Chapter

#1: Balqis

Hasil nukilan Alia Irdina 2 years ago Novel: Tari Impian

             

Pasukan kompang sekolah sudah pun bersedia. Begitu juga pemegang bunga manggar. Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah akan bermula sebentar lagi. Qaseh dan beberapa orang rakan sudah pun bersiap sedia untuk membuat persembahan pembukaan sebaik sahaja VIP yang dijemput tiba.

Kebaya labuh berwarna biru muda dipadankan dengan kain sarung bercorak batik. Selendang kuning air diletakkan dileher. Untuk hiasan di kepala, setiap penari dipakaikan cucuk sanggul ringkas dan bunga mawar merah. Ada juntaian bunga melur sebagai penambah seri. Qaseh memandang ke arah Wani, sahabat baiknya. Cucuk sanggul Wani yang senget sedikit itu dibetulkan.

“Berdebar betul,” bisik Qaseh kepada Wani.

“Saya takut terlupa langkah,” tambah Qaseh lagi. Walaupun hampir sebulan dia berlatih, kerisauan tetap ada.

“Hmm… kita sudah berlatih. Lagipun Cikgu Fasha ada di sana nanti.”  Wani menunjukkan arah belakang dewan. Dua tarian yang akan mereka persembahkan petang itu. Tarian inang dan dan tarian joget. Persembahan itu atas permintaan guru besar yang mahukan kelainan pada hari anugerah tahun ini. Cikgu Fasha pula secara sukarela hendak melatih mereka.

Apabila juruacara mengumumkan persembahan akan bermula, mereka sudah pun bersiap sedia di tepi pentas. Cikgu Fasha menunjukkan isyarat bagus kepada mereka. Qaseh melangkah ke tengah pentas. Alunan muzik tarian inang bergema di seluruh dewan. Ibu bapa serta semua tetamu bertepuk tangan. Sebaik sahaja persembahan tamat, Cikgu Fasha bertepuk tangan bersama-sama ibu bapa yang lain.

“Bagus! Tahniah semua. Persembahan kamu memang hebat.” Cikgu Fasha menepuk bahu Qaseh dan rakan-rakan yang lain sejurus mereka menamatkan persembahan pada petang itu.

*****

“Itu kamu, Fasha?” Satu soalan datang dari seorang wanita muda. Wajahnya bujur sirih dan tinggi lampai itu mengingatkan Fasha kepada seseorang.

“Balqis?” balas Cikgu Fasha. Wanita itu menganguk dan mereka saling berpelukan.

“Lama sungguh tidak dengar cerita kamu, Fasha. Tidak sangka kamu mengajar di sini,” jelas wanita yang dikenali sebagai Balqis. Pertemuan yang tidak diduga dua sahabat. Kali terakhir mereka bertemu ketika hari konvokesyen universiti mereka lapan tahun yang lalu.

“Hmm… baru dua tahun bertukar ke sini. Kamu pula?” tanya Fasha kepada sahabat lamanya itu. 

Dahulu semasa di universiti Fasha mengenali Balqis kerana mereka sama-sama menyertai Persatuan Kesenian universiti mereka. Banyak juga mereka membuat persembahan, namun hubungan mereka terputus selepas masing-masing menamatkan pengajian.

“Saya baru berpindah ke sini. Lepas habis belajar dahulu dapat tawaran bekerja di syarikat Radius Telco. Tetapi sekejap saja aku bekerja di situ. Selepas berhenti kerja, saya belajar di Akademi Seni Nasional. Ambil diploma dalam bidang tarian,” terang Balqis.

“Wah, memang minat betul kamu dengan bidang seni ini, ya.” Fasha menunjukkan kekagumannya. Balqis memang cintakan bidang tarian tradisional. Rakannya itu bukanlah sebarangan kerana selain tarian, Balqis juga memiliki Ijazah Kelas Pertama dalam Bidang Kejuruteraan Elektronik.

“Jadi sekarang saya merancang hendak membuka kelas tarian sendiri. Kebetulan tadi masa persembahan tarian, saya lihat ada murid-murid kamu yang berbakat,” jelas Balqis. Kebetulan dia hadir menemani kakaknya yang ingin melihat anak sulungnya menerima hadiah peperiksaan.

Fasha tersenyum. Terasa malu juga pada Balqis kerana banyak juga langkah tarian yang diciptanya sendiri. Maklumlah, sudah lama tidak menari, banyak langkah yang dia sudah lupa.

“Apa kata saya tawarkan mereka sebagai perantis di kelas tarian saya nanti?” tawar Balqis. 

Fasha tersenyum dan mengangguk tanda setuju. Bagi Fasha, murid-muridnya lebih layak mendapat latihan daripada mereka yang berkelayakan.

*****

Qaseh dan Wani meletakkan basikal mereka di tempat yang disediakan di hadapan bangunan rumah kedai itu. Dia memandang ke arah tingkat atas rumah kedai itu. Terpampang papan tanda Kelas Seni Tari Cempaka Sari. Ya, inilah tempatnya seperti yang diberitahu Cikgu Fasha. Cikgu Fasha menawarkan mereka mengikuti latihan di akademi milik rakannya itu. Sayangnya, hanya Qaseh dan Wani yang bersetuju setelah mendapat kebenaran daripada ibu bapa masing-masing

“Qaseh, betulkan tempat ini? Saya rasa seram semacamlah. Tegak bulu roma saya.” Wani sudah menggenggam lengan Qaseh.

“Memanglah. Pagi ini angin bertiup. Sejuklah jadinya.” Qaseh cuba berlagak tenang. Dia membetulkan beg silang di bahu yang sudah ditarik-tarik oleh Wani. Mereka menaiki tangga untuk naik ke tingkat atas bangunan itu.

“Cuba awak beri salam.” Qaseh memandang Wani di sebelah. Belum sempat mereka memberi salam, kedengaran seseorang memberi salam terlebih dahulu kepada mereka.

“Assalamualaikum.”  Qaseh dan Wani berpandangan antara satu sama lain. Perlahan-lahan mereka menoleh ke arah pintu di hadapan.

Seorang wanita tinggi lampai sedang berdiri di hadapan pintu sambil tersenyum kepada mereka.

“Walaikummusalam. Saya Qaseh, ini pula Wani. Cikgu Fasha suruh kami datang ke sini.”

“Mari ikut kakak,” wanita itu menjemput mereka masuk. Qaseh dan Wani hanya mengekori dari belakang.

Wanita itu terus berjalan hingga ke sebuah studio menari dengan cermin besar. Di penjuru studio kelihatan beberapa remaja perempuan dan lelaki yang lain. Kelihatan mereka semua hampir seusia.

“Qaseh, Wani! Marilah duduk di sini!” Qaseh dan Wani terus menanggalkan kasut mereka lalu menyertai Farhan. Hanya Farhan seorang yang mereka kenal di situ. Itu pun kerana Farhan tinggal di taman perumahan yang sama dengan mereka.

“Duduklah. Saya mahu perkenalkan. Ini Syamim,  Airil, dan Nazmie. Itu pula Jannah, Farhana, dan Rania,” Farhan memperkenalkan kesemua remaja itu kepada Qaseh dan Wani.

“Selamat berkenalan. Err… abang dan kakak tahu mengapa kita disuruh ke sini?” Wani membuka bicara.

“Cikgu kamu tidak beritahu? Kita di sini kerana kita terpilih!”  Syamim membuntangkan mata.

“Terpilih?” Serentak Qaseh dan Wani bertanya.

“Ya, kalian telah terpilih untuk menjadi perantis kelas tarian ini. Ini kerana kalian sangat berbakat dalam bidang tarian.” Belum sempat Syamim menjawab, wanita itu sudah menjawab.

“Nama kakak, Balqis. Kakak pemilik kelas tarian ini. Memang menjadi impian kakak sejak dahulu lagi untuk memiliki kelas tarian sendiri. Jadi bila kamu menyertai kelas ini nanti kakak akan ajar kamu tarian-tarian tradisional yang ada negara kita,” terang Balqis.

Mereka berpandangan sesama sendiri. Masing-masing seolah-olah keliru dengan apa yang mereka hadapi sekarang.

“Baiklah, kakak tahu apa yang bermain di fikiran kamu. Kamu tidak perlu risau, kakak tidak kenakan bayaran sepanjang kamu berada di kelas ini.” Balqis seolah-olah faham persoalan yang bermain di fikiran anak-anak itu. Ini disebabkan, setiap kali dia membuat tawaran untuk menyertai akademinya, soalan pertama yang diajukan oleh ibu bapa serta guru ialah berapakah yuran yang perlu dibayar jika mereka mahu menyertai kelas itu.

“Tetapi, macam mana kakak mahu uruskan tempat ini jika tiada dana?” tanya Rania. Mereka menganguk-angguk tanda setuju dengan soalan yang dikemukakan oleh Rania.

“Tentang dana, tidak perlulah kamu risau. Itu semua akan kakak uruskan,” jelas Balqis. Baginya duit itu memenglah penting, tetapi itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk meneruskan impiannya menjadikan Kelas Seni Tari Cempaka Sari sebagai yang terbaik dalam bidang seni tarian tradisional.

Balqis menerangkan aktiviti-aktiviti yang akan mereka ikuti sepanjang mengikuti latihan di kelas itu. Mereka hanya perlu menyertai latihan ketika hujung minggu dan cuti persekolahan. Balqis tidak mahu mengganggu pelajaran mereka. Oleh itu,  latihan diadakan ketika hari persekolahan.

“Oh ya, sekiranya kita mendapat jemputan untuk membuat persembahan di mana-mana majlis, kakak akan berikan surat kebenaran penjaga terlebih dahulu. Jadi, kamu perlu minta kebenaran mereka untuk mengikuti persembahan. Kakak buat begitu kerana tidak mahu ada masalah di kemudian hari,” jelas Balqis lagi. Walaupun akademinya baru sahaja dibuka, sudah ada yang menawarkannya untuk membuat persembahan di majlis-majlis tertentu.

“Kakak, mengapa kakak bersungguh mahu menubuhkan akademi ini? Bukankah orang muda seperti kakak lebih suka tarian-tarian moden?” Zirhan yang berumur sebelas tahun bertanya. Kepetahan dan keberanian Zirhan membuatkan rakan-rakan lain kagum.

    Balqis tersenyum sebelum menjawab, “Bagi kakak, tarian tradisional kita penuh keindahan dan perlu dipelihara. Jika tidak, tidak mustahil satu hari nanti genarasi akan datang tidak mengenali tarian-tarian seperti tarian asyik,  zapin, dan endang. Jika hari-hari disogok dengan tarian hip hop, shuffle, lebih baik kalau kita hargai tarian kita sendiri.” 

Mereka mengangguk bersetuju dengan apa yang diperkatakan Balqis.

“Baiklah, rasanya banyak sangat kakak mengomel hari ini. Apa kata sebelum kita mula, adik-adik semua perkenalkan diri.” Balqis yang tadinya berdiri, duduk bersimpuh di hadapan mereka semua.

Qaseh yang duduk di barisan hadapan memerhatikan Balqis dengan penuh minat. Cantik, bisik hati Qaseh. Kulit putih, muka bujur sirih. Ada iras-iras wanita arab. Duduknya pun bersopan serta tutur katanya yang lembut membuatkan Qaseh bertambah kagum dengan Balqis. Siapa sangka wanita secantik ini merupakan bekas jurutera elektronik, tetapi mendambakan dirinya pada bidang seni. Kalau berbaju-T dan berseluar sukan pun Balqis sudah cantik, apatah lagi ketika dia mengenakan busana tradisional melayu yang memang terkenal dengan keindahannya yang tersendiri. Memang ada ciri-ciri perempuan Melayu terakhir! Lamunan Qaseh terhenti apabila terdengar namanya dipanggil.

“Qaseh,” cuit Wani yang duduk di sebelahnya. Qaseh terkejut. Rupa-rupanya semua yang ada di situ senang memerhatikannya.

“Adik seorang ini mesti sedang berangan,” usik Balqis. Wani berbisik pada Qaseh dan meminta Qaseh memperkenalkan dirinya.

“Oh, maaf. Nama saya Qaseh Maisarah binti Fauzan. Saya berusia 11 tahun,” terang Qaseh. Dia memandang ke arah Balqis yang sedang tersenyum.

“Mengapa Qaseh minat menari?“ soal Balqis. Terasa ingin tahu apa yang bermain difikiran anak kecil berusia 11 tahun.

“ Err… sebab saya minat. Lagipun saya suka pakaian tradisional. Cantik,” jawab Qaseh sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak pun gatal itu. Sungguh dia tiada idea untuk menjawab pertanyaan Balqis. Balqis mengangguk.

Sesi berkenal-kenalan berakhir juga. Seramai empat orang penari lelaki dan lima orang perempuan sudah pun memperkenalkan diri mereka. Ada yang masih bersekolah rendah dan ada juga dari sekolah menengah. Usia mereka yang tidak jauh berbeza membuatkan mereka mudah mesra.

“Baiklah, adik-adik semua. Untuk hari pertama ini, kakak akan ajar kamu satu tarian,” kata Balqis sambil menepuk tangannya bagi menarik perhatian penari-penari muda itu.

“Eh, dah mula latihan?“ tanya Wani.

“Ya, sayang. Baiklah, Kak Balqis nak umumkan tugasan pertama kamu.“ Balqis mengambil sehelai kertas di atas meja yang diletakkan di sudut studio latihan itu. Qaseh, Wani, serta yang lain agak teruja.

“Kakak ada terima tawaran daripada Persatuan Penduduk Taman Citra. Mereka minta kita buat persembahan sempena perasmian dewan serbaguna taman mereka yang akan diadakan pada minggu hadapan,” terang Balqis. Masing-masing berpandangan.

“Jadi, kakak rancang untuk ajar kamu tarian nyiru sebab kakak rasa inilah tarian yang mudah untuk kamu semua pelajari,” tambah Balqis lagi. Balqis mengambil nyiru yang berbentuk bujur dan dihulurkan kepada penari-penari perempuan. Balqis meminta Airil memasangkan lagu tarian nyiru yang ada di komputer ribanya. Balqis mengarahkan semua penari perempuan berbaris.

“Kamu ikut langkah yang kakak buat ni. Airil pasangkan lagu,” pinta Balqis. 

Muzik memenuhi segenap ruang studio itu. Qaseh dan Wani agak kekok pada mulanya, mula mendapat rentak. Bimbingan yang dibei Balqis mudah diikuti oleh mereka. Kedengaran ketawa dan diselang-seli dengan suara arahan Balqis.

Sesi latihan tamat tepat jam 12.00 tengah hari. Qaseh dan Wani membantu Balqis mengemas studio. Nyiru yang digunakan diletakkan semula ke dalam kotak plastik. Wani menyapu lantai yang sedikit berhabuk itu. Rakan-rakan yang lain sudah pun pulang kerana masing-masing ada urusan tersendiri.

“Terima kasih, Wani, Qaseh kerana tolong kakak,” ucap Balqis sambil tangannya memutarkan kunci pintu.

“Kakak hendak pulangkah?“ tanya Qaseh.

“Hmm, kakak nak turun ke bawah. Tengah hari ini kakak kena jaga kedai,” jelas Balqis.

“Oh, kakak kerja di butik pengantin di tingkat bawah itu?” soal Wani pula.

“Nampaknya macam itulah. Tapi sebenarnya butik itu milik kakak sulung Kak Balqis. Rumah kedai ini pun milik dia juga. Kakak tumpang buat studio di atas ni. Tapi bukan percuma. Bayarannya kakak kena bantu kak long kakak di butiknya.” Balqis mengajak Wani dan Qaseh masuk ke butik pengantin itu. Seusai melangkah masuk, terpapar wajah Balqis di atas banting yang diletakkan di kiri dan kanan kedai itu.

Wah, ini Kak Balqis?” tanya Wani. Mulutnya sedikit melopong.

“Hahaha…,” Balqis ketawa apabila melihat gelagat kedua-dua anak didik tarinya itu.

“Ohh… patutlah muka Kak Balqis ni macam popular dan biasa dilihat. Duta produk Ivy rupa-rupanya,” tambah Qaseh pula. Cantik betul Balqis tambahan pula disolek begitu.

“Masa itu kakak baru saja tamat belajar Akademi Seni Nasional. Kawan kak long tawarkan Kak Balqis untuk jadi model produknya. Kakak terima sahaja. Maklumlah hendak tambah pendapatan.” Balqis menarik kerusi dan menjemput mereka berdua duduk.

“Duit itu kakak gunakan untuk buka studio ni. Awal-awal dulu memang kakak buka studio di atas ini untuk disewa. Bila duit sudah cukup, barulah kakak beranikan diri untuk buka Kelas Tarian Cempaka Sari. Itu pun atas sokongan kak long serta keluarga Kak Balqis. Kalau bukan kerana sokongan mereka, tentu impian kakak jadi angan-angan kosong sahaja,” terang Balqis panjang lebar. Teringat betapa lelahnya dia ketika awal-awal menubuhkan studionya itu. Tetapi kini dia mampu tersenyum melihatkan hasilnya.

*****

“Qaseh, Wani, minumlah air strawberi itu. Ini ada kek cawan. Kek cawan ini Kak Balqis buat sendiri. Rasalah,” pelawa Balqis. Kesihan dia melihat Qaseh dan Wani berpeluh-peluh membantunya mengemas studio tadi.

“Wah, kek cawan coklat. Sedapnya. Untung siapa dapat kak Balqis. Sudahlah cantik, pandai pula buat kek cawan,” kata Wani sambil mulutnya penuh dengan kek cawan coklat.

“Hish kamu ini Wani, tidak baik makan sambil bercakap. Tengok tersembur-sembur kek atas meja ni,” marah Qaseh apabila melihat gelagat kawannya yang kurang sopan itu. Balqis ketawa gelihati melihat gelagat mereka.

Jam sudah pun menunjukkan pukul 2.00 petang. Qaseh dan Wani meminta izin Balqis untuk pulang ke rumah. Sepanjang berada di Butik Pengantin D’Zara banyak cerita yang mereka kongsikan bersama.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: