Chapter

#3: Cemburu

Hasil nukilan Alia Irdina 2 years ago Novel: Tari Impian

             

Pejam, celik, pejam, celik tidak sangka usia Kelas Seni Tari Cempaka Sari sudah pun setahun melebarkan sayapnya. Dengan reputasi yang diperoleh, kelas tarian milik Nur Balqis Insyirah Binti Datuk Muhammad ini sudah pun terkenal. Panggilan telefon dari stesen televisyen TV 5 membuat semua yang ada di Cempaka Sari sangat gembira. Tawaran menyertai salah satu rancangan mereka umpama besar tapak tangan, nyiru ditadahkan. Masing-masing teruja. Maklumlah pertama kali berhadapan dengan kamera.

“Selamat datang ke rancangan Pagi Di Lima. Saya bersama kumpulan tarian yang sedang popular sekarang, Kumpulan tarian Cempaka Sari. Selamat datang ke Pagi Di Lima,” Yahya Zainal, pengacara Pagi Di Lima memandang setiap seorang ahli Kelab Waris Budaya.

“Terima kasih.” Balqis tersenyum sambil mengangguk. Terasa gugup juga kerana kamera setia merakam segala perbualan.

“Cik Balqis adalah pengasas Kelas Seni tari Cempaka Sari, bukan?” Yahya Zainal mula mengajukan soalan.

“Ya, saya.” Balqis hanya mampu menjawab pendek. Yalah, soalan sebegitu bolehkah dihuraikan?

“Boleh perkenalkan semua ahli kelab?” Soalan kedua pula diajukan. Kali ini lebih berbentuk arahan.

“Ini adalah Qaseh, ketua kumpulan. Wani, Farhan, Zirhan, Syamim, Airil, Nazmie, Jannah, Farhana dan Rania.” Balqis menuding jari mengikut irama nama yang disebut.

“Jadi ada sepuluh orang semuanya, ya?” Yahya Zainal terus menjalankan tugasnya sebagai pengacara.

  “Bagaimana tercetusnya idea untuk menubuhkan kelas tarian tradisional ini, Cik Balqis?”

“Sebenarnya ia lebih kepada minat. Sejak kecil lagi saya memang meminati seni tarian tradisional. Dari sekolah hinggalah melanjutkan pelajaran, saya terlibat dengan kelab-kelab tarian tradisional. Selain itu, sebenarnya saya ingin mengetengahkan tarian tradisional dan budaya Melayu yang saban hari semakin dilupakan masyarakat,” Balqis menjawab dengan penuh yakin. Sebagai orang yang berpengalaman, tidak sukar padanya untuk menjawab soalan-soalan sedemikian.

“Baiklah, sekarang kita tanya pula salah seorang ahli kumpulan ini. Mengapa adik berminat menyertai kumpulan tarian tradisional seperti ini? Sekiranya kita lihat, remaja-remaja sekarang lebih meminati tarian-tarian moden,” tanya Yahya Zainal kepada Wani yang kebetulan berdiri bersebelahan denga pengacara popular itu.

“Saya meminati tarian tradisional sejak pertama kali saya membuat persembahan di sekolah. Pada pendapat saya, tarian tradisional ini mempunyai keunikannya tersendiri. Lagipun, buat apa kita hendak banggakan tarian-tarian luar sedangkan kita memiliki tarian tradisi kita yang tidak kurang hebatnya,” jawab Wani membuatkan pengacara itu berasa kagum.

“Bagus! Semangat sebegini yang kita mahu ada dalam diri anak-anak muda kita, betul?” balas Yahya Zainal. “Baiklah penonton sekalian, mari kita sama-sama menyaksikan aksi penari-penari cilik ini dengan tarian ulik mayang.”

 Qaseh dan rakan yang lain mengambil tempat di satu sudut studio itu. Apabila lagu dimainkan, mereka memulakan persembahan. Gerak tari yang diajar oleh Balqis diterjemahkan dalam persembahan selama tiga minit itu.

Sebaik sahaja Qaseh dan rakan-rakannya menamatkan persembahan, pengacara rancangan mengucapkan tahniah kepada mereka. Kepuasan terpampang di wajah masing-masing.

*****

TUP!

Televisyen dipadam. “Mengapa mereka yang dijemput? Sekiranya bukan kerana pengurus kita tidak dapat hadir pada hari ini, tentu kita yang akan berada di televisyen,” gadis itu mengomel.

“Betul, itu kakak. Sekiranya ya pun, jemputlah pada hari lain,” adiknya menyokong.

KRING KRING!

“Kakak, telefon.” Adiknya memandang telefon rumah di atas meja sebelah kakaknya.

“Helo? Ya? Wah, kami datang sekarang.” Gagang telefon terus diletak.

“Adik, cepat bersiap. Kita ada latihan hari ini.” Gadis itu memandang adiknya.

“Bukankah hari ini tiada latihan?” Wajah perempuan itu berkerut pelik.

“Latihan diadakan kerana kita telah menerima jemputan untuk menari di istana!”

*****

Nada dering daripada sebuah telefon kedengaran.

“Helo?” Balqis menekan punat jawab sebaik sahaja mendengar nada dering telefonnya.

“Ya? Wah, terima kasih! Baiklah, ya. Assalamualaikum.” senyuman terukir di muka Balqis.

“Ada apa kakak? Jemputan lagi?” Qaseh menjadi orang yang pertama bertanya sebaik sahaja melihat muka Balqis.

“Ini bukan jemputan biasa! Kita dapat jemputan untuk membuat persembahan di istana! Majlis sempena meraikan isteri-isteri pemimpin.” 

Semua terlopong sebaik sahaja mendengar. Istana? Biar betul!

“Istana? Istana?” Semua menyoal serentak seakan tidak percaya.

“Ya, istana! Wakil dari pihak istana, Nurul Anis sendiri yang menelefon kakak.” Balqis mengangguk sedaya mungkin, cuba meyakinkan mereka.

“Wah, tahulah kita popular, tetapi tidak tahu pula sehingga mendapat jemputan pihak istana! Biar saya tanya sekali lagi. Istana? Betul kakak tidak salah dengar?” Qaseh cuba mendapatkan kepastian sekali lagi.

“Ya. Mengapa kamu susah percaya?” Balqis memandang Qaseh dan anak didiknya yang lain.

“Baik, baik. Saya sudah percaya.” Qaseh membuat senyum sengetnya.

Memang menjadi impian Qaseh untuk pergi ke istana. Oh, tidak sabarnya! “Kakak, dia ada permintaan tarian atau kita boleh buat pilihan?”

“Mereka buat permintaan. Mereka minta kita membuat persembahan tarian piring dan tarian asyik.” Muka Balqis masih bercahaya seperti lampu suluh terlebih bateri.

“Apa tunggu lagi? Marilah kita mulakan latihan!” Balqis menepuk-nepuk tangannya tanda menyuruh semua bersedia. Seperti biasa mereka melakukan pemanasan badan dahulu. Takut juga sekiranya ada yang kejang semasa menari nanti. Kurang pula ahlinya. Terpaksalah Balqis menari sama nanti.

*****

“Satu, dua, tiga, Zirhan! Kaki kanan bukan kiri yang disilang, ya.” Balqis memerhatikan mereka semua semasa latihan. Tiga minggu sahaja lagi mereka akan membuat persembahan di istana. Jadi setiap masa latihan tidak akan disia-siakan. Waktu latihan juga ditambah lagi sejam.

“Baiklah semua, kita mula semula. Masuk ke dalam barisan.” Balqis memainkan lgu dari komputer ribanya. Irama lagu terus diikuti. Liuk lenggok juga diutamakan.

Sebaik sahaja tamat tarian, mereka diberikan rehat sepuluh minit. Ketika rehat, mereka akan duduk di penjuru studio sambil berkongsi bekal yang dibawa masing-masing.

“Adik-adik semua, hari ini Kak Balqis ada sesuatu yang istimewa untuk kamu,”  umum Balqis. Masing-masing berpandangan.

“Assalamualaikum.” Kedengaran suara seseorang dari luar studio latihan mereka. Balqis segera membuka pintu. Balqis menjemput tetamu itu masuk.

“Eh, itu Ahmad Hassan, penari jemputan dalam rancangan Macam-macam Pak Hail, bukan?“ Qaseh bertanya pada Wani yang masih mengunyah karipap ayam kegemarannya.

“Betullah!” Sampuk Airil yang mendengar pertanyaan Qaseh.

Mereka semua menuju ke arah Ahmad Hassan yang berdiri di sisi Balqis. Mereka mengambil peluang bersalaman dengan penari selebriti itu. Selepas bersalaman, mereka duduk di hadapan mereka berdua.

“Baiklah, hari ini Ahmad Hassan akan melatih kamu semua,” terang Balqis kepada anak-anak didiknya itu.

“Mesti kamu semua hairan macam mana kakak kenal Ahmad Hassan ini, bukan?” soal Balqis apabila melihat riak wajah masing-masing yang berkerut seribu seolah-olah ada berjutaan soalan di dalam kepala mereka.

“Abang Hassan kenal kakak Balqis kamu ini sudah lama. Sejak kami belajar di Akademi Seni Nasional lagi,” terang Ahmad Hassan.

“Ahmad Hassan ini sekiranya kamu semua mahu tahu, cekap dalam tarian piring. Itu sebabnya kakak minta dia tolong ajarkan kamu,” sambung Balqis pula. Masing-masing bertepuk tangan. Tidak sangka pula mereka hari ini mendapat tunjuk ajar daripada penari yang popular.

*****

“Semua sudah ada? Mari kita lihat saiz pakaian kamu, ya.” Butik D’Zara pada hari itu penuh dengan penari-penari Kelab Waris Budaya. Pada hari ini, mereka akan mencuba pakaian untuk persembahan di istana pada minggu hadapan. Pakaian-pakaian itu dijahit sendiri oleh pemilik butik itu sendiri, iaitu Puan Raihanna. Puan Raihanna ialah kakak sulung kepada Balqis.

Sedang Qaseh menunggu giliran mencari saiz yang sesuai untuknya, Wani menegur, “Qaseh, semalam saya ada menerima mesej. Tidak tahu dari siapa, tetapi ia berbunyi, ‘Aku dari Kelab Tradisi Indah. Kami akan membuat persembahan di istana juga. Kau tidak perlu kenal aku.’ Lebih kurang begitu.”

“Saya tidak tahu ada kumpulan lain yang akan membuat persembahan juga. Tunggu, bukankah Kelab Tradisi Indah itu adalah kelab yang sepatutnya dijemput ke rancangan Pagi Di Lima itu?”

“Mana awak tahu?” Muka Wani berkerut.

“Saya terdengar ketika pengarah berbual dengan Kakak Balqis semasa sedang minum di kafetria studio.” Muka Qaseh sudah tidak keruan. Ingatkan mereka sahaja yang akan membuat persembahan. Rupa-rupanya ada pula pesaing.

“Qaseh, Kak Balqis panggil awak untuk mencuba baju. Pergilah.” Wani menuding jari ke arah Balqis yang sedang memanggil-manggil Qaseh.

“Saya pergi dahulu, ya.” Qaseh meninggalkan Wani di sofa butik.

*****

“Haih, penat sangat hari ini sampai tidak sempat bersosial.” Qaseh membuka laman Facebooknya melalui telefon.

“Aik? Siapa pula ini?” Qaseh melihat dia mendapat mesej dari seorang yang tidak dikenali melalu inboxnya.

-Hanya kami sahaja yang sepatutnya membuat persembahan di istana!-

“Mesti ini orang yang Wani maksudkan! Apalah yang dia mahu. Baik aku buat tidak layan sahaja.” Qaseh terus membuka News Feed.

-Gementarnya untuk persembahan di istana minggu hadapan! Doakan saya!-

Qaseh terus menekan punat post. Sudah lama rasanya tidak membuat status. Qaseh jarang sebenarnya mahu menggunakan laman Facebook. Apabila tergerak hati sahaja aplikasi itu digunakan.

“Assalamualaikum. Anak ibu ada di dalamkah?” Kedengaran suara Puan Saleha dari luar pintu.

Qaseh terus menghampiri pintu dan membukanya. “Ada apa, ibu?”

“Sengaja mahu lepak bilik kamu. Lagipun ayah kamu sedang menonton perlawanan bola.” Puan Saleha menjeling suaminya yang sedang menonton perlawan bola.

  “Oh, masuklah.” Puan Saleha masuk ke dalam bilik anak daranya itu sebaik sahaja dibenarkan.

“Astagfirullah. Bersepahnya bilik kamu, Qaseh! Beg tersadai, baju bertimbun. Sibuk sangatkah kamu?” Terbuntang mata Puan Saleha melihat bilik anak gadisnya itu. Mengalahkan bilik bujang!

“Hehehe… saya penatlah kebelakangan ini ibu. Sabtu dan Ahad ada latihan. Malam pula tuisyen. Itu tidak menyempat mahu mengemas bilik.” Qaseh membuat senyum sengetnya.

“Hmm… ibu faham. Sudah, pergilah tidur. Tidak jadi ibu mahu berbual dengan kamu melihat bilik bersepah ini.” Puan Saleha keluar semula.

Qaseh terus menyiapkan katilnya lalu menutup lampu.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: