tadi. Dia sekali lagi membuat perkara yang sama bagi menjatuhkan moral Qaseh. Sebenarnya Qaseh sudah geram, namun ditahan. Qaseh tidak mahu memalukan gadis itu di sini. 

Sebaik sahaja tarian piring tamat, mereka bergerak mengikut alunan muzik bagi meletakkan piring di hadapan pentas. Sepanjang persembahan, Qaseh perasan permaisuri asyik tersenyum sahaja. Tidak tahu pula sebab apa, yang pasti permaisuri menyukai persembahan mereka.

Selepas hampir 15 minit, persembahan mereka akhirnya tamat. Namun tiada sebarang tepukan kedengaran kecuali daripada Balqis dan permaisuri sendiri. 

“Melampau betul! Kita penat-penat tepuk untuk persembahan mereka, mereka pula buat tidak tahu sahaja,” Qaseh mengomel sendiri. 

Selepas meneguk air dari botol airnya, mereka dijemput untuk menjamu selera di ruangan makan tetamu. “Wah, nampak sedap sahaja kari daging ini. Baunya juga harum semerbak. Tidak sabarnya mahu makan!”

Qaseh adalah orang pertama yang mencapai pinggan dan mencedok nasi. Badannya nampak sahaja kurus, namun selera makannya mengalahkan singa kelaparan di Afrika! Apabila ditanya rahsia menjaga badan, Qaseh hanya mampu mengangkat bahu kerana dia sendiri tidak tahu mengapa dia kekal kurus walaupun mempunyai selera makannya sebegitu.

Sebaik sahaja mendapatkan tempat duduk di sebelah Wani, Qaseh terus membaca doa lalu menyuakan nasi bersama kari daging itu. “Wah, sedapnya! Tidak pernah saya rasa masakan sesedap ini. Aura istana barangkali.” Qaseh tertawa.

“Betullah Qaseh, bukan senang kita mahu bersantap di istana ini. Kalau tidak kerana jemputan membuat persembahan ini, saya rasa sampai tua pun saya tidak akan menjejakkan kaki ke dalam istana. Terasa seperti puteri pula,” celah Wani.

“Yalah Wani, seperti puteri raja pula. Walaupun makan lauk kari sahaja. Rasa-rasanya ada tidak putera raja yang terpikat kepada kita?” Qaseh tertawa lalu menyuakan nasi bersama kuah kari.

“Jangan risau, Putera Raja Gopal sentiasa tunggu awak.” Wani ketawa kuat membuatkan rakan-rakan yang lain menoleh kepadanya. Begitulah sikap Wani, sentiasa ceria sehinggakan Qaseh tidak tahu bila rakannya itu rasa sedih.

“Saya terdengar, permaisuri akan memberikan cenderamata istimewa kepada kumpulan yang membuat persembahan hari ini!” Telinga Qaseh menangkap satu perbualan.

“Wah, tentu kumpulan kita yang layak menerima penghargaan itu. Maklumlah, kita semua cantik dan kacak, pandai menari tarian tradisional dan moden pula!” Qaseh berjaya menangkap jawapannya.

“Awak dengar apa yang saya dengar?” Qaseh bertanya kepada Wani.

“Dengar apa? Bunyi awak menguyah adalah. Chap, chap chap!” Wani mengajuk semula bunyi Qaseh menguyah.

“Ish, bukanlah! Bunyi lain. Perbualan.” Qaseh cuba menjadi serius.

“Bunyi kunyahan awak terlalu kuat sehingga saya tidak dapat mendengar benda lain.” Wani menyuakan nasi ke dalam mulut. Rasa pedas-pedas berlemak itu terus dinikmati hingga ke butiran nasi terakhir.

“Saya sudah habis makan. Awak makanlah lama-lama lagi sekiranya mahu ditinggalkan.” Qaseh terus menguyah sepantas kilat yang memancar.

“Tunggu saya!”

*****

“Adik-adik semua. Kita tunggu sekejap, ya. Tadi, pengurus acara minta kita tunggu sebentar,” umum Balqis ketika mereka sedang bersiap-siap untuk pulang. Jam sudah pun menunjukkan jam 6.30 petang. Majlis jamuan minum teh sempena meraikan isteri ketua-ketua negara Asean yang sedang bersidang di Kuala Lumpur sudah lama tamat. Walaupun majlis yang ringkas, majlis tetap meriah, lebih-lebih lagi mendapat sokongan dari permaisuri.

“Mengapa, Kak Balqis ?” tanya Rania kehairanan.

“Oh, katanya Tuanku Permaisuri ingin bertemu kita semua,” jelas Balqis lagi. Qaseh dan Wani berpandangan. Benarlah apa yang mereka dengar tadi.

Kedua-dua kumpulan serta beberapa orang lagi sudah dibawa ke sebuah bilik. Mereka diminta menunggu sehingga permaisuri mencemar duli.  Masing-masing teruja untuk bertemu dengan permaisuri yang terkenal dengan keanggunannya itu. Hampir sepuluh minit menunggu, pengurus acara mengumumkan ketibaan tuanku permaisuri. Baginda diiringi oleh dayang-dayang istana yang berpakaian sedondon. Sebaik sahaja, permaisuri duduk di tempat yang disediakan, pengurus acara terus mempersilakan tuanku permaisuri memberi ucapan.

“Terlebih dahulu, beta ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis pada petang ini. Sebagai menghargai usaha yang telah kamu semua lakukan, beta dengan rasa berbesar hati ingin menyampaikan sedikit cenderamata kepada kalian semua yang terlibat,” umum Permaisuri Ratna Seri Melur yang berdiri di atas pentas. Majlis ringkas itu terus dikendalikan oleh Encik Hasbullah yang juga pengurus acara petang itu.

“Baiklah, dipersilakan wakil dari Kelab Tarian Tradisi Indah,” Wan Arlidiana selaku wakil dan ketua kumpulan terus menaiki pentas bagi menerima cenderahati yang dimaksudkan.

Mereka menerima sebuah plak penghargaan yang diletakkan di dalam kotak yang dibaluti kain songket bermotifkan flora. Wan Arlidiana sudah tersenyum dan terkembang-kembang hidungnya kerana dapat bergambar dengan permaisuri.

“Seterusnya, dijemput pengurus dan ahli kumpulan tarian Cempaka Sari.” Balqis dan anak-anak didiknya mula melangkah berhati-hati menaiki pentas. Balqis menyalam permaisuri dengan penuh sopan. Dayang istana membawa plak yang sama seperti yang diperolehi oleh kumpulan Tradisi Indah. Namun, mereka menerima satu hadiah kejutan daripada permaisuri. Sebuah kotak berbaldu biru dibawa oleh dayang istana. Tuanku Permaisuri Ratna Seri Melur membuka kotak baldu itu.

     Kelihatan sepasang cucuk sanggul yang bewarna keemasan di dalamnya. Cucuk sanggul itu bermotifkan bunga melur serta awan larat itu sangat cantik pada pandangan mereka. Bunga melurnya bertatahkan berlian serta batu delima. Ada untaian mutiara merah jambu di hujungnya. Manakala dedaunnya pula dihiasi dengan batu zamrud. Balqis dan yang lain sangat teruja.

“Beta memberikan cucuk sanggul diraja ini kerana persembahan kalian lebih hebat. Beta tidak suka apabila tarian tradisional dicemari ciri-ciri moden. Bagi beta, tarian itu mesti asli supaya mengekalkan seni tarian asli hingga ke akhir zaman,” Permaisuri Melur berbisik pada Balqis.

Sebaik sahaja mereka turun dari pentas, mereka terus mengerumuni Qaseh bagi melihat isi kotak memandangkan tadi mereka tidak melihatnya dengan lebih dekat. 

“Apakah itu?  Adakah itu pin? Tetapi mengapa ada juntaian manik di hujungnya?” Zirhan melihat dua batang cucuk sanggul itu sebagai pin.

“Ini bukan pin! Ini adalah cucuk sanggul. Ia dipakai pada sanggul,” Qaseh memberitahu.

“Wah, untungnya kita,  dapat hadiah istimewa dari tuanku permaisuri.” Farhan merenung cucuk sanggul itu. Pertama kali dia melihat cucuk sanggul sebegitu. Mereka begitu teruja sehingga tidak menyedari kehadiran permaisuri.

“Cik Balqis, boleh beta bercakap dengan kamu sebentar?” Permaisuri Ratna Seri Melur menghampiri Balqis. Jantungnya sudah berdegup kencang. Dijaga tatasusila sebaik mungkin. Dia juga cuba mengingati bahasa istana yang diajar oleh gurunya bertahun-tahun lepas.

“Baiklah, tuanku.” Balqis mengikut Permaisuri Melur ke takhtanya di hadapan pentas.

“Beta ingin menawarkan kumpulan tarian Balqis untuk turut sama membuat mempersembahkan ketika beta melawat ke London nanti. Beta amat berminat untuk mengetengahkan kumpulan tarian kamu ini. Kumpulan kamu sangat berbakat dan beta suka dengan keaslian tarian yang kamu bawa. Sekiranya kamu berminat, beta akan minta pegawai-pegawai beta menghubungi kamu nanti.” Mata Balqis bersinar seperti hendak mengeluarkan cahaya.

“Ampun tuanku, sudah tentu! Patik akan mempersiapkan kumpulan patik. Terima kasih tuanku, terima kasih sangat-sangat! ” Balqis tertunduk-tunduk kepala mengucapkan terima kasih kepada Tuanku Permaisuri.

*****

“Kakak ada berita gembira!” Balqis cuba menahan keterujaannya. Tidak sabar rasanya dia hendak memaklumkan perkara itu kepada semua anak didiknya. Qaseh dan yang lain sedang sedang berkumpul di penjuru bilik itu pun tidak sabar untuk mengetahui apa yang dibualkan oleh Balqis dan permaisuri.

“Apa beritanya?” Sebaik sahaja mendengar perkataan ‘gembira’ Zirhan terus tersenyum teruja.

“Nanti kakak beritahu di dalam van. Mari, kakak belanja kamu semua minum. Mesti penat buat persembahan, bukan?” Qaseh adalah orang pertama yang menyerbu van kerana tidak sabar-sabar mahu membasahkan tekak.

****

“Apa berita gembira sangat itu, kakak?” Wani bertanya ketika di dalam van.

“Kita akan pergi ke London!” Semua terlopong sebaik sahaja mendengar.

“Apa? Biar betul!” Mulut Qaseh sudah ternganga seperti terjatuh rahang. Mata Wani pula sudah buntang seperti hendak tersembul. Farhan yang sedang meneguk air pun tersembur keluar airnya.

“Kakak gilakah? Banyaknya duit kakak? Apa ini?” Airil bertambah risau. Sekiranya mereka pergi ke London, siapa yang hendak menjaga ibunya?

“Betul, kakak tidak tipu. Permaisuri menjemput kita membuat persembahan ketika lawatan baginda di London! Diulangi, London!” Semua sekali lagi terlopong.

“Bagaimana dengan penginapan? Kos kapal terbang? Kos makanan? Teksi?” Qaseh masih tidak percaya. Selama ini dia tidak pernah berjauhan lama-lama dengan ibu bapanya.

“Tentu sekali itu semua ditanggung. Apa yang perlu kita buat, berlatih dan berikan persembahan yang terbaik!” Balqis sudah berangan-angan ditemubual pihak media antarabangsa.

“Bila ia akan berlangsung?” Qaseh mendekati Balqis.

“Tiga bulan dari sekarang.”

****

“Abang Man, abang boleh tolong bawakan ibu saya ke hospital? Sakitnya sudah semakin teruk,” Airil terus merayu.

“Baiklah, tetapi kamu tunggu sekejap. Abang habiskan kerja.” Abang Man terus bersetuju. Dia memang tidak kisah untuk membantu Airil kerana dia faham situasi yang dihadapi Airil. Sudah beberapa kali Airil menceritakan hal itu kepada Abang Man. Namun, ada sahaja perkara yang menghalang dia daripada menghantar ibu Airil.

Dia memandu Proton Saganya menuju ke rumah Airil. Sebaik sahaja membuka mangga, Airil terus menjenguk ke dalam rumah. “Ibu, mari kita ke hospital. Abang Man akan bawakan ibu ke sana.”

“Baiklah, tolong ambilkan tudung ibu, ya.” Airil terus mencapai tudung ibunya diatas sofa.

Airil memapah ibu masuk ke dalam kereta. Dia sangat bersyukur kerana akhirnya ada yang sanggup membantunya membawa ibunya ke hospital. Dia tidak sanggup lagi melihat ibunya merana.

Sebaik sampai, Airil sekali lagi memapah ibunya masuk ke dalam hospital. Selepas didudukkan di atas kerusi tempat menunggu, Airil mendaftar di kaunter. Mujur dia tidak lupa untuk membawa kad pengenalan ibunya.

“Puan Laila binti Samad,” seorang jururawat memanggil dari pintu kecemasan kuning.

Airil memapah ibunya lalu mendudukkannya disebelah meja doktor. Selepas membuat beberapa pemeriksaan, doktor itu melepaskan hela nafas panjang. “Puan Laila, maafkan saya. Berdasarkan pemeriksaan dan rekod kesihatan puan yang lalu, saya mengesyaki Puan menghidap kanser darah. Saya harap puan bersabar sebab kami akan berusaha untuk memberi rawatan yang terbaik untuk puan,” jelas Doktor Irwansyah kepada Puan Laila. 

Puan Laila terdiam. Tidak sangka hidupnya umpama jatuh ditimpa tangga. Lutut Airil terasa lemah selepas mendengar penjelasan doktor itu. Matanya tidak dapat menahan curahan air yang mendadak.

****

“Assalamualaikum, ibu oh ibu! Saya sudah balik!” Qaseh mengetuk pintu rumah.

“Ibu datang, ibu datang!” Puan Saleha membuka pintu rumah.

“Ish, kamu ini. Buat terkejut sahaja. Kalau ya pun, tidak perlulah ketuk pintu rumah sehingga hendak roboh.” Qaseh senyum bagi menyejukkan hati Puan Saleha.

Qaseh duduk di atas sofa bersama ibunya. “Bagaimana? Dapat jumpa permaisuri?”

“Dapat! Cantik orangnya ibu! Tidak sombong pula!” Qaseh teruja menceritakan tentang Permaisuri Melur.

“Dia berikan kami cenderamata! Cucuk sanggul bewarna emas. Cantik, ibu!” Qaseh bercerita tentang cucuk sanggul pula.

“Oh, ya ibu! Kami dijemput membuat persembahan di London!” Mata ibunya terbeliak.

“Wah, sampai ke London peminat kamu semua!” Qaseh tergelak kecil mendengar kita-kita ibunya.

“Tidaklah ibu, Permaisuri Ratna Seri Melur menawarkan kami membuat persembahan sempena lawatan baginda ke sana! Manalah kami ini ada peminat sampai ke London, tetapi selepas ini mungkin adalah.” Ibunya tergelak kecil.

“Sudahlah, pergi mandi dan solat. Busuk anak ibu ini!” Puan Saleha mengipas-ngipas hidungnya.

“Baiklah ibu.” Qaseh terus berlari memasuki bilik. Puan Saleha tersenyum melihat anak gadisnya itu.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: