Chapter

#2: Insiden

Hasil nukilan Nur Hidayah about 2 years ago Novel: Hero of girl!

“Humaira, saya mahu ucapkan tahniah kepada awak kerana mendapat nombor satu hari itu!” ujar Farisha.

“Terina kasih. Saya juga mahu ucapkan tahniah kepada awak. Keputusan awak naik mendadak,” balas Humaira.

“Oh, ya! Boleh awak tolong saya hantar buku latihan Sains ini kepada Cikgu Adibah? Cikgu pesan suruh saya kumpul dan hantar hari ini,” pinta Farisha.

“Boleh. Awak bawa separuh, saya bawa separuh,” kata Humaira sambil mengangkat separuh buku latihan Sains yang sudah dikumpulkan oleh Farisha.

Kemudian, mereka bersama-sama keluar dari kelas dan menuju ke bilik guru. Dalam perjalanan ke bilik guru, mereka melalui kantin. Ramai murid yang sedang menikmati makanan mereka. Humaira dan Farisha sudah lama habis makan. Mereka malas mahu berlama-lama di kantin kerana ramai lagi murid yang mencari tempat duduk.

Buku-buku yang dibawa oleh Humaira menyukarkannya memandang ke hadapan ketika berjalan di kantin. Akibatnya, dia telah melanggar seorang gadis.

“Ah, baju saya!” gadis itu menjerit apabila melihat bajunya basah sedikit kerana secawan air kosong yang dipegangnya tumpah.

“Erm… maafkan saya. Saya tidak sengaja,” ujar Humaira apabila selesai mengutip buku-buku latihan Sains yang terjatuh.

“Awak okey?” soal Humaira.

Pertanyaan Humaira itu berjaya membuatkan gadis itu memandangnya kerana dari tadi gadis itu terlalu cemas melihat bajunya yang basah.

Seketika, kedua-duanya tergamam melihat antara satu sama lain. Wajah Humaira bertukar cemas, manakala wajah gadis itu mula menunjukkan riak muka marah.

“Engkau lagi! Apa masalah engkau sebenarnya? Engkau memang sengaja mahu langgar aku, bukan?” soal gadis itu bertalu-talu.

“Tidak, Nurul. Saya memang tidak sengaja. Tolong maafkan saya. Jangan salah faham,” ujar Humaira bersungguh- sungguh.

“Nurul, jangan marah-marah. Humaira sudah cakap dia tidak sengaja.” Kali ini Farisha cuba menenangkan keadaan.

Namun, kata-kata Farisha itu langsung tidak dipedulikan oleh Nurul. Gadis itu menjeling Humaira dengan penuh geram.

“Sejak dahulu, engkau memang sama sahaja. Suka sakitkan hati aku!” ujar Nurul sebelum berlalu pergi.

“Sudahlah, Humaira. Mari kita hantar buku-buku ini.” 

Dalam perjalanan ke bilik guru, Humaira teringatkan peristiwa lama yang agak pahit.

Setahun yang lalu….

Humaira, Farisha, dan Nurul merupakan kawan baik. Mereka selalu bersama apabila pergi ke mana-mana.

Walaupun begitu, Farisha dan Nurul lebih kerap bergaduh. Selalu merajuknya bukan main lama lagi. Dan, kebiasaannya Humaira akan menjadi orang tengah yang memujuk kedua-dua kawannya itu. Disebabkan itulah, sikap Humaira disenangi dan mengukuhkan lagi hubungan persahabatan mereka.

Sehinggalah tiba hari kecemerlangan sekolah mereka, Humaira telah mendapat nombor satu. Selain itu, dia juga turut diumumkan sebagai tokoh murid bagi murid tahap dua. 

Farisha dan Nurul pula hanya mendapat nombor 13 dan 16.

“Nurul, awak janganlah risau. Walaupun awak dapat keputusan yang kurang cemerlang, kami akan tetap berkawan dengan awak. Awak adalah kawan baik kami selamanya,” kata Humaira.

“Betul itu. Tengoklah keputusan saya, tidak cemerlang seperti Humaira. Tetapi, kita tetap berkawan baik,” kata Farisha pula sambil tersenyum.

Nurul cuba menguatkan semangatnya untuk terus berkawan dengan Humaira. Sehinggalah, dia terdengar perbualan beberapa orang murid.

“Hei, awak rasa layakkah budak Nurul dan Farisha itu berkawan dengan Humaira? Hari itu, mereka berdua dapat keputusan yang corot. Tidak seperti Humaira yang mendapat keputusan cemerlang.” 

“Bagi saya,langsung tidak layak. Bagai langit dengan bumi. Nurul itu memang tidak sesuai langsung berkawan dengan Humaira kerana prestasinya dalam pelajaran memang tidak setanding Humaira. Farisha juga memang sama dengan Nurul. Juga kurang pandai dan miskin!” Semua murid itu ketawa berdekah-dekah.

“Yalah, Farisha itu ganti beg sekolahnya tiga tahun sekali. Sudahlah asyik guna beg yang sama. Jenama pun saya langsung tidak kenal.” 

Hati Nurul sungguh terguris mendengar perbualan murid-murid itu. Lantas perkara itu diceritakan kepada Humaira dan Farisha.

“Biarkanlah, Nurul. Mulut orang. Bukannya boleh ditutup. Berdoa sahajalah supaya mereka berubah.” Nada suara Farisha kedengaran mendatar.

Siapa sahaja tidak sakit hati apabila dihina dan dicaci sebegitu.

“Tetapi, saya sudah tidak tahan. Sakit hati rasanya apabila saya dihina dan dicaci sedemikian. Humaira, Farisha, mulai hari ini kita bukan kawan baik lagi. Maafkan saya!” Nurul berlalu pergi dengan titisan air mata yang mula jatuh ke pipi.

“Nurul!” Humaira menjerit memanggil si sahabat.

Nurul berpusing ke belakang kembali. Air matanya sudah berjurai-jurai turun. Humaira tersenyum kerana merasa masih ada harapan untuk menyelamatkan hubungan persahabatan mereka.

“Jangan risau Humaira. Kita tetap berkawan. Cuma bukan kawan baik lagi,” ujar Nurul sambil cuba mengukir senyuman sebelum berlalu pergi.

“Nurul!” Humaira menjerit lagi. Dia tidak boleh membiarkan persahabatan mereka bertiga terputus.

“Humaira, biarkan dia. Hati dia tengah sakit. Awak perlu beri dia masa.” Farisha memberikan cadangan supaya keadaan tidak menjadi lebih teruk.

Sejak hari itu, Humaira kelihatan langsung tidak bersemangat. Pada suatu hari, semasa Pendidikan Jasmani, Humaira pengsan kerana terlalu stres.

Nurul mula dibebani rasa bersalah. Tidak sepatutnya dia memutuskan hubungan persahabatan mereka begitu sahaja.

“Hei, Nurul! Engkau memang suka sakitkan hati Humaira, ya? Tengoklah, sampai dia pengsan.” ujar salah seorang rakan sekelas Nurul.

Sejak hari itu, ramai orang yang mengata Nurul. Perasaan bersalah yang dirasai Nurul kini menjadi perasaan geram dan marah. Sejak itu juga,d ia sudah tidak bertegur sapa dengan Humaira dan Farisha. Dia merasakan itu semua hanyalah rancangan Humaira agar semua orang membencinya.

*****

Humaira berehat-rehat di atas katilnya. Insiden yang berlaku di sekolah tadi masih terbayang-bayang di kepalanya.

Dia tersenyum gembira apabila terserempak dengan bekas kawan baiknya dan dapat mendengar suaranya.

Namun,senyuman itu mula menghilang apabila teringat herdikan Nurul terhadap dirinya.

“Serabutnya!” Humaira segera masuk ke dalam bilik air dan mengambil air wuduk.

Kemudian, dia menunaikan solat sunat hajat dan solat sunat taubat. Semoga Allah membantu dirinya menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Usai solat, Humaira keluar dari biliknya dan menuju ke dapur.

“Humaira, tadi Farisha ada Whatsapp kamu. Cuba kamu tengok,” ujar Puan Maisarah.

“Okey,” balas Humaira lalu segera membuka aplikasi Whatsapp.

Farisha: Humaira, saya harap awak bersabar, ya dengan insiden di sekolah tadi. Saya akan bersama-sama membantu awak supaya Nurul kembali berkawan dengan kita.

Humaira tersenyum sendiri apabila Farisha sudi membantunya.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: