Chapter

#5: Hilang

Hasil nukilan Alia Irdina 2 years ago Novel: Tari Impian

             

Burung berkicauan pada pagi Ahad yang indah itu. Tiada latihan hari ini kerana Balqis ingin memberikan rehat kepada mereka semua kerana dua jenis tarian dipersembahkan semalam. Tentu hari ini terasa sengal-sengal seluruh badan.

Balqis bangun pada pagi itu dengan muka berseri-seri. Masih terbayang-bayang jemputan Permaisuri Ratna bagi membuat persembahan di London. Sebaik sahaja bersarapan, dia membuka komputer ribanya yang berwarna perak.

Matanya ralit mencari maklumat tentang tarian tradisional. Permaisuri meminta dia mempersembahkan tiga jenis tarian pada hari pertama dan dua jenis tarian pada hari kedua. Dengan bantuan Encik Google, dua keping kertas kini terisi dengan pelbagai jenis maklumat. Beberapa video tarian sudah dimuat turun ke dalam komputer riba.

Jumaat ini, Balqis akan mengadakan latihan tambahan. Maklumlah, persembahan semakin dekat. Jadi dia perlu menambah latihan bagi menjimatkan masa. Balqis sudah tidak sabar-sabar hendak melatih Qaseh dan rakan-rakannya Jumaat ini.

Sedang leka menonton persembahan-persembahan tarian di Youtube, telefon Qaseh berbunyi menandakan ada panggilan masuk.

“Waalaikumsalam, ya saya Balqis,” jawab Balqis.

“Saya Nurul Ain, pembantu peribadi Permaisuri Ratna Seri Melur,” pemanggil itu memperkenalkan dirinya.

“Cik Balqis, saya hendak maklumkan kepada cik yang tuanku permaisuri menitahkan agar salah seorang daripada penari cik Balqis yang akan membuat persembahan di London nanti memakai cucuk sanggul pemberian tuanku permaisuri tempoh hari,” jelas Nurul Ain panjang lebar.

“Oh, itu tidak jadi masalah. Saya berbesar hati dengan tawaran permaisuri, dan jika tuanku permaisuri inginkan sebegitu, saya menurut sahaja,” jawab Balqis.

“Baiklah Cik Balqis, untuk urusan ke London itu Cik Balqis usahlah risau. Pihak kami akan uruskan semuanya. Cuma saya minta cik Balqis e-melkan maklumat-maklumat peserta kumpulan Cik Balqis secepat mungkin. Saya rasa itu sahaja, kalau ada apa-apa masalah Cik Balqis bolehlah telefon saya. Terima kasih”

“Sama-sama,” Balqis mengakhiri perbualan

*****

“Assalamualaikum, Qaseh oh Qaseh!” Wani menjerit dari luar pintu rumah Qaseh.

“Ya, ya saya datang! Waalaikumussalam. Wani rupa-rupanya. Masuklah.” Wani melangkah masuk ke dalam rumah Qaseh.

“Wah, cantiknya rumah awak!” Wani melihat di setiap sudut rumah Qaseh.

“Macamlah tidak pernah datang sebelum ini. Awak bawa barang-barang itu?” Qaseh melihat beg sandang Wani yang sarat.

“Tentulah! Ini Wani, mana boleh lupa.” Wani membuat gaya cool di hadapan Qaseh.

“Ada saya kisah? Marilah, kita buat projek itu di dalam bilik saya.” Qaseh terus berjalan ke arah biliknya diikuti Wani.

“Wah, bersihnya bilik awak! Setahu saya, awak bukanlah pembersih,” Wani cuba mengejek sambil memerhatikan segenap penjuru bilik.

“Awak perli saya, ya? Sebab awaklah saya kemas bilik saya, tahu?” Qaseh mencari kadbod hitam di dalam rak bukunya serta beberapa peralatan lain.

“Saya ada bawa sekali buku teks sebagai rujukan. Tunggu! Bukankah projek ini berkaitan dengan seni kebudayaan? Dan kita mendapat tajuk seni tarian?” Wani menyelak buku teks bagi mendapatkan kepastian.

“Yalah Cik Wani. Awak baru perasan? Tentu tidak menumpukan perhatian ketika di dalam kelas.” Giliran Qaseh pula untuk memerli Wani.

“Saya bukan tidak perasan. Saya.. terlupa.” Wani cuba menutup malu.

“Qaseh, awaklah yang menulis. Saya menghias dan menampal gambar. Saya tidak tahu Bahasa Inggeris.” Wani memberikan pen berwarna kepada Qaseh. Qaseh hanya menjeling ke arah Wani. Dia memandang buku teks Bahasa Inggeris itu.

Semasa Qaseh sedang menulis dan Wani sedang memotong gambar, mereka berbual. 

“Qaseh, saya rasa teruja pula mahu pergi ke London nanti. Semalam saya termimpi-mimpi kita menikmati makanan di dalam bilik hotel. Ada keropok, air gas. Bercakap tentang makanan, awak tidak menyediakan minuman atau makanankah kepada saya? Saya laparlah.”

“Awak fikir saya bibik awak? Pergilah ambil sendiri.” Qaseh sudah bercekak pinggang.

“Ini rumah awak. Tidak sopan pula saya menyelongkar peti sejuk.” Alasan Wani membuatkan Qaseh beralah. Lantas dia menutup pen lalu bergerak keluar dari bilik.

Sementara Qaseh mengambil air dan makanan, Wani meninjau-ninjau rak buku Qaseh. “Wah, banyaknya piala. Ini rak buku atau rak piala?”

Wani tekun memerhati setiap satu piala yang dimenangi Qaseh. “Penari terbaik, Johan Pertandingan Menari Peringkat Negeri, Ratu Tarian Tradisional kategori sekolah rendah. Hebat juga Qaseh, ya.”

 “Apa yang awak tengok-tengok? Nah, saya malas mahu bancuh air, jadi ambil sahajalah air kotak ini. Ambil sekali karipap pagi tadi.” Qaseh menyerahkan air kotak dan semangkuk karipap kepada Wani.

“Terima kasih. Barulah bersemangat saya mahu buat projek ini!” Wani membuat corak pada kadbod sambil menyedut air kotak.

*****

Selepas pulang dari kerja pada jam 6.00 petang, dia terus mengayuh basikalnya ke hospital. Jaraknya agak jauh, namun Airil sanggup berbuat apa sahaja demi ibunya.

“Assalamualaikum, ibu. Airil bawakan pakaian ibu.” Airil meletakkan beg plastik berisi pakaian itu di dalam laci meja sebelah katil.

“Maaf, ibu tidak dapat jaga kamu. Uhuk!” Ibunya terbatuk. Tiba-tiba ada seseorang menepuknya dari belakang.

“Adik anak mak cik inikah?” Seorang lelaki berpakaian doktor menegurnya.

“Ya, saya.”

“Sebenarnya ibu adik perlu membuat pembedahan secepat mungkin kerana kansernya sudah memasuki tahap empat. Jika tidak buat dalam masa terdekat, peluang untuk ibu adik hidup adalah amat tipis.” Airil menekup mulutnya.

“Tetapi di mana saya mahu dapatkan wang?” Airril terduduk di atas kerusi.

“Maaf, tetapi saya tidak dapat bantu.” Doktor itu memandang sayu Airil. Namun dia tidak mampu melakukan apa-apa. Dia bukanlah kaya-raya sehingga mampu membiayai rawatan pembedahan.

Airil kini diselubungi kebuntuan.

*****

“Sinaran mentari di pagi hari… sinarnya kaburi pandanganku ini!” Qaseh menyanyi riang ketika dalam perjalan memasuki studio tarian.

“Ewah, menyanyi-nyanyi pula Qaseh hari ini.” Balqis yang memerhati dari pintu studio membuatkan Balqis tergamam. Ingatkan tiada sesiapa yang memerhati.

Muka Qaseh memerah. “Err… hehehe… he….” Qaseh terus masuk ke dalam studio akibat malu tahap melampau.

Sebaik sahaja sampai, semua sedang mengkerumuni rak yang menapung piala-piala serta beberapa buku tarian milik mereka. Qaseh yang ingin tahu terus meletakkan beg dan menyertai mereka.

“Ada apa, Wani?” Qaseh menyentuh bahu Wani.

“Opocot meletup!” Wani terlompat kecil. Qaseh tergelak memerhatikan gelagat Wani.

“Ish! Buat terkejut saya sahaja. Nasib baik saya tiada penyakit lemah jantung, tahu?” Wani mengurut-ngurut dadanya.

“Maaflah. Saya tiada niat mahu mengejutkan awak. Apa yang awak, eh, kamu semua perhatikan di dalam rak itu?”

“Cucuk sanggul yang diberikan permaisuri Sabtu lepas. Kak Balqis kata ia disaluti emas! Bukannya warna emas!” Qaseh terpana. Disaluti emas?

“Semua mahu memegangnya, tetapi Kak Balqis tidak benarkan. Dia kata takut rosak. Sayang betul Kak Balqis pada cucuk sanggul itu.” Wani tertawa kecil.

Sebaik sahaja semua berlalu pergi, barulah Qaseh berpeluang melihat cucuk sanggul itu dengan lebih dekat. 

“Baiklah semua, berkumpul.”

Balqis membawa komputer ribanya ke bersamanya. Dia duduk di atas kerusi di depan mereka. “Kakak mahu menunjukkan kepada kamu semua video-video tarian yang kita akan persembahkan di London nanti.”

Balqis membuka video pertama. Semua tekun menonton video tarian asyik itu. Mereka cuba melihat setiap langkah tarian. Ia bukanlah tarian yang sukar namun bukan juga tarian yang mudah.

*****

Semua bergerak keluar dari studio kecuali Airil. Dia sedang menyiapkan kerja sekolah. Memang menjadi tabiatnya menyiapkan kerja sekolah di studio tarian itu. Kerana apabila pulang, dia harus bekerja dan tiada masa untuk membuat kerja sekolah.

“Airil, boleh kamu pegangkan cucuk sanggul ini? Tiba-tiba kakak rasa seperti mahu pergi ke tandas pula.” Balqis tanpa berlengah menyerahkan cucuk sanggul di dalam kotak baldu itu kepada Airil.

Airil meletakkanya ke tepi sebelum menyambung membuat kerja sekolah. Tidak lama kemudian, Balqis masuk semula ke dalam studio. Dia mencapai kotak baldu itu dari tangan Airil.

“Kakak sudah mahu balik?”

“Ya, jika kamu sudah selesai membuat kerja sekolah, kuncikan studio kemudian berikan kuncinya kepada kak long kakak di bawah, ya.” Balqis menyerahkan segugus kunci lalu keluar dari studio.

Bangunan itu mempunyai dua buah studio yang boleh disewa. Jadi setiap kali Balqis mahu pulang awal, kunci akan diberikan kepada Airil. Kemudian, Airil akan memulangkannya di butik milik kakak Balqis.

Selepas menyiapkan kerja sekolahnya, Airil mengemas buku-buku latihannya lalu memasukkanya ke dalam beg. Selepas menutup suis penghawa dingin dan lampu, Airil mengunci pintu dari luar lalu menghantarnya.

  ****

  Balqis terbaring kepenatan di katilnya. Selepas mandi dan solat tadi, bantal asyik menyeru namanya sahaja. Balqis, Balqis… Akhirnya Balqis lemah dengan ajakan Si Bantal. Sebaik sehaja menghempaskan diri, dia terus tertidur. Di dalam mimpinya, terbayang-bayang lagi ajakan Permaisuri Ratna untuk membuat persembahan di London.

*****

Petang itu, Kumpulan Tarian Cempaka Sari serta delegasi yang akan ke London dijemput untuk bersama permaisuri sekali lagi bagi menikmati minum petang. Balqis pergi bersama-sama Qaseh dan Wani memandangkan yang lain-lain tidak dapat turut serta kerana menghadiri aktiviti sekolah masing-masing.

Pelbagai jenis kuih terhidang di atas meja. Cakar ayam, gula tarik, seri muka, badak berendam, keria, dan lain-lain lagi.  Selepas dijemput makan oleh Permaisuri Melur, mereka mula mencapai kuih pilihan masing-masing lalu meletakkannya ke dalam piring. Teh juga sudah siap di atas meja.

Qaseh dengan gembiranya menikmati kuih-muih yang sangat sedap. Sekejap dia mencapai keria, sekejap dia mencapai badak berendam. Jika beginilah kehidupan di istana, mungkin Qaseh tidak sekurus sekarang!

“Wah, berseleranya Qaseh makan. Seperti tidak pernah makan kuih pula!” Balqis cuba bergurau dengan Qaseh.

“Saya makan terlalu banyakkah? Adakah ia akan menjejaskan tarian saya?” Muka Qaseh sudah cemas. Balqis tergelak kecil melihat perangai Qaseh.

 Sedang asyik menikmati hidangan petang itu, Qaseh terlihat kelibat Wan Arlidiana.

“Eh, buat apa dia di sini?” bisik Qaseh kepada Wani. Wani memandang ke arah seseorang yang ditunjuk oleh Qaseh.

“Yalah, setahu saya kumpulan kita sahaja yang dapat tawaran membuat persembahan di London,” balas Wani. 

Mereka berasa hairan melihat kehadiran pesaing mereka di majlis itu. Lebih menghairankan, hanya Wan Arlidiana sahaja yang ada. Rakan-rakan mereka yang lain tiada pula. Tanpa mereka sedari, Wan Arlidiana menghampiri mereka berdua.

“Qaseh, tahniah kerana terpilih ke London,” sapa Wan Arlidiana sambil menghulurkan tangannya untuk bersalaman. Walaupun gaya Wan Arlidianan seperti orang yang tidak ikhlas, Qaseh tetap menyambut salam Wan Arliadiana.

“Terima kasih,” balas Qaseh.

“By the way, sepatutnya kumpulan kami yang ke London. Tetapi memandangkan kami telah menerima tawaran untuk Pertunjukan Kebudayaan di Turki, pengurus kumpulan kami terpaksalah menolak tawaran itu,”  terang Wan Arlidiana. Qaseh memandang Wani yang mula mencebikkan bibir.

“Oh, yakah?”

“Ya. Itukah cucuk sanggul pemberian permaisuri tempoh hari,” tanya Wan Arlidiana apabila dia ternampak kotak baldu bewarna biru di dalam beg Balqis yang terbuka sedikit. Ketika itu Balqis tiada di tempat duduknya kerana pergi menambah minuman.

“Ya,” balas Wani

“Boleh saya tengok ?” pinta Wan Arlidiana.

“Maaflah, saya tidak berani mahu benarkan sebab cucuk sanggul ini disimpan Kak Balqis. Kalau awak hendak tengok, tunggulah sekejap di sini. Kak Balqis sedang ambil minuman di sana,” jelas Qaseh. Memandangkan cucuk sanggul itu terletak di dalam beg milik Balqis, dia tidak berani membenarkan Wan Arlidiana melihat cucuk sanggul itu.

“Hmm, kalau tidak mahu tunjuk tidak mengapalah. It is a small matter, right?” Wan Arlidiana terus berlalu meninggalkan mereka begitu sahaja.

“Mengapa dengan dia?” tanya Wani. Qaseh hanya mengangkat bahu sahaja.

*****

Majlis sudah pun berakhir. Akhirnya hanya tinggal Balqis, Qaseh, dan beberapa orang lain di dalam dewan makan, tetapi mereka masih lagi dibenarkan menikmati juadah yang masih ada. 

“Qaseh, kakak mahu ke tandas sebentarlah. Tolong tengok-tengokkan beg itu, ya.”

‘Rasa seperti hendak tambah kuih pula,’ omel Qaseh. Lalu dia bangun menuju ke arah meja deretan kuih yang masih berbaki.

“Saya pun.” Wani berlari-lari anak mengikut belakang Qaseh.

Balqis mengambil beg tangannya sebaik sahaja pulang dari tandas. “Qaseh,Wani jika sudah selesai makan pergi ke kereta.”

“Baik, kakak.” Qaseh meneruskan kunyahan.

Balqis menyelak beg tangannya. Tangannya mencapai sesuatu. “Eh, terbawa pula cucuk sanggul ini.”

Semalam Balqis terlalu letih kerana selepas latihan dia terus menolong rakannya dalam satu majlis kesyukuran. Itulah sebabnya hingga terbawa sekali cucuk sanggul yang tidak dikeluarkan dari begnya itu.

 

  *****

Balqis mencapai kotak baldu dari dalam beg. “Astagfirullahalazim! Mana cucuk sanggulnya?!”

Mata Balqis terbuntang. Dia menyelongkar begnya. Habis segala barang dipunggah di atas katil. Tiada. Dia melihat setiap poket beg. Puas dia mengingati dimanakah dia meletakan cucuk sanggul itu. Seingatnya, kali terakhir dia membuka kotak baldu itu semasa di dalam studio latihan. 

Selepas itu, kotak itu tidak dikeluarkannya sehinggalah majlis minum petang di istana semalam. Sekarang yang tinggal, hanya kotak sahaja.Kemanakah perginya cucuk sanggul pemberian permaisuri itu. Balqis bingung memikirkannya.

Tiba-tiba idea menerjah otak Balqis. Dia terus mendail nombor Qaseh. “Helo? Qaseh! Qaseh ada nampak cucuk sanggul yang diberikan permaisuri hari itu tidak?”

“Tidak pula, mengapa?”

“Ia sudah hilang!” Qaseh menekup mulutnya. Hilang?

“Betul Qaseh tidak perasan? Mana tahu kakak salah letak? Qaseh perasan atau tidak?”

“Be.. betul kakak. Saya tidak perasan. Tetapi, bagaimana boleh hilang?” Qaseh seperti tidak percaya. Setahunya Balqis bukanlah seorang yang cuai.

“Qaseh boleh telefon dan tanya kawan-kawan? Terima kasih.” Talian diputuskan. Dia keluar dari bilik lalu menuruni tangga.

“Mak! Oh, mak!” Balqis menjerit-jerit memanggil maknya.

“Ada apa Balqis? Tidak elok menjerit,” emaknya menegur.

“Ada nampak cucuk sanggul? Berwarna emas dan ada juntaian manik di hujungnya.” Balqis sudah gelabah. Dia mengipas-ngipas dirinya menggunakan tangan.

“Tidak pula. Mengapa?” Mak Balqis memandang muka anaknya itu.

“Err… tiada apa. Emak sambunglah kerja.” Balqis terus menaiki tangga menuju ke biliknya semula. Dia bersiap lalu mencapai kunci kereta.

“Mahu pergi mana, Balqis?” Emak Balqis mengekor anaknya.

“Keluar.”

*****

Balqis terus memulas tombol pintu studio. Dia pergi ke arah rak piala lalu membuka setiap pintu kaca di situ. Dialihkan piala-piala tersebut ke bawah. Kini rak itu kosong. Dia tidak dapat menemui apa-apa pun. Tiba-tiba telefonnya berdering.

Qaseh:  Kakak, saya sudah telefon semua, tetapi mereka semua tidak tahu.
Balqis:  Ya? Maaflah menyusahkan kamu. Tetapi sekarang kakak risau sangat.
Qaseh:  Kakak ada bawa cucuk sanggul itu ketika kita minum petangkah?
Balqis:  Ada, tetapi kakak sudah periksa selepas minum petang.
Qaseh: Adakah kotaknya juga hilang?
Balqis:  Tidak, hanya cucuk sanggul yang hilang. Tunggu! Maknanya mungkin cucuk   sanggul itu sudah lama hilang?
Qaseh: Saya rasa….

TUT, TUT, TUT!

Talian tiba-tiba terputus. “Aduh! Masa ini pula kredit mahu habis! Argh!” rungut Qaseh.

Sekarang semua sedang cemas, takut, risau tentang cucuk sanggul yang hilang itu. Qaseh, Wani, Farhan, dan lain-lain. Mereka semua pening memikirkan misteri kehilangan cucuk sanggul secara tiba-tiba. Seperti misteri yang tiada jalan penyelesaian.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: